ROMPIN - Gara-gara menjalin hubungan cinta songsang, seorang remaja
dibelasah dengan tongkat kayu sebelum dicabul dua lelaki di dalam sebuah
kereta ketika dalam perjalanan dari Bandar Tun Razak ke Temerloh.
Gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Ina (bukan nama sebenar) bukan
saja dibelasah dan dicabul, malah dia yang berada di tempat duduk
penumpang belakang turut dimaki dengan kata kesat dan dipaksa makan cili
api.
Lebih mengaibkan, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘bomoh’
sempat merakamkan gambar dan video Ina yang tidak berbaju itu dalam
telefon bimbit sambil mengugut untuk menyebarkannya dalam Internet.
Ina yang berusia 19 tahun itu berkata, sepanjang perjalanan itu juga,
dia didera fizikal dan mental apabila diasak pelbagai pertanyaan
keluarga Tasha (bukan nama sebenar) dan bomoh terbabit tentang hubungan
sejenisnya dengan wanita itu.
“Keluarga Tasha datang jumpa keluarga saya di rumah dan paksa saya
supaya ikut mereka ke Temerloh kononnya untuk berbincang dan
menyelesaikan secara baik kesalahan yang dilakukan saya terhadap Tasha,”
katanya.
Menurutnya, ibunya yang bimbang sesuatu terjadi ke atas dirinya
menghubungi abangnya memaklumkan tentang kedatangan keluarga Tasha ke
rumahnya bagi menyelesaikan kes terbabit.
“Bagaimanapun keluarga Tasha tetap berkeras untuk membawa saya ke Temerloh untuk menyelesaikan perkara itu.
“Pada mulanya, mereka tidak membenarkan emak dan kakak saya ikut, namun
setelah didesak beberapa kali akhirnya mereka terpaksa membawa
kedua-duanya sekali ke Temerloh.
“Emak saya mula curiga, apabila saya dipaksa menaiki kereta berasingan
sedangkan emak dan kakak menaiki kereta yang sama,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, atas alasan bomoh itu yang kononnya tidak
berbuat apa-apa terhadap diri saya di dalam kereta terbabit, akhirnya
ibu akur dengan alasan tersebut.
“Segala-galanya berubah apabila saya yang duduk di tempat penumpang
belakang diapit abang Tasha dan bomoh telah bertindak kejam dengan
memukul saya dengan tongkat kayu sambil melemparkan kata kesat,”
katanya.
Ina berkata, bomoh itu turut merakamkan video dan gambar dia tidak
berbaju sambil memaksanya untuk memandang kamera telefon bimbit
tersebut.
Katanya, bomoh dan abang Tasha juga mengugut untuk membawanya ke sebuah
penempatan Orang Asli kerana ada tujuh lelaki di situ yang sudah sedia
menunggu untuk merogolnya.
“Bagaimanapun, ibu Tasha menghubungi anaknya itu supaya segera membawa
saya ke rumah mereka kerana sudah lama menanti,” katanya.
Katanya, sebaik saja sampai di rumah ibu Tasha, dia dipukul wanita itu.
Menurutnya, kejadian dia dipukul itu hanya mampu disaksikan ibu dan
kakaknya itu memandangkan mereka tidak dibenarkan untuk menghalang
perbuatan kejam tersebut.
Bagaimanapun, katanya, sebaik dia tiba di rumah, dia menceritakan
segala-galanya detik dia dicabul dan dipukul oleh bomoh dan abang Tasha
kepada keluarganya sebelum laporan polis dibuat bagi menuntut keadilan
bagi pihaknya.
“Pada mulanya, kita tak mahu memperbesarkan perkara ini, namun tindakan
yang dilakukan oleh keluarga Tasha amat kejam hingga mendatangkan
kecederaan dan mencabul kehormatan saya,” katanya.
Menurutnya, sehari selepas kejadian itu, dia membuat laporan polis di
Balai Polis Seksyen 9 Shah Alam sebelum membuat laporan polis seterusnya
di Balai Polis Bandar Tun Razak, Keratong.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Rompin, Asisten Superintendan, Zainul Mujahidin Mat Yudin mengesahkan
pihaknya ada menerima laporan berhubung kes terbabit.
Zainul Mujahidin berkata, polis menahan seorang daripada suspek untuk membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment