JIKA sebelum ini namanya sering dikaitkan dengan khabar angin yang
tidak enak didengar, keputusan Shahz Jaszle untuk menukar namanya ke
Shahrizal mungkin membawa berkat.
Berdasarkan sekeping gambar di Instagramnya, pelakon tampan yang
sebelum ini sering digosipkan dengan beberapa artis wanita terkenal
seperti Maria Farida dan Neelofa, bakal merisik kekasih hatinya,
Redzwani Puteri.
Ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, Shahrizal dengan nada sedikit
teruja mengesahkan perkhabaran tersebut dan mengatakan semua perancangan
sedang diuruskan pihak keluarga kedua-dua belah pihak.
Menurutnya, setelah setahun berkawan, sudah tiba masanya untuk mereka membawa ikatan tersebut pada langkah seterusnya.
KOSMO!: Anda dikatakan bakal merisik kekasih hati, Redzwani Puteri
pada 15 Julai ini berdasarkan sekeping gambar yang dimuat naik ke laman
Instagram anda. Sejauh mana kebenarannya?
SHAHRIZAL: Ya, perkara itu memang benar. Buat masa ini, pihak
keluarga kami berdua sedang sibuk menguruskan segala perancangan untuk
majlis tersebut. Jadi saya hanya mengikut sahaja apa yang ditentukan
oleh mereka kelak.
Kenapa tanpa sebarang desas-desus, anda mengambil keputusan untuk mengadakan majlis merisik tersebut?
Saya percaya semua itu adalah jodoh kerana hubungan kami bermula
sebagai kawan biasa kira-kira setahun yang lepas. Lama-kelamaan, kami
menjadi semakin rapat dan akhirnya bergelar pasangan kekasih pada awal
tahun ini.
Boleh ceritakan sedikit bagaimana pertemuan yang hanya menjangkau usia setahun boleh sampai ke tahap ini?
Seperti yang saya katakan, itu semua ketentuan Ilahi. Saya tertarik
dengan personaliti Redzwani. Daripada seorang kawan biasa, menjadi rakan
rapat dan akhirnya bergelar kekasih. Lagipun keluarga kami saling
mengenali. Ibu saya dan ibu Redzwani sebenarnya sudah lama berkawan,
jadi mungkin dia (ibu Shahrizal) berkenan dengan Redzwani juga.
Bila dan di mana majlis merisik akan diadakan nanti?
Semuanya masih dalam perancangan lagi, cuma tarikh sahaja yang telah
diputuskan. Saya dimaklumkan majlis tersebut akan berlangsung di
kediaman Redzwani di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.
Sebelum ini anda sering dikaitkan dengan artis-artis wanita lain
seperti Neelofa dan Miera Liyana. Adakah majlis ini akan menutup segala
gosip-gosip tersebut?
Saya sudah mengenali Redzwani untuk tempoh yang agak lama dan
sepanjang tempoh itu, hanya dia berada dalam hati saya. Jadi, apa yang
digembar-gemburkan sebelum ini hanyalah gosip semata-mata.
No comments:
Post a Comment