Jom Buat Duit

Saturday 23 June 2012

Anuar henti dengar radio

WALAUPUN dirinya telah lama diangkat sebaris dengan artis-artis berstatus perdana tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk M. Nasir, keperibadian serta sifat rendah dirinya kekal seperti dahulu.
Mungkin kerana faktor itu, ditambah dengan kekuatan serta kebolehan vokalnya yang mantap, telah menjadikan nama Anuar Zain terus terpahat di hati peminat.

Setelah beberapa tahun tidak muncul dengan album baharu, kini Anuar kembali membawa buah tangan terbaharu khusus buat para peminatnya. Ia adalah sebuah album berjudul Anuar Zain.
Namun, di sebalik kegigihan pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2011 ini mempromosikan album miliknya itu, terpalit sedikit duka pada raut wajahnya apabila bercerita mengenai industri muzik tanah air.
Wajah kacak yang tidak lekang dengan senyuman itu bertukar pahit apabila dia mengakui sudah lama tidak mendengar radio.

“Sejujurnya saya berasa sedikit kecewa dengan kebanyakan stesen-stesen radio tempatan yang seakan-akan telah lupa warna-warni dunia muzik kita.
“Hampir setiap hari, apabila saya membuka siaran radio, lagu yang sama dari genre yang serupa akan dimainkan berulang-ulang kali sehinggakan sebahagian daripada kita mula berasa jelak,” jelasnya ketika ditanya alasannya berkata demikian.
Ketika ditemui sewaktu majlis An Afternoon With Anuar Zain di Bistro 42, Bangsar Village 2 baru-baru ini, Anuar dengan sedikit berat hati menjelaskan kekecewaannya apabila terdapat unsur ‘pilih bulu’ dalam pemilihan lagu yang dikeluarkan di corong-corong radio.

Menurutnya, stesen-stesen radio ini seoalah-olah mempunyai ‘garis panduan’ tersendiri dalam memilih lagu.
“Kadangkala ada lagu yang bagi saya tidaklah terlalu menarik tetapi sering diputarkan di radio sementara sebahagian lagu-lagu lain dibiarkan begitu sahaja.

“Saya berasa sedikit sedih apabila melihat rakan-rakan seperjuangan yang bersusah payah mengeluarkan duit sendiri untuk membuat album namun lagu-lagu mereka tidak dimainkan di radio,” ujarnya yang tampil serba ringkas di majlis tersebut.
Bagaimanapun menurut Anuar, kewujudan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube telah memberikan sinar baharu kepada lagu-lagu yang sering di anak tirikan ini.

Katanya lagi, laman-laman sosial ini membolehkan peminat-peminat ‘lari’ daripada kebiasaan dan tidak perlu terikat dengan senarai lagu yang telah ‘diprogramkan’ oleh stesen-stesen radio.
“Menerusi laman-laman sosial seperti YouTube contohnya, peminat-peminat boleh mendengar lagu yang mereka gemar dan tidak dimainkan di radio dengan sesuka hati.
“Mereka kemudiannya akan berkongsi lagu tersebut dengan orang lain menerusi laman sosial yang lain seperti Facebook, Twitter dan sebagainya,” ujarnya yang kini hanya bergantung kepada iPod miliknya untuk mendengar lagu.

Bagaimanapun dengan nada sedikit tegas, Anuar berkata, memang benar aktiviti perkongsian lagu di internet memberi platform untuk mempromosikan lagu-lagu mereka namun risiko untuk ia menjadi perkara yang negatif tetap ada.
“Terdapat peminat yang gemar merakam persembahan-persembahan artis dan kemudiannya memuat naik rakaman tersebut ke laman YouTube. Perkara ini bagus kerana dapat memberi publisiti percuma kepada penyanyi itu.

“Bagaimanapun, jika tujuan memuat naik rakaman tersebut adalah untuk memburuk-burukkan artis tersebut, ia haruslah dielakkan,” ujarnya yang sempat menyanyikan tiga buah lagu daripada album terbaharunya yang sudah pun berada di pasaran pada penghujung tahun lepas.
Mengulas lebih lanjut mengenai album tersebut, Anuar memberitahu, kesemua lapan buah lagu, termasuklah Cinta Harus Memiliki dan Ku Berjanji Kerna Cinta digarap dengan begitu teliti agar melodinya melengkapi lenggok vokalnya.

“Saya terlibat secara langsung dalam proses pemilihan lagu-lagu yang akan dimuatkan dalam album tersebut supaya hasil akhirnya dapat memuaskan hati semua pihak, termasuklah peminat dan diri saya sendiri.
“Saya juga berharap agar lagu-lagu yang dimuatkan di dalam album ini dapat menyuntik ketenangan ke dalam diri para pendengar,” ujarnya yang turut mempertaruhkan dua lagi single iaitu Ajari Aku dan Sempurnakan Aku dalam album tersebut.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters