KRAKOW, Poland - Penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon melancarkan
perang psikologi menjelang aksi suku akhir menentang England di Stadium
Olimpik, Ukraine awal pagi esok.
Meskipun mengakui terlalu awal untuk meramal Itali menjuarai Euro kali ini, Buffon, 34, berkata, skuad The Azzurri memiliki kemampuan untuk mencabar pasukan lain.
Penjaga gol Juventus itu menegaskan bahawa Itali selaku juara dunia
empat kali perlu memperbaiki prestasi mereka sekiranya mahu mara ke
separuh akhir.
Itali memulakan kempen Kumpulan C dengan keputusan seri 1-1 bertemu
juara dunia, Sepanyol dan Croatia sebelum mencatat kemenangan 2-0 ke
atas Ireland, sekali gus menduduki tangga kedua dalam kumpulan.
Sebelum ini, kapten Itali itu menjelaskan bahawa dia tidak yakin
dengan kemampuan pasukan itu untuk menjuarai kempen Euro kali ini dan
sekali lagi menyatakan perkara yang sama pada satu sidang akhbar
kelmarin.
"Saya pernah beritahu sebelum ini bahawa saya rasa kami mungkin sukar
untuk memenanginya. Kalau saya beritahu sebaliknya hari ini (kelmarin),
maka saya mungkin seorang yang gila," kata Buffon secara berseloroh.
"Ketika itu mungkin terlalu awal untuk membuat andaian kami mampu
menjuarainya kerana kami akan berdepan Sepanyol, juara dunia dan juara
Eropah, serta Jerman yang lebih hebat daripada kami.
"Begitupun, ia tidak bermakna kami adalah pasukan belasahan bagi mereka."
Itali masih belum kalah pada kempen Euro kali ini tetapi England
turut memiliki rekod yang sama apabila memulakan kempen ini dengan seri
1-1 dengan Perancis sebelum menewaskan Sweden 3-2 dan Ukraine 1-0 untuk
muncul juara Kumpulan D.
Buffon yakin, untuk menjinakkan skuad kendalian Roy Hodgson itu,
Itali harus meningkatkan prestasi mereka berbanding perlawanan lepas.
"Kami berada pada peringkat lapan pasukan terbaik Eropah dan kami
berjaya melepasi halangan dalam kumpulan tanpa sebarang kekalahan.
"Namun, apa yang kami lakukan setakat ini masih belum cukup. Kami
perlu meningkatkan lagi tahap permainan sekiranya mahu meneruskan
kemaraan," tambahnya. - AFP
No comments:
Post a Comment