Ahmad (tengah) menerima sumbangan daripada Mohamad
Zin yang mewakili Akademik Bomba dan Penyelamat Ipoh ketika berkunjung
ke rumahnya baru-baru ini.
IPOH – “Pakcik tinggal berdua dengan makcik. Anak tiada, anak kucing
banyak,” seloroh seorang warga emas ketika menerima kedatangan rombongan
Akademik Bomba dan Penyelamat Ipoh baru-baru ini.
Ahmad Osman, 84, berkata, disebabkan minat yang mendalam terhadap
kucing dia dan isterinya tidak betah melihat kucing yang kesakitan,
merayau-rayau dan merayu meminta makanan pasti kucing itu akan menjadi
sebahagian ahli keluarganya.
Menurutnya, sehingga kini, dia mempunyai 21 kucing yang dipelihara di
rumahnya sebagai peneman mereka berdua di kala kesunyian dan tiada
masalah baginya untuk menyediakan makanan untuk kucing-kucing itu kerana
rezeki mereka tetap ada.
“Pakcik bekas tentera tetapi hanya berkhidmat selama 12 tahun, jadi
tidak dapat pencen. Pakcik hanya dapat elaun RM150 sebulan dan bantuan
dari Baitul Mal sebanyak RM200, cukuplah untuk menampung kami berdua
dengan sewa rumah RM35,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan
bagaimanapun, disebabkan faktor usia dia telah berhenti pada tahun lalu.
Hadir sama, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohamad Zin Salleh.
Katanya, kini dia menjaga isterinya, Mah Baba, 86 yang terlantar dan tidak boleh berjalan sejak pembedahan lutut pada 2008.
“Pakcik yang menjaga segala keperluan makcik. Semua kena bantu sebab
makcik dah uzur. Selepas raya mungkin pakcik akan berpindah ke Parit
Buntar kerana tuan rumah mahukan semula rumah ini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai persiapan raya, Ahmad tidak membuat apa-apa
persiapan namun sempat bergurau akan merebus ketupat segera yang orang
beri kepadanya sebagai juadah hari raya.

No comments:
Post a Comment