MELIHAT kelainan dan nilai eksperimen dalam setiap muzik yang digarap trio adik-beradik terkenal, KRU selama ini, penyanyi popular, Jaclyn Victor (Jac) cuba beranikan diri mencatur langkah menjalin kerjasama.
Pertama kali mengikat persefahaman, Jaclyn mengharapkan percubaannya untuk menjadi artis naungan KRU Music Group selepas enam tahun bersama Sony Music adalah satu fasa baru baginya sebagai penyanyi.
Muncul dengan lagu sulung sentuhan Edry Abdul Halim berjudul Sebelah Jiwaku, Jac jelas mencerminkan kelainan pada pesona dan gerak nyanyiannya selain mencuba satu genre yang jarang sekali dinyanyikannya.
“Lapan tahun sebagai penyanyi, tidak mudah untuk saya lari daripada identiti penyanyi bersuara lantang yang popular dengan lagu Gemilang. Itu sudah menjadi satu konsep buat saya yang memperkenalkan bakat dan nama di persada seni.
Peminat sendiri sudah selesa mengenali saya dengan imej dan genre sebegitu.
Tambah Jac lagi, sudah sampai masanya bagi dia mencuba sesuatu yang lain pula.
“Lantas saya melihat empayar muzik KRU adalah satu pakej terbaik yang mungkin dapat membentuk saya baik dari genre lagu, nafas nyanyian dan gaya persembahan.
Kebetulan mereka juga menawarkan saya dengan konsep, muzik dan imej yang segar dan berbeza daripada kelaziman sebelum ini. Ini adalah peluang terbaik buat saya.
“Mereka sudah jauh ke depan dalam mencipta kelainan dalam muzik. Saya tidak perlu untuk ceritakan komitmen dan kesungguhan mereka dalam menghasilkan sesebuah naskhah. Setiap lagu yang digarap penuh elemen segar mampu memenuhi keinginan pendengar masa kini.
“Justeru, saya percaya dan yakin ini satu lagi percaturan yang perlu diambil agar muzik dan kehadiran saya sentiasa relevan dan mampu memberikan kelainan buat peminat yang tidak henti menyokong,” katanya pada majlis pelancaran Sebelah Jiwaku di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sebelah Jiwaku adalah sebuah lagu rancak yang digubah istimewa buat vokal Jac yang punya kekuatan tersendiri. Penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini turut mengikat kontrak selama setahun bersama KRU dan bakal mengeluarkan sebuah album mini tidak lama lagi.
Album mini itu akan dimuat�kan enam lagu yang akan memberikan kelainan buat Jac dan akan dipasarkan sekitar April depan.Dalam pada bersemangat bercerita mengenai lagu terbarunya itu, tidak dapat dinafikan sesekali terselit juga wajah terkilannya kerana sepanjang enam tahun bernaung bersama Sony Music, ia bagai tidak membawanya ke mana.
Bagaimanapun, tatkala persoalan itu diajukan, penyanyi yang kini popular dengan lagu Beribu Sesalan bersama Ning Baizura dan Shila Amzah ini hanya lebih selesa untuk tidak �mengulas panjang kerana jelasnya, Sony tetap rumah pertama yang mengajarnya erti kepayahan dalam membina nama.
“Enam tahun bersama Sony, saya banyak belajar soal persediaan menjadi seorang anak seni. Macam-macam yang saya lalui bersama mereka sejak diangkat juara dalam Malaysian Idol, enam tahun lalu. Ia satu pengalaman yang tetap mengajar saya untuk terus menjadi kuat dan dinamik.
No comments:
Post a Comment