QUE bersama dua orang anaknya, Qalif dan Ratu serta
isteri, Linda pada majlis sambutan ulang tahun Ratu tahun lalu. Anak
ketiga mereka, Cleopatra tiada dalam gambar.
SIAPA tidak sayang anak! Begitu juga perasaan pelakon berbakat besar,
Que Haidar apabila baru-baru ini nama cahaya mata keduanya yang
dilahirkan tiga bulan lalu menjadi pertikaian banyak pihak.
Ada yang mendakwa nama Tengku Cleopatra Haidar sangat kebaratan dan
tidak sesuai diberikan untuk seorang yang beragama Islam, malah ramai
yang menyarankan dia memilih nama yang lebih mencerminkan nilai Melayu
dan Islam.
Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 33, yang
juga memiliki dua orang anak bersama guru tarian, Linda Jasmine iaitu
Qalif Khan (anak hasil perkahwinan pertama Linda) dan Tengku Ratu
Haidar, 4, tampil memberikan penjelasan dan menyatakan pendiriannya
kepada Kosmo! ketika ditemui di sebuah majlis anjuran Lord’s Tailor di
Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Que sedar atau tidak akan kata-kata sesetengah pihak yang
kurang senang apabila anda menamakan puteri kedua dengan nama Tengku
Cleopatra sempena nama permaisuri Mesir suatu ketika dulu?
QUE: Sebelum memilih nama itu, kami sudah memikirkan baik buruk dan
sudah memahami maksud di sebalik nama itu. Ertinya kekuatan bapa atau
glory of father daripada bahasa Greek.
Jadi apa masalahnya? Saya rasa tidak perlu timbul isu sesuai atau
tidak sesuai nama yang saya beri kepada anak saya. Apakah nama yang
sesuai dan melambangkan orang Johor atau orang Malaysia?
Apabila ada juga sesetengah pihak yang menilai pemilihan nama yang
sesuai mencerminkan akhlak seseorang anak, bagaimana pandangan anda?
Tidak ada kena-mengena nama seseorang dan personaliti. Jika dibentuk
dengan cara yang baik, maka akan jadi baiklah seseorang itu. Nama itu
pun bukan membawa maksud sesuatu yang buruk. Contohnya nama bapa saya
iaitu Tengku Haidar yang bermaksud singa, tapi bagi saya dia lelaki
paling mulia dan baik yang pernah saya kenali dalam hidup. Jadi bukan
nama orang yang menilai personaliti.
Anda ada alasan sendiri untuk tidak mempedulikan kata-kata orang sekeliling?
Saya menghiburkan masyarakat sejak usia 16 tahun lagi dan sekarang
sudah tiba waktu untuk saya berasa gembira dengan keputusan dan
kehidupan saya. Saya gembira memilih nama Tengku Cleopatra Haidar untuk
anak saya dan keluarga saya juga gembira. Ini masa saya dan inilah saya
sekarang! Saya gembira untuk memanggilnya dengan nama itu.
Pandangan anda terhadap komen-komen negatif di internet berkenaan pilihan nama Cleopatra?
Saya tidak anggap perkara itu besar dan saya rasa orang yang
memberikan komen di internet tidak berapa pandai. Anak saya seorang
Islam dan saya sendiri yang qamat Tengku Cleopatra Haidar. Saya rasa
tidak menjadi masalah.
Terkilan atau sedih dengan perkara ini?
Saya sedih apabila kebanyakan yang memberikan komen terdiri daripada
kaum Melayu dan bagi saya mereka berfikiran sempit. Tapi tidak kurang
juga ada yang memuji. Saya agak terperanjat sebenarnya dengan respons
negatif segelintir pihak, tapi tidak mengapa kerana ia tidak memberi
kesan pun.
Memandangkan anda sekarang sudah semakin menyepi daripada dunia seni,
mungkin anda ada perancangan lain selain daripada berlakon?
Tawaran berlakon masih ada, cuma saya terlalu cerewet. Saya perlu
pastikan skrip, karakter, pengarah dan pelakon lain menepati kriteria
yang saya inginkan. Saya melihat keseluruhan aspek kerana saya kini
mempunyai keluarga yang perlu diberikan perhatian dari segi masa. Saya
mahukan sebuah naskhah yang mempunyai pengisian ke arah kemasyarakatan
dan bermakna untuk memberi pendidikan kepada penonton.
Selain meluangkan masa bersama keluarga, apa aktiviti lain buat masa sekarang?
Saya masih menantikan tayangan filem Rock 2 pada bulan Mac tahun
depan. Selepas pementasan Primadona, saya ada terfikir untuk berlakon
dalam beberapa buah teater lain, tapi belum diputuskan buat masa
sekarang. Saya belum sedia untuk menjadi pengarah kerana risikonya
tinggi dan biar betul-betul bersedia. Buat masa sekarang kebanyakan
projek saya masih dalam proses perbincangan.
Kosmo
No comments:
Post a Comment