HARI ini sudah tiga Syawal dilalui. Namun, Misha Omar masih sakan
beraya di kampungnya, Kelantan, bersama seisi keluarga dan sanak saudara
tercinta.
Tahun ini, katanya, dia mahu pusing satu kampung dan tidak
ketinggalan menziarah kediaman sanak saudara. Sejak awal Ramadan, dia
sudah menyenaraikan rumah saudara mana yang akan diserbu dahulu dan
seterusnya, selain menu raya yang perlu mereka masak untuk menyambut
kehadirannya.
Dia belum punya rencana untuk beraya bersama tunang tersayang, Firoz
Ezzwan Rossly. Sedangkan, ini tahun pertama dan tahun terakhir mereka
terikat dengan ikatan tersebut sebelum merancang berkahwin sekitar
pertengahan tahun depan.
Katanya, dia dan Firoz sengaja berbuat demikian. Bukan tak mahu
merasai raya bersama sebagai tunangan tetapi mereka memilih untuk
meraikan raya terakhir sebagai wanita solo dan lelaki bujang sebelum
menjadi pasukan kelak.
“Saya juga tidak datang beraya ke Kelantan kerana raya keempat telah
mula bekerja. Lagipun kami telah sepakat untuk menikmati raya solo
terakhir dengan keluarga,” ujar Firoz ringkas.
Tambah Firoz, kesuntukan waktu antara sebab membuat dia tidak akan
menziarah keluarga Misha di Kelantan, bagaimanapun tetap mahu membawa
keluarganya bertemu keluarga Misha pada hari raya.
“Barangkali,
pertemuan hari raya ini akan diatur di Kuala Lumpur sahaja,” ujar Firoz
yang masih kekok untuk beraksi di hadapan lensa kamera bersama Misha.
Misha kemudian menambah: “Tapi saya akan tetap berhari raya dan menziarah keluarga Firoz bersama seluruh keluarga saya.
“Sebenarnya, sejak kami bercinta dulu pun, sudah macam menjadi satu
tradisi untuk saya membawa keluarga menziarah keluarga Firoz. Jadi tahun
ini ia akan diteruskan, cuma mungkin ikatan pertunangan itu membawa
makna yang lebih sedikit berbanding sebelum ini.”
Selain tidak meraikan raya secara berdua sebagai tunangan, Misha dan
Firoz juga tidak menyarung baju raya warna sedondon seperti kebanyakan
pasangan lain.
Sekali lagi, alasan pasangan yang cukup bersederhana dalam banyak
segi ini mengatakan, semua perkara tersebut akan dilakukan apabila
mereka berkahwin tahun hadapan.
“Jadi, sebelum saya dan Firoz jadi
satu pasukan boria dengan baju sedondon bila sudah kahwin, tahun ini
kami pilih untuk ikut suka hati nak pakai baju raya warna apa,” tambah
Misha sambil tergelak.
Penyanyi yang juga kini cukup aktif sebagai pelakon itu turut
memberitahu, walaupun tidak memakai pakaian sedondon dengan Firoz, dia
berasa cukup bahagia kerana ibunya tidak pernah ketinggalan membeli kain
untuk semua anak perempuannya dan mereka akan berpakaian sedondon
adik-beradik.
Berbanding persiapan raya yang meriah untuk diri sendiri, Firoz dan
Misha tetap mengutamakan anak angkat mereka, Adam Emir, 6. Segala
keperluan raya Adam dipenuhi dengan sebaik mungkin. Bagi mereka, cukup
sepasang pakaian tradisional digayakan pada pagi raya nan mulia.
“Saya kira, hari raya memang selalu lebih seronok diraikan oleh
kanak-kanak. Sebab itu, anak selalu menjadi keutamaan setiap kali raya.
Untuk orang dewasa, selalunya raya jadi lebih bermakna melalui
pengertian, bukannya pakaian baharu,” tambah Misha.
Biarpun sedang menghabiskan cuti panjang di kampung halaman, wajah Misha dapat ditonton peminat pada Aidilfitri ini.
Dua telefilem raya iaitu Bonus Raya dan Untung Atas Angin yang
ditayangkan di TV1 akan membuat peminat bintang berusia 30 tahun ini
tidak kering gusi dengan keletah lucunya.
Dalam masa yang sama, Misha akan mempamerkan kredibilitinya sebagai
penyanyi hebat bersama Dayang Nurfaizah dan Alyah yang juga bukan
calang-calang menerusi program nyanyian raya Pesona Aidilfitri yang
ditayangkan pada raya keempat di TV1 pukul 9 malam.
Ulasnya: “Saya jarang terbabit dengan program raya, namun sesekali
rindu juga untuk menyanyi. Jadi Pesona Aidilfitri menjadi pengubat rindu
buat peminat kerana selain mendendangkan lagu-lagu raya, kami bertiga
turut menyanyikan lagu hits masing-masing.
“Untuk telemovie raya pula, saya terima kerana ia bersifat komedi dan
memberi saya peluang untuk bekerjasama dengan banyak pelakon sebenar
yang hebat-hebat.”
No comments:
Post a Comment