Jom Buat Duit

Saturday 23 June 2012

Irma terus aktif lepas nikah

NIATNYA cuma ingin mencari keberkatan dengan menziarah bumi suci Mekah, namun tidak disangka, kunjungan kali ketiganya Februari lalu bakal mengubah segalanya.
Bagi Irma Hasmie, mungkin sudah suratan Ilahi, sapaan mesra seorang wanita yang kelak bakal bergelar ibu mertuanya, Datin Azizah Osman, menjadi detik permulaan untuknya sebagai seorang isteri.
Di Mekah, dia diperkenalkan bakal mertuanya dengan anak lelakinya yang kemudian berjaya memikat hati Irma nya untuk bergelar isteri.

Kini, kurang lagi dua minggu sebelum menjadi permaisuri hati bakal suaminya, Reza Syah Azmeer Radzuan, Irma sedang sibuk menguruskan segala perancangan agar majlis perkahwinannya itu nanti berjalan seperti yang diimpikan.
Mensyukuri segala nikmat yang datang, dia berkata majlis perkahwinannya pada 29 Jun ini akan dilangsungkan dengan suasana sederhana tetapi diharap penuh keberkatan.

Kosmo!: Irma baru pulang dari mengerjakan umrah untuk kali keempat baru-baru ini, ada sebarang perkara menarik berlaku semasa anda di sana?
IRMA HASMIE: Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan saya berjaya menunaikan umrah dengan tenang. Selalunya bila pulang ke tanah air, kita akan berasa sedikit tidak sihat, namun kali ini semuanya berada dalam keadaan sempurna.
Adakah salah satu sebab anda mengerjakan umrah kali ini adalah untuk mendapat keberkatan untuk majlis perkahwinan yang akan berlangsung tidak lama lagi?
Setiap perkara yang kita lakukan mestilah mendapat keberkatan daripada-Nya. Jadi tidak dinafikan, jauh di sudut hati, saya berharap majlis itu nanti akan berjalan dengan lancar.

Bercakap mengenai majlis perkahwinan, bagaimana persiapan majlis tersebut setakat ini?
Boleh saya katakan bahawa semua perancangan sedang berjalan dengan lancar dan saya sangat bersyukur kerana pihak keluarga daripada kedua-dua belah pihak banyak membantu kami. Dari segi persiapan, apa yang patut diuruskan terlebih dahulu seperti pemilihan lokasi serta dekorasi telah lama saya selesaikan. Apa yang tinggal sekarang hanya beberapa persiapan terakhir.
Maksud persiapan terakhir? Adakah anda sedang merancang sesuatu yang istimewa untuk majlis itu nanti?
Sudah pasti tidak. Majlis perkahwinan saya nanti sama seperti perkahwinan orang lain juga. Tiada sebarang gimik atau perancangan istimewa. Bagaimanapun, saya tetap berharap ia akan berlansung dengan meriah walaupun sederhana.

Adakah bakal suami anda turut terlibat dalam segala persiapan majlis ini atau menyerahkan segalanya mengikut cita rasa anda?
Syukur Alhamdulillah dia sentiasa menyokong dan berada di sisi saya sepanjang proses yang sungguh memeningkan kepala ini. Saya pasti dia pun sedar yang majlis tersebut bukanlah untuk saya seorang tetapi untuk kami berdua jadi dia sentiasa memberikan idea dan pandangan dalam segala keputusan yang diambil.
Adakah majlis perkahwinan anda nanti bakal menjadi Wedding of the Year?
Saya hanya mahukan perkahwinan yang sederhana dan mengikut kemampuan kami sekeluarga. Bagaimanapun, saya amat berterima kasih kepada rakan-rakan yang banyak menghulurkan bantuan bagi memeriahkan majlis kami nanti. Sebagai contoh, segala dekorasi di dalam dewan perkahwinan itu nanti ditaja oleh Decasa Flora manakala pakaian kami telah direka khas oleh Izwan dan Hatta Dolmat. Sekali lagi kami amat berterima kasih kepada semua rakan-rakan yang menyumbang untuk memeriahkan majlis kami.

Dalam tempoh terdekat ini, kita akan menyambut bulan Ramadan. Apa perasaan anda menyambut Ramadan pertama sebagai seorang isteri?
Sejujurnya saya berasa amat gembira untuk menyambut Ramadhan kali ini. Jika sebelum ini saya berpuasa seorang diri, makan pun kadangkala hanya berbekalkan nasi bungkus, kali ini semuanya berbeza. Saya akan sentiasa berteman. Tidak sabar rasanya untuk menjalani ibadah puasa bersama bakal suami.

Bagaimana pula dengan kerjaya? Adakah anda akan kurangkan aktiviti berlakon semasa bulan puasa? Lebih-lebih lagi selepas baru bergelar isteri?
Bagi saya, bulan puasa sama seperti hari-hari biasa. Apa yang membezakan adalah keberkatannya. Jadi, jika ditanya mengenai kerjaya, saya akan bekerja seperti biasa tetapi jika boleh, saya akan akan cuba untuk mengurangkan aktiviti di sebelah malam. Pada waktu ini (malam), Insya-Allah saya akan menumpukan lebih banyak masa untuk beribadat dan menunaikan tanggungjawab sebagai isteri kepada suami dan keluarga.
Tidak bercadang untuk berehat sebentar bagi menumpukan perhatian terhadap rumah tangga anda?
Seperti yang saya maklumkan tadi, walaupun sibuk, saya akan cuba mengimbangi masa antara kerjaya dan keluarga. Bagaimanapun, saya telah mengambil keputusan untuk berehat selama seminggu selepas majlis di rumah pihak lelaki pada 7 Julai nanti. Selepas itu, saya akan kembali bekerja seperti biasa.
Kata-kata akhir anda?
Saya hanya mampu berharap agar majlis perkahwinan kami nanti diberkati dan dirahmati oleh-Nya dan saya meminta agar para peminat mendoakan kebahagiaan rumah tangga kami.

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters