Jom Buat Duit

Sunday 24 June 2012

Mizz Nina memerah keringat

SOROT matanya redup menahan penat yang menjengah saban ketika. Lewat usia kariernya yang kini sudah berada di takat selesa berbanding dulu, Mizz Nina berjaya meletakkan dirinya dalam legasi sendiri.
Benar dia bukan penyanyi yang mencabar kualiti vokalnya dengan lagu skala tinggi namun dia berani mencorakkan persada seni yang diceburi.

"Alhamdulillah kini hala tuju karier saya semakin jelas dan pintu rezeki sentiasa terbuka," ungkap anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Tidak bergantung pada status keluarga, pemilik nama Shazrina Azman itu yakin akan kemampuannya berdiri atas kaki sendiri dalam segala aspek.
Buktinya, selepas sambutan Aidilfitri tidak lama lagi Nina akan muncul bersama konsert jelajah hasil keringat dan titik peluh sendiri.

"Insya-Allah, kalau tiada aral melintang saya ingin buat konsert jelajah sekitar September.
"Konsert itu merangkumi Malaysia, Hong Kong dan Thailand," ceritanya bersungguh-sungguh.
Kata Nina, dia masih mencari penaja untuk siri jelajah yang memendam sejuta makna bagi dirinya. Dalam pada itu, kalendar tahun 2012 milik Nina juga sudah semakin penuh terisi .
"Tahun 2012 merupakan tahun yang sibuk bagi saya kerana banyak perancangan sementelah album Take Over dilancarkan pada bulan Mei lalu.
"Bagaikan kena tepat pada masa, saya diundang pula untuk membuat persembahan pembukaan konsert MTV World Stage nanti," bicaranya menyusun kata.

K-Pop
Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan mentafsirkan jiwa Nina yang bergelojak saat diberi peluang beraksi selama 30 minit untuk konsert mega yang bakal berlangsung pada 14 Julai di Surf Beach, Sunway Lagoon kelak.

"Konsert ini sangat besar maknanya kepada saya, ia umpama mimpi jadi realiti! Memang sudah lama saya idamkan untuk membuat persembahan di pentas MTV World Stage.
"Lagi pula saya akan berkongsi pentas dengan Justin Bieber, Jay Park dan Kara, itu yang bertambah teruja," luncur katanya.
Singkap Nina, pengalaman pertama kali ini tidak akan dipersiakan dan pelbagai kejutan akan dihadiahkan buat peminat.

"Saya akan menyampaikan beberapa buah lagu antaranya What You Waiting For, Take Over dan Rentak Yang Sama, tapi selebihnya rahsia.
"Konsert ini kali pertama saya menukar persalinan ketika menyanyi dan elemen yang saya ketengahkan adalah kuasa wanita! Saya juga tekankan permainan grafik dan pencahayaan," cerita Nina.
Demi memantapkan persembahan itu lagi, Nina kini sedang giat menjalani latihan bersama penari-penari profesional setiap malam Isnin hingga Jumaat selama tiga jam.
Janjinya lagi, dia akan turut mendendangkan sebuah lagu yang belum pernah dinyanyikannya sebelum ini semata-mata untuk konsert itu.

Sementara itu, bisik Nina dia baru disunting oleh penyanyi K-Pop dari Korea untuk berduet dalam lagu terbaharu. Namun, jelasnya status itu masih dalam perbincangan.
"Ini peluang saya untuk menerpa ke pasaran antarabangsa, memandangkan mereka yang berminat untuk bekerjasama maka tidak pula salahnya.
"Kami boleh menggabungkan idea terbaik kami untuk mencambahkan muzik," kata Nina.
Sedikit khabar mengenai album solo keduanya, Take Over yang sudah menjengah pasaran Jepun dan Singapura, cerita Nina, rata-rata pendengar memberikan respons positif.
"Kelainan corak muzik antaranya beberapa lagu remix mencuri perhatian ramai, peminat pun kebanyakannya selesa mendengar arah muzik baharu seperti itu," ujarnya.

Zuriat
Dia bersedia, selaku penghibur harga privasi yang mudah diperdagangkan harus ditelan bulat-bulat.
Tidak lari daripada tanggungjawab isteri kepada seorang penyanyi, ungkap Nina dimensi karier dan rumah tangga dua item berbeza.
"Masing-masing faham tugas sebagai penghibur, saya dan Noh tidak putus memberi sokongan padu untuk karier masing-masing.
Usai melangsungkan perkahwinan dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh pada sambutan hari jadinya ke 31 pada 1 Julai tahun lalu, bertalu-talu soalan perancangan keluarganya diaju.
"Insya-Allah tahun depan kami merancang untuk mendapatkan cahaya mata, tapi kita tunggu dan lihat," jawab Nina.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters