MELBOURNE - Pemain Belarus, Victoria Azarenka mengejutkan juara bertahan, Kim Clijsters untuk menempah slot ke final Kejohanan Tenis Terbuka Australia semalam.
Pilihan ketiga, Azarenka, 22, berjaya menangkis kebangkitan pemain Belgium itu dalam aksi sengit tiga set dengan kejayaan 6-4, 1-6, 6-3.
Dia akan berdepan Maria Sharapova pada aksi final di kejohanan Grand Slam pertamanya itu
"Saya rasa seperti tangan saya mengangkat beban seberat 200 kilogram (kg) dan badan saya pula dihempap benda 1,000kg," kata Azarenka sambil menyapu air matanya.
"Semuanya membuatkan diri kamu gementar tetapi perasaan apabila kamu mencatat kemenangan adalah sangat melegakan.
"Sukar dipercayai bahawa semuanya telah berakhir. Saya rasa seperti hanya mahu menangis," katanya.
Sementara itu, Clijsters yang juga ibu kepada seorang anak perempuan, memuji kematangan yang ditunjukkan Azarenka.
"Permainan ini sangat sengit. Ada beberapa situasi yang menjadi penentu dan memberi kelebihan kepada saya.
"Tetapi dia berjaya bertahan dengan baik. Dia bermain dengan sangat agresif, bergerak segenap gelanggang dengan lancar.
"Jadi, dia memang berhak untuk memenanginya," kata Clij- sters lagi. - AFP
No comments:
Post a Comment