SUDAH jatuh ditimpa tangga, itulah yang dialami penyanyi sensasi remaja, Amanda Imani, 20. Selepas putus cinta dengan anggota Sleeq, Syarifullah Ahmad (Syarif), namanya digugurkan sebagai model untuk video klip lagu Sesaat Kau Datang gandingan Ramlah Ram dan Sleeq.
Penggambaran video klip itu dijadualkan semalam, dan Amanda sepatutnya bergandingan dengan Afiq Muiz sebagai watak utama dan segala persiapan dilakukan sebagaimana diminta, termasuk mencari baju sesuai dengan cerita diinginkan pengarahnya.
Perkara itu juga diketahui ramai apabila diumumkan pencipta lagu itu, Suzaimi Soiib melalui laman sosial Facebook.
Difahamkan, Suzaimi berbuat demikian (menggugurkan nama Amanda pada saat akhir) atas desakan Sleeq dan Aaron Aziz Productions apabila dikatakan memberi kata dua sama ada Amanda digugurkan atau Sleeq enggan bekerjasama. Benarkah ini yang berlaku? Amanda, ketika dihubungi untuk mendapatkan pengesahannya mengenai perkara itu, mengakui kebenaran cerita itu dan kesal dengan apa yang menimpa dirinya.
Baginya, berita pengguguran namanya memberi tamparan hebat buat dirinya dan tidak menyangka sejauh itu tindakan Sleeq terhadapnya.
Kata Amanda, tiada niat mahu meraih publisiti melalui cerita kontroversi untuk menaikkan namanya kerana percaya bakat dimiliki mampu membawanya ke tahap membanggakan.
Ia dibuktikannya apabila mewakili Malaysia ke Festival Muzik Pop Antarabangsa ke-20 di Varna, Bulgaria pada Mei tahun lalu, kemudian kejayaan meraih Artis Baru Terbaik di Anugerah Planet Muzik di Singapura, tahun lalu.
Katanya, dia mahu bersikap profesional dan tidak kisah menjayakan video klip lagu yang menampilkan Sleeq berduet dengan Ramlah Ram walaupun selepas menganggap dirinya menjadi mangsa dalam hubungan tidak jujur dengan Sharif selama enam bulan dari Jun hingga Disember.
“Ketika itulah, Kak Ramlah tawarkan saya menjadi model untuk video klip nanti dan saya tidak keberatan bekerjasama. Bagi saya, dapat bekerja dengan penyanyi senior seperti Ramlah Ram satu penghargaan besar.
“Baru-baru ini, perkara itu disahkan Suzaimi apabila memaklumkan saya akan digandingkan dengan Afiq Muiz dan penggambaran akan diadakan pada 28 Januari. Saya diminta membuat persiapan daripada segi pakaian sesuai kerana menjadi pengantin dalam video klip itu.
“Perkara itu dimaklumkan melalui e-mel beberapa hari menjelang Tahun Baru Cina mengenai storyboard (jalan cerita) dan persiapan yang perlu dibuat, begitu juga jadual penggambaran, menyebabkan ibu saya mencari pakaian diminta kerana bimbang sukar mendapatkannya apabila banyak kedai ditutup sempena cuti Tahun Baru Cina.
“Saya juga bersetuju menjayakan klip video ini apabila dimaklumkan tidak akan bertembung dengan Syarif kerana penggambaran pada hari berbeza. Bagaimanapun, beberapa hari menjelang penggambaran, saya menerima berita sedih ini,” katanya.
Amanda yang baru melancarkan single Cemburu berkata, Syarif bukan saja tidak jujur dengannya sepanjang berkawan hingga dirinya dituduh sebagai perampas oleh wanita yang mengaku kekasih Syarif, malah tidak profesional sebagaimana dikatakannya kepada media.
Kata Amanda, dia ada membaca kenyataan Syarif dalam satu akhbar portal mengatakan ingin bersikap profesional dan tidak mahu ada hasad dengki antara mereka kerana sedar industri muzik ini kecil.
“Mengapa dia tidak kotakan kata-katanya kerana inilah peluang keemasan untuknya membuktikan semua itu untuk kebaikan semua pihak. Mengapa pula kini mahu mengaibkan saya? “Saya sangat kecewa dengan sikap tidak profesionalnya kerana ini bukan membabitkan saya dengan Syarif saja tapi dengan Aaron Aziz Production, Ramlah Ram, Ruzaimi dan juga pihak yang membiayai pembikinan video klip ini.
“Saya juga difahamkan, produser muzik video itu diminta menukar storyboard cerita asal kerana bahagian Sleeq bukan sebagai pelakon utama, sebaliknya saya dan Afiq sebagai pelakon utama,” katanya.
Amanda berharap Aaron Aziz Production bersikap matang dengan menasihatkan Sleeq supaya tidak mementingkan diri demi kelancaran kerjaya seni mereka yang baru bertapak di negara ini.
No comments:
Post a Comment