MENYAKSIKAN aktres Datin Paduka Umie Aida menaiki Buzz Saw Ride, permainan tarikan terbaru di taman tema Dreamworld, Gold Coast, Brisbane, Australia, baru-baru ini membuatkan penulis memberi tabik ‘spring’ kepadanya kerana bukan semua orang berani mencubanya.
Kelembutan pada wajah yang selama ini dapat kita tonton di layar perak dan kaca televisyen menyorokkan jiwa berani empunya tubuh ini.
Apa tidaknya apabila menaiki Buzz Saw Ride, kita akan duduk di kenderaan yang terbuka dan penumpang diikat pada bahagian pinggang dan hanya besi pemegang untuk berpaut.
Permainan itu bermula dengan kenderaan melalui perjalanan menaik yang laju sebelum berhenti di ketinggian 46 meter menegak secara terbalik membuatkan penumpang gayat melihat ke bawah dalam keadaan kepala di bawah manakala kaki di atas.
Kenderaan kemudian meluncur laju ke bawah melingkuk ke kiri dan kanan mengikut pusingan rail seperti menuruni bangunan 15 tingkat, 360 darjah pada kelajuan 105 kilometer sejam (km/jam).
Bayangkan cabaran atau ‘thrill’ yang dilalui dan Umie ketika turun daripada kenderaan itu dengan selambanya berkata, “Wow bestnya, bestnya” sambil menunjukkan tanda bagus.
Keberanian Umie kemudian dapat dilihat apabila mencuba pula Tower of Terror II yang membuat seseorang itu boleh kecut perut.
Permainan ini memerlukan penumpang menaiki kenderaan dengan memandang ke belakang pada kelajuan 160 km/sejam dalam tujuh saat melalui terowong sejauh 206 meter sebelum berhenti pada ketinggian 100 meter di udara dan turun semula dengan memandang ke depan memasuki semula terowong pada kelajuan sama dan berhenti.
Permainan ini antara 10 permainan roller coster paling laju di dunia.
Keberanian Umie itu dapat disaksikan ketika penggambaran program Travelog AirAsia bersama pengacara Edd Razhe yang juga Pembantu Peribadi kepada Timbalan Ketua pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan Air Asia, di Gold Coast, Australia, baru-baru ini.
Menurut Umie, dia memang aktif ketika zaman sebelum berkahwin dan pernah mencuba banyak ‘thrill ride’ di kebanyakan tempat di seluruh dunia dan suka kepada aktiviti lasak.
Bagaimanapun, sejak berkahwin dia kurang menyertai aktiviti lasak kerana tidak berkesempatan dan suaminya juga kurang menggemarinya.
Apabila menerima pelawaan AirAsia, untuk penggambaran Travelog AirAsia rancangan yang disiarkan di saluran TV3, jam 7.30 malam setiap Ahad, Umie menerimanya kerana meminati aktiviti yang dirancang untuk mereka.
Pemenang aktres terbaik Anugerah Skrin 2011 melalui drama ‘Air Mata Salina’ ini berkata, dia suka mencuba benda baru dalam hidupnya dan menyukai aktiviti yang dirancang bagi menjayakan penggambaran rancangan itu.
Jiwa lasak Umie kemudian bertukar penyayang apabila melawat taman binatang liar World Of Wildlife di Dream World yang menyaksikan Umie bermain dan memberi makan kanggaru dan memeluk beruang koala yang menjadi ikon Australia.
Walaupun sebelum ke Dream World, rombongan menempuh perjalanan lebih lapan jam dalam penerbangan dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Gold Coast Coolangatta, Umie masih cergas untuk memenuhi jadual penggambaran episod ke-11, Travelog AirAsia yang memerlukan dia menyertai aktiviti yang agak padat.
Pada hari kedua rombongan, kru TV3 dan wartawan di bawa ke Tangalooma Wild Dolphin Resort di Pulau Moretan yang mengambil masa perjalanan selama 75 minit menaiki bot mewah, The Jet.
Tangalooma Wild Dolphin Resort adalah satu-satunya tempat penginapan di Pulau Moreton.
Cuaca panas terik kerana langit tidak berawan di pulau yang mendapat jolokan ‘tempat pertemuan ikan’ itu bukan masalah kepada pelancong yang kelihatan mandi-manda di sepanjang pantainya.
Selepas makan tengah hari, Umie bersama Ed Radze menaiki helikopter menikmati keindahan pulau gurun pasir ketiga terbesar di dunia itu selama 30 minit dari udara.
Rombongan kemudian dibawa ke kawasan padang pasir menaiki bas beroda besar untuk melakukan luncur pasir, sebelum menunggang quad bike. Umi nampak tidak kekok, malah bersahaja menyertai aktiviti yang disediakan itu. Akhir sekali, aktiviti yang ditunggu-tunggu setiap pengunjung ke pulau itu iaitu acara memberi makan ikan lumba-lumba liar yang saban petang menghampiri pantai Pulau Moreton.
Umie turut diberi berkesempatan memberi makan kepada ikan lumba-lumba itu yang setiap petang datang ke pantai pulau itu.
No comments:
Post a Comment