Jom Buat Duit
Tuesday, 19 June 2012
Strategi van Marwijk punca Belanda tewas
KHARKIV, Ukraine - Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan skuad The Oranje mara ke peringkat suku akhir Euro 2012.
Impian Belanda untuk meneruskan saingan ke kelompok lapan pasukan terakhir lebur selepas tewas 1-2 kepada Portugal pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Metalist awal pagi semalam.
Kekalahan itu turut menyebabkan Belanda menamatkan saingan tanpa mengutip sebarang mata selepas tewas kepada Denmark 0-1 dan Jerman 1-2 dalam dua perlawanan sebelum ini.
Pada aksi menentang Portugal awal pagi semalam, van Marwijk telah melakukan perubahan dalam kesebelasan utama apabila menggandingkan Rafael van der Vaart dengan Klaas-Jan Huntelaar bagi menerajui jentera serangan pasukan itu,
Meskipun sedar ia bakal mendatangkan risiko buat Belanda, namun van Marwijk menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai pilihan lain selain membuat keputusan tersebut.
"Saya pernah memberitahu sebelum ini, ia merupakan situasi yang istimewa sekiranya mencatat keputusan seri pada perlawanan terakhir atau pertama.
"Mungkin ia akan berlarutan ke masa tambahan atau penentuan sepakan penalti (pada pusingan kalah mati). Namun, kami (Belanda) sedar bahawa kami perlu menang ke atas Portugal sekurang-kurangnya dengan kelebihan dua gol.
"Sebab itu, kami perlu mengambil risiko tersebut. Ada masa ia mendatangkan hasil yang positif, begitu juga sebaliknya. Dalam situasi ini, ia gagal menghasilkan keputusan yang kami mahukan.
"Kami kecewa dengan kekalahan ini. Para pemain telah beraksi dengan baik dan saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan ini," kata van Marwijk.
Pada aksi awal pagi semalam, Belanda terlebih dahulu di depan hasil jaringan van der Vaart seawal minit ke-11.
Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila Portugal kembali menyamakan kedudukan menerusi kaptennya Cristiano Ronaldo pada minit ke-28.
Ronaldo membuktikan ketajaman sentuhan penyudahnya apabila meledak gol kemenangan Portugal pada minit ke-74. - AFP
Labels:
Euro 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment