SUDAH berpuluh-puluh tahun tidak meraikan 1 Syawal di kampung halaman yang terletak di Merlimau, Melaka, itulah pengakuan daripada mulut penyanyi terkenal, Ziana dan adiknya, Anuar Zain.
Mereka berdua yang ditemui pada sesi fotografi khas sempena Aidilfitri di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor, pada pertengahan bulan Ramadan lalu, mengatakan kali terakhir mereka sekeluarga meraikan 1 Syawal di kampung adalah sekitar tahun 1980-an.
“Saya sendiri sudah tidak ingat tahun terakhir kami dapat pulang beraya di kampung. Sebenarnya bukan kami tidak mahu balik kampung, hari-hari biasa kami kerap juga balik, cuma pengalaman beraya di kampung pada 1 Syawal itu sudah lama tertinggal.
“Tradisi balik raya terhenti sejak kami berdua menjadi penyanyi. Jadual kami sentiasa sibuk terutamanya pada bulan Ramadan dan juga bulan Syawal.
“Rumah keluarga kami di Shah Alam, Selangor pula sentiasa penuh dengan tetamu, mahu tidak mahu kami harus melayan tetamu yang hadir. Jadi, saudara-mara tidak ada pilihan yang lain, mereka yang akan turun ke Shah Alam beraya dengan kami,” kata Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain panjang lebar.
Celah Anuar, 42, yang segak dalam persalinan busana Salikin Sidek mengakui situasi tersebut. Ujarnya, rumah mereka akan dihadiri tetamu dan juga peminat sehingga larut malam.
“Macam mana nak balik kampung, waktu itu ibu bapa kami masih sihat dan rajin layan tetamu yang hadir tidak kira waktu. Selalunya sampai pukul 1 pagi pun masih ada yang memberi salam untuk beraya di rumah kami.
“Sebagai tuan rumah, kami akan melayan sebaik mungkin. Cuma tahun ini, ibu bapa kami sudah tidak sihat seperti dahulu, kakak saya juga sudah ada anak-anak yang perlu diberi perhatian, oleh itu tahun ini kami semua sepakat untuk raya di kampung selama tiga hari,” cerita Anuar penuh semangat.
|
|
Walaupun dapat pulang beraya di kampung, kata pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain itu, sudah ramai ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia di kampung, disebabkan itu suasananya tidak sama seperti waktu mereka kecil.
“Ahli keluarga kami terutama pak cik-mak cik ramai yang telah meninggal dunia, hanya beberapa orang sahaja yang tinggal.
“Apa pun, kami tetap melawat semua saudara-mara yang ada dan raya kami pasti disambut semeriah mungkin. Bukan senang untuk kami dapat cuti dan berkumpul ramai-ramai seperti hari raya,” tutur Anuar yang cukup popular dengan lagu Suasana Hari Raya nyanyiannya bersama Elina.
Malam raya
Ziana, 44, yang merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik memberitahu setiap kali raya saat paling digemarinya adalah pada malam raya.
“Memang saya paling suka pada malam raya. Kesibukan dan keriuhan pada malam raya membuatkan raya kita lebih meriah.
“Tambahan kalau sambut raya di kampung, memang sangat seronok apabila semua saudara-mara berkumpul dalam sebuah rumah, memang sangat kecoh, tetapi saya suka,” kata Ziana.
Jika Ziana sibuk di dapur menyiapkan hidangan untuk pagi raya, Anuar pula kata kakaknya, suka
menyibukkan dirinya dalam setiap situasi.
“Anuar, dia akan cuba menyibukkan dirinya di dapur atau di mana-mana sahaja (ketawa). Sungguhpun begitu, dia tolong juga mana yang patut, anak-anak saudara memang suka kalau Pak Ngah (panggilan untuk Anuar) mereka balik kampung sebab dapat banyak duit raya,” luah Ziana.
Sambung Anuar, apabila tibanya raya, mereka adik-beradik sudah tahu tugas masing-masing.
Contohnya Anuar bertanggungjawab sepenuhnya dalam pembelian kuih raya, malah sempat berbincang dengan kakaknya kuih apa yang harus dibeli ketika sesi fotografi ini dijalankan.
|
|
“Kami sekeluarga memang tidak ada masa buat kuih, semuanya kuih tunjuk sahaja, tetapi sebelum beli, saya akan pastikan kuih itu benar-benar sedap untuk dimakan bukan setakat cantik sahaja.
“Selalunya kuih yang menjadi pilihan adalah kuih tart nenas yang merupakan kuih wajib, selain itu kuih batang buruk, sarang semut, kuih bangkit dan kuih dahlia akan dibeli,” ucap Anuar sambil berkira-kira berapa balang kuih yang harus dibeli.
Belanja raya
Penyanyi lagu Madah Berhelah dan ibu kepada Muhammad Aiman, 12, Muhammad Amar, 9, serta pasangan kembar Muhammad Airil dan Siti Nour Kaseh, 3 tahun, berkata perbelanjaan raya tahun ini agak terlebih disebabkan puteri sulungnya.
“Tahun ini kami sekeluarga memakai baju warna biru cair, saya beli kain sepapan dan tempah. Kalau dikira-kira baju yang paling banyak sudah pasti satu-satunya anak perempuan saya.
“Setiap kali saya terlihat baju kanak-kanak perempuan yang comel pasti saya akan beli untuk Kaseh, itu belum dikira hadiah baju daripada rakan-rakan dan juga saudara. Setakat ini, baju Kaseh sudah ada sepuluh pasang.
“Bukan apa, sebab saya sudah lama menunggu untuk dapat anak perempuan, bila lihat baju kanak-kanak perempuan yang saya tidak boleh beli sebelum ini, saya akan beli untuk Kaseh. Anak-anak lelaki ada juga baju baharu, cuma jumlahnya tidak sebanyak anak perempuan,” kata
Ziana sambil tersenyum.
Pakaian raya Ziana pula sudah ditempah awal-awal lagi, begitu juga dengan Anuar yang menempah baju Melayu. Bagaimanapun, kata Anuar dia tidak berhabis banyak semata-mata untuk meraikan Aidilfitri.
“Mungkin kakak saya akan belanja lebih sebab dia ada anak-anak, kalau saya hanya biasa-biasa sahaja, beli apa yang patut.
“Selebihnya saya akan simpan duit untuk beri duit raya pada anak buah seramai 12 orang. Selepas cuti lebih kurang seminggu, saya akan bekerja seperti biasa,” katanya yang akan muncul dengan album duet bersama penyanyi Dayang Nurfaizah.
No comments:
Post a Comment