Tidak hanya sekadar suka-suka, Nabil mempunyai cerita tersendiri bagaimana dia boleh terjebak dengan sukan tersebut. Anak kelahiran Negeri Sembilan ini mula berjinak-jinak dalam aktiviti riadah berkenaan seawal umur 15 tahun lagi.
"Ketika itu, saya dan kawan- kawan tidak tahu nak buat aktiviti apa untuk mengisi masa lapang. Namun, selepas melihat sukan papan luncur ini, kami jatuh hati dan mula mempelajari selok belok sukan ini.
"Tapi bila saya sudah mula bekerjaya tetap seperti sekarang ini, jarang dapat meluangkan masa untuk aktiviti ini.
"Namun, sekiranya betul-betul ada masa, saya akan melepaskan perasaan di Ekstrem Park Shah Alam atau pun di Mont Kiara," jelasnya yang kini menjadi penyampai radio Suria FM dalam segmen Ceria Pagi di Suria bersama Kencana Dewi dan Halim Othman.
Menceritakan mengenai pengalaman bermain sukan papan luncur, Nabil bersyukur kerana dia tidak pernah mengalami kecederaan teruk sepanjang terlibat dalam sukan tersebut.
"Kawan-kawan saya pernah mengalami kecederaan seperti terkehel dan patah kaki serta pelbagai lagi kecederaan lain.
"Tapi saya pernah jugalah terjatuh ke dalam longkang, itu perkara biasa tetapi tidak parah," jelasnya sambil ketawa kecil kecil.
Selain itu, sebagai bukti kesungguhan dalam sukan tersebut, Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad juga pernah mewakili Negeri Sembilan dalam pertandingan sukan papan luncur tersebut.
"Seingat saya pertandingan sukan ekstrem tersebut diadakan pada tahun 2004 dan berlangsung di Pulau Pinang.
"Saya memang buat betul-betul pada masa tersebut. Walaupun tidak menang sebarang tempat, pengalaman dapat menempatkan diri sudah cukup bermakna bagi saya," jelas Nabil sambil mengikat tali kasutnya yang terlucut, sebelum mula menunjukkan aksi meluncur depan kamera.
Rezeki terpijak
Memiliki ratusan papan luncur, Nabil juga sangat menggemari barang-barang yang berkaitan dengan sukan tersebut.
Jadi, ke mana sahaja anak ketiga daripada tujuh beradik ini pergi, sudah pasti ada sahaja pakaian berkaitan sukan tersebut akan ada di tubuhnya.
"Hendak dijadikan cerita, ketika saya mengadakan persembahan ketika Maharaja Lawak dahulu, saya memakai kasut jenama Vans.
"Tapi saya tidak sangka pula, bermula daripada situ, pihak Vans berminat untuk menaja saya.
"Selain itu, dalam masa yang sama juga saya menjadi duta produk tersebut, kiranya rezeki terpijak," jelasnya ketika ditemui di Petaling Jaya baru-baru ini.
Nabil kini bukan sahaja sibuk dengan bidang penyampai radio yang baru diceburinya itu, malah turut sibuk dengan pelbagai lagi peluang seni yang datang.
Tuah semenjak bergelar suami orang pada Oktober tahun lalu, benar-benar terlihat.
"Saya amat bersyukur dengan kehadiran rezeki sepanjang terlibat dalam industri ini.
"Tapi apa yang lebih penting ialah setiap perkara yang saya lakukan, saya akan lakukannya dengan baik dan memuaskan hati semua pihak," katanya.
Nabil kini mula sibuk dengan latihan persiapan untuk persembahan Lawak Ke Der yang akan diadakan Februari di Istana Budaya.
No comments:
Post a Comment