Jom Buat Duit

Thursday 21 June 2012

Maut rempuh pokok

KANGAR: Bekas pelatih Pusat Giat Mara di sini bersikap pelik apabila termenung dan enggan masuk ke rumah rakannya untuk menonton Euro 2012 walaupun sebelum itu memberitahu ibunya dia mahu menyaksikan perlawanan bola sepak sebelum motosikal ditunggangnya merempuh pokok di Jalan Long Boh, Utan Aji, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, Luqman Hakim Abd Ghani, 19, dari Kampung Sanglang dekat sini, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala yang retak tempurungnya.

Abang iparnya, Mohd Hanil Mohd Hashim, 29, berkata, dia diberitahu ibu mentuanya, Aminah Abdullah, 61, bahawa Luqman Hakim mahu ke rumah rakannya di Taman Cempaka, Tambun Tulang, di sini, untuk menonton Euro 2012.

Menurutnya, adik iparnya yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik, sempat memeluk dan mencium ibunya sambil meminta maaf sebelum keluar rumah pada jam 9 malam kelmarin, sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian sebelum ini.

“Luqman Hakim juga dikatakan tidak mahu menyaksikan perlawanan bola sepak itu selepas tiba di rumah rakannya dan enggan masuk ke rumah biarpun dipelawa beberapa kali.

“Dia beritahu mahu ke Kangar dan sempat menukar kasut yang baru dibelinya dengan rakannya itu,” katanya.


Rakan mangsa, Mastura Ramli, 20, pelatih Pusat Giat Mara Jejawi, berkata, kali terakhir mereka bertemu Mei lalu ketika Luqman Hakim datang ke pusat kemahiran itu untuk mengambil elaun bulanannya.

“Dia yang suka bergurau, kelihatan kurang mesra. Saya terkilan kehilangan rakan kerana kini tiada lagi teman yang suka mengusik. “Arwah memang suka bergurau ketika kami berbual di facebook sepanjang dua minggu lalu,” katanya. Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superintendan Rosli Yahaya berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pokok jati di tepi jalan.

Menurutnya, akibat rempuhan itu, mangsa tercampak menyebabkannya mengalami kecederaan parah di kepala dan mati di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jenazah mangsa dituntut keluarga untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Padang Gelanggang Kampung Sanglang, di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters