Jom Buat Duit

Friday, 27 January 2012

Hajat berduet tak kesampaian - Izwan Pilus



HARI ini genap seminggu pemergian Allahyarham Khairil Izwan Pilus, 33, yang kembali ke rahmatullah. Saat ini, pastinya ramai yang masih bersedih, tidak kurang dihambat perasaan terkejut dengan berita kematian arwah secara tiba-tiba.
Ini termasuklah sahabat rapat yang berada di pangkuan arwah tatkala menghembuskan nafas terakhir masih sukar menerima hakikat itu.

Sudah ketentuan Ilahi, yang pergi akan tetap pergi. Hanya doa sebagai ingatan tanda kasih kita buat Allahyarham. Memori indah akan terpahat selamanya di dalam hati.

Buat keluarga Allahyarham, peminat dan sahabatnya, relakan pemergian arwah dan anggaplah kehadiran Izwan dalam hidup kita sebagai pinjaman terindah daripada Yang Maha Esa kerana hadirnya untuk berkongsi secebis kebahagiaan.
Adik arwah, Khairil Azam Pilus (Aril), 27, mengakui sudah mampu menerima qada dan qadar Yang Maha Esa dan sentiasa mengharapkan abangnya itu ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Namun tidak dapat dinafikan, dia merindui saat bersama arwah dan berusaha menjaga amanah arwah dengan baik.

“Arwah pesan jaga emak dan ayah termasuk keluarga baik-baik. Semestinya selepas ini, saya akan merindui arwah kerana di rumah dialah yang menjaga saya.
Dialah yang mencuci dan menggosok pakaian, mengemas bilik dan masak untuk saya.

“Sampaikan dia pernah pesan, kau ni bila nak belajar lipat baju sendiri? Nak tunggu aku mati esok baru nak belajar bertanggungjawab. Masa itu, saya sangkakan hanya gurauan daripada arwah kerana pernah juga dua, tiga kali dia membebel apabila saya tidak ambil berat pasal rumah.

“Saya juga terkilan tidak sempat melunaskan hajat untuk berduet dengan arwah.
Kami memang sudah bersetuju untuk menjalinkan projek kolaborasi kerana antara saya dan abang kami ada ‘tone’ suara yang berbeza. Pasti menarik apabila dua beradik berkongsi pentas dengan ‘attitude’ berlainan.

“Terus terang lagu duet kami sebenarnya dah ada dan sedang disiapkan oleh seorang komposer. Saya belum pasti sama ada mahu meneruskan rakaman ataupun tidak.

“Amanat arwah mahu lihat saya berjaya dalam bidang seni suara dan saya masih mengumpul kekuatan itu untuk melaksanakannya,” katanya yang mula dihimpit perasaan rindu dengan gurau senda abangnya itu.

Sekadar mengimbas, Allahyarham Izwan yang menghidap penyakit Septicemia (Sepsis) serius dan jangkitan virus kencing tikus, menghembuskan nafas terakhir pada 20 Januari lalu tepat jam 6.15 petang di Hospital Ampang, Pandan Mewah.

Jenazahnya dibawa pulang ke kediaman ibu bapanya di Taman Nyalas Permai, Asahan, Jasin, kira-kira jam 9.30 malam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelembang, Gubah, Jasin Melaka, jam 10.30 pagi Sabtu.
Antara artis yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Hafiz, Akim, Amar, Cikgu Siti Hajar, Dayana, Eida Moin, Maya Matahari, Amy Search, Farawahida, Farhan AF, Azza Elite, Fizo, Amar Anak Wayang, Akim, Hafiz, Roslan Shah, Kenchana Dewi, Khairil Khamis dan Reza Mohamad.

Sahabat baik beliau, Farith Taib, juga penyanyi di bawah bimbingan Hazami berkata, Allahyarham yang popular dengan lagu Erti Kasih, Kembali Senyum dan Indah Lelapku seorang yang sangat mengambil berat.

“Pernah satu ketika saya diserang demam cacar, dia sanggup bergegas ke Puchong dari Ampang semata-mata menghantar daun semambu kepada saya. Arwah adalah rakan di kala susah dan senang, tempat saya berkongsi masalah dan pernah satu ketika dia memeluk dan menangis bersama ketika saya sedang menghadapi masalah.
Hakikatnya pemergian Izwan tiada ganti.

“Bukan saja seorang pendengar yang baik, dia juga suka menyakat dan bergurau, malah boleh menjadi seorang yang sangat matang dalam menangani perkara serius,” katanya.

Sementara itu, Huzairi Hassan, 37, sahabat pertama yang mengetahui arwah sakit dan menjaganya selama sebulan menyifatkan Izwan Insan yang penuh seni bukan hanya penyanyi tapi punya bakat yang tak disedari penggiat seni.

“Jika menyanyi, dia berjaya menguasai pelbagai rentak daripada pop, dangdut serta irama asli. Bakat penulisan pun dia ada dan pernah menghasilkan lirik selain berjaya mencipta lagu.

“Seorang yang bercita-cita tinggi dalam bidang seni, malah kebelakangan ini cuba untuk bergiat di belakang tabir. Kebanyakan rancangan yang dia jadi pengacara, boleh dikatakan hampir semua skrip dia tulis sendiri. Antara programnya yang belum keluar adalah Frekuensi, Malar Segar dan Aku Pribumi.

“Individu yang begitu komited dan mementingkan kesempurnaan sehingga dia sendiri pernah buat kajian mengenai herba dan ulaman untuk program Racik-Racik Herba yang dikendalikannya dulu.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters