ZAGREB, Croatia - Lapan orang maut dan sekurang-kurangnya 44 orang
cedera apabila sebuah bas dari Republik Czech yang membawa lebih 50
penumpang merempuh halangan berhampiran sebuah terowong di sini
kelmarin.
Kemalangan berlaku sekitar pukul 4 pagi (waktu tempatan) di sebatang
jalan raya yang menuju ke satu destinasi pelancongan terkenal di bandar
Adriatic, Split.
"Sebuah bas dengan nombor pendaftaran Republik Czech merempuh
halangan keselamatan dan terbalik dekat terowong di Sveti Rok, 230
kilometer dari Zagreb," kata Direktorat Penyelamat dan Perlindungan
Nasional.
Media tempatan melaporkan, tujuh mayat mangsa ditemui, sementara
mangsa kelapan dikeluarkan tidak lama kemudian daripada bangkai bas.
Duta Republik Czech ke Croatia, Karel Kuhnl dipetik akhbar Jutarnji List sebagai berkata, pemandu bas maut dalam kemalangan itu. Sementara pembantunya cedera dan dimasukkan ke hospital.
"Semasa kemalangan, semua penumpang sedang tidur," kata Kuhnl.
Menurut pasukan penyelamat, mangsa yang cedera dibawa ke sebuah
hospital berhampiran bandar Gospic. Tiga mangsa yang cedera parah iaitu
seorang wanita dan dua kanak-kanak dibawa oleh helikopter tentera ke
Zagreb.
Seorang jurucakap agensi pelancongan, Martin Vasulin berkata, semua penumpang bas merupakan warga Republik Czech. - AFP
No comments:
Post a Comment