SEJAUH mana kebenaran Fauziah Ahmad Daud mahu mengambil tindakan saman terhadap Johan Raja Lawak, ia belum ada sebarang keputusan hitam putih.
Jelasnya, pengakuan Fauziah atau mesra dengan panggilan Ogy dalam sebuah akhbar arus perdana tidak lama dulu membayangkan tindakan saman itu akan diteruskan.
Beberapa perkara disebutkan Ogy berhubung cara lawak Johan sewaktu mengacarakan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-24, November lalu itu yang menggunakannya sebagai bahan lawak dalam nada persendaan, dianggap biadap dan menjatuhkan maruah.
“Dia memang kurang ajar. Bukan setakat bakat saya, malah arwah ibu dan bapa saya turut dipersenda sesuka hati. Namun yang paling saya terkilan, dia boleh mempersendakan Tahun Gajah, tahun kelahiran Nabi Muhammad junjungan kita.
“Ini satu penghinaan dan saya tak boleh bertoleransi dengan orang yang biadap seperti itu,” luahan Ogy dipetik daripada akhbar berkenaan.
Ogy menambah, atas dasar profesionalisme dan menghormati pihak penganjur, dia terpaksa menunjukkan reaksi tenang sepanjang mengendalikan anugerah berkenaan meskipun menahan rasa kecewa dengan kerenah Johan yang kurang sopan.
Berbohong kalau dirinya tidak terasa apabila ada orang sesuka hati memperkotak-katikkan arwah ibu dan bapanya, mengutuk dirinya sudah tua dan sebagainya.
Dalam kenyataannya itu, turut menyentuh Johan seorang yang berbakat serta pandai berjenaka, namun tidak memandang serius akan kerjanya apabila tiba lewat semasa latihan.
Sudahlah lewat tiga jam dari waktu yang ditetapkan, berat mulut pula untuk meminta maaf. Sikap Johan yang tidak sensitif itu akhirnya membuatkan pembantu peribadinya sendiri datang meminta maaf.
Apa yang pasti, Ogy yang sudah lama bergelumang dalam bidang seni memandang serius hal ini dan ingin memberi pengajaran pada Johan. Sejauh mana teguh keputusannya itu, Harian Metro cuba menghubunginya tetapi gagal.
Sementara itu, Johan ketika diminta memberikan komen mengenai tindakan undang-undang jika Ogy masih mahu meneruskannya, hanya menunggu langkah seterusnya.
“Saya enggan memberikan sebarang komen mengenai hal itu dan sekiranya Kak Ogy ingin masih meneruskan samannya, saya tidak mampu menghalang meskipun saya berharap perkara ini dapat diselesaikan secara baik di luar mahkamah.
“Sewaktu mengacarakan FFM penghujung tahun lalu, penerbit memberi kebenaran kepada kami sebagai pengacara untuk ‘adlib’ skrip agar persembahan lebih hidup tetapi saya tidak sangka gurauan saya dengan niat untuk berlawak mengguris hati Kak Ogy.
“Sewaktu isu ini hangat diperkatakan, saya pernah beberapa kali memohon maaf setiap kali memberi kenyataan kepada media,” katanya.
No comments:
Post a Comment