AMMAN: Seorang lelaki Jordan semalam didakwa kerana melakukan
pembunuhan terancang selepas mencekik kakaknya berusia 35 tahun yang
sudah bercerai hingga mati atas alasan tingkah laku wanita itu
mencurigakan, kata polis.
“Suspek yang berusia akhir 20-an mencekik ibu kepada empat anak itu
hingga mati di Ain al-Pasha di utara bandar raya ini, Rabu lalu selepas
wanita itu pulang dari Lubnan,” kata jurucakap polis.
“Dia
menyembunyikan mayat kakaknya dalam beg pakaian sebelum mencampakkannya
di kawasan ladang terbiar. Dia mendakwa wanita itu berkelakuan
mencurigakan,” katanya.
Menurutnya, mayat wanita malang itu ditemui Jumaat lalu di Safawi di timur Jordan.
“Suspek
mengakui melakukan jenayah itu selepas berlaku pertengkaran antara dia
dan mangsa,” katanya. Perbuatan membunuh dihukum dengan kematian di
Jordan, tetapi dalam kes pembunuhan demi maruah, mahkamah boleh
mengurangkan hukuman terutama jika keluarga mangsa meminta supaya
hukuman lebih ringan dijalankan. Antara 15 dan 20 wanita mati akibat
pembunuhan demi maruah setiap tahun di negara Arab itu walaupun kerajaan
berusaha untuk mengurangkan kes pembunuhan sedemikian. - AFP
No comments:
Post a Comment