Jom Buat Duit

Saturday, 25 August 2012

Sasha, Salyo raya bersama


ZAIN dan Sasha (memangku anaknya, Adam) bertuah kerana memiliki ibu yang penyayang dan begitu memahami anak-anaknya.


BAGI sesiapa sahaja yang mendirikan rumah tangga, sudah tentu mereka mengharapkan sebuah perhubungan yang akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.
Bagaimanapun, pelakon Sasha Mohd. Saidin, 35, terpaksa menelan hakikat pahit apabila kini sudah bergelar sebagai seorang janda buat kali kedua setelah mengambil keputusan untuk berpisah dengan bekas suaminya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono.

Tidak mahu lagi mengenang nasib yang menimpa dirinya, Sasha menyatakan dia kini lebih pasrah untuk meneruskan kehidupan dan mahu memberi lebih fokus membesarkan anaknya, Adam Aryasenna Notoemarsono yang kini berusia tiga tahun.

“Siapa yang tidak sedih apabila bahtera rumah tangga yang dibina akhirnya tidak dapat lagi dikekalkan. Saya anggap semua yang telah berlaku ini ada hikmah di sebaliknya.
“Sebelum ini, saya dan Salyo sudah berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga kami, termasuk mendapatkan khidmat kaunseling.

“Namun, kami akur masalah yang dihadapi tidak dapat diselesaikan dan akhirnya kami ambil keputusan untuk berpisah,” ujarnya semasa sesi fotografi bersama Kosmo! di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya mengenai perasaannya apabila tidak lagi dapat menyambut hari lebaran bersama lelaki yang bergelar suami seperti sebelum ini, Sasha menyatakan dia tidak perlu berasa terlalu sedih kerana masih boleh menyambutnya bersama anak dan ahli keluarga yang lain.

Menurut pelakon yang pernah popular bersama kumpulan Elite suatu masa dahulu, dia tetap menyambut Aidilfitri kali ini bersama bekas suami, meskipun kini mereka sudah tidak lagi menjadi pasangan suami isteri.

“Saya dan Salyo beraya bersama pada hari pertama Aidilfitri dengan ibu saya dan anak kami.
“Walaupun sudah bercerai hubungan saya dan bekas suami masih lagi baik sehingga sekarang.,” ujar Sasha.

Mengenai aktiviti yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan yang baru sahaja berlalu, Sasha menyatakan dia agak sibuk dengan beberapa aktiviti seperti berlakon dan memenuhi undangan tampil di pentas peragaan.

Ujarnya, memandangkan statusnya yang bergelar sebagai ibu tunggal, kini dia memberi tumpuan terhadap kerjaya seni dan peragaan serta terus mendapat tawaran semasa bulan Ramadan lalu.
“Sebelum ini saya telah menjalani penggambaran beberapa buah drama seperti Natrah yang mungkin akan ditayangkan selepas raya. Kemudian saya berlakon pula dalam program Super Smash di saluran Astro Ceria, selain program komedi, Jaya Jaya Jaya untuk siaran Astro Warna.

“Ketika menjelang bulan Ramadan pula, saya terbabit dengan program Melodi Aidilfitri serta sebuah lagi program berjudul Inilah Kisahku. Selain itu saya lebih banyak menerima tawaran menjadi model bagi koleksi pakaian raya dan memperaga pakaian,” ujarnya.

Belum terfikir
Walaupun sudah dua kali mengalami kegagalan rumah tangga, Sasha berkata ia bukanlah bermakna dia sudah serik untuk berkahwin lagi pada masa akan datang.
Namun begitu, pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu menjelaskan buat masa sekarang, memang belum terlintas lagi di fikirannya untuk mencari pengganti.

“Andai ditakdirkan saya akan bertemu jodoh lagi selepas ini sudah tentu saya tidak akan menolaknya, namun sekarang ini biarlah saya memberikan tumpuan membesarkan anak saya terlebih dulu.
“Lagipun setiap wanita pastinya mengimpikan sebuah kehidupan yang bahagia bersama lelaki yang bergelar suami. Apa yang sudah berlaku terhadap diri saya ini dapat dijadikan pengajaran yang paling berguna untuk menempuhi kehidupan yang mendatang,” ujarnya.

Menurut Sasha, biarpun sekarang sudah memiliki seorang cahaya mata lelaki, namun dia sebenarnya berharap dapat memiliki lebih ramai anak dan sebab itu dia tidak akan menolak sekiranya bertemu jodoh buat kali ketiga.
Suasana kampung
Sementara itu, adik Sasha, Zain berkata, setiap kali tibanya perayaan Aidilfitri, sudah menjadi kelaziman dia bersama ibu, ayah dan kakaknya akan menyambutnya di Kuala Lumpur sahaja setiap tahun.

“Datuk dan nenek saya memang berasal dari Kuala Lumpur dan mereka menetap di Taman Kamariah, Gombak. Biarpun sekadar menyambutnya di ibu kota, namun kemeriahan masih tetap dirasai.

“Seingat saya, cuma sekali sahaja saya berkesempatan menyambut hari raya di kampung rakan yang terletak di Taiping, Perak dan memang rasa seronok sangat sebab dapat mandi air terjun dan bermain meriam buluh. Sejujurnya, saya memang berasa sangat gembira dapat merasai suasana kampung semasa hari raya,” ujarnya.

Mengenai juadah yang digemari sewaktu Aidilfitri, antara hidangan wajib ada dan menjadi kegemarannya seperti lemang, nasi himpit dan kuah lodeh serta biskut Almond London.
Bercerita lebih lanjut mengenai kerjayanya yang semakin berkembang, Zain menyatakan, dia tetap sibuk sepanjang Ramadan lalu kerana masih lagi menerima tawaran untuk berlakon.
Selain sibuk dengan drama berjudul KL Drift The Series yang sudah memulakan penggambaran sejak Jun lalu, pelakon berkenaan juga turut membintangi dua buah telefilem yang akan disiarkan pada musim perayaan ini.

“Boleh dikatakan pada tahun ini tawaran lakonan yang diterima memang banyak. Jadi, saya ambil keputusan untuk terima apa sahaja tawaran, meskipun terpaksa menjalani penggambaran pada bulan puasa.
“Malah, saya juga mungkin tidak akan bercuti panjang pada hari raya ini kerana akan kembali menjalani penggambaran semula untuk drama KL Drift pada minggu kedua raya,” jelasnya.

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters