GDANSK, Poland - Jurulatih Jerman, Joachim Löw yakin bintang Real
Madrid, Mesut Özil mampu menyerlah pada aksi suku akhir menentang Greece
di stadium PGE Arena, Poland awal pagi Sabtu ini.
Pemain berusia 23 tahun itu melakukan hantaran yang cantik kepada
pertahanan Jerman, Lars Bender ketika menewaskan Denmark 2-1 pada aksi
terakhir Kumpulan B, sekali gus melayakkan diri ke kelompok lapan
pasukan terakhir, Isnin lalu.
Özil turut dipilih sebagai pemain terbaik pada perlawanan pembukaan
yang berkesudahan Jerman menewaskan Portugal 1-0 pada 10 Jun lalu.
Bagaimanapun, Özil mengaku yang dia mampu beraksi lebih baik selepas
dikritik hebat media Jerman ekoran prestasinya yang tidak
memberangsangkan pada Euro 2012.
Kritikan itu bermula selepas Özil gagal menguasai bahagian tengah
pada aksi separuh masa pertama kerana dia dikawal ketat pemain
pertahanan Denmark.
Namun, Löw tetap optimis dengan kebangkitan pemain tengah Real itu pada saingan kalah mati nanti.
"Setakat ini, saya masih berpuas hati dengan prestasi- nya. Dia
(Özil) mempamerkan peningkatan yang baik ketika menentang Denmark dan
dia seorang pemain yang mengutamakan pasukan.
"Saya yakin, Özil masih belum mempamerkan tahap permainan sebenarnya," kata jurulatih berusia 52 tahun itu.
Löw turut mengaitkan kembali kecemerlangan Özil selaku tonggak utama
pasukan ketika membantu Jerman meraih tempat ketiga kempen Piala Dunia
2010 di Afrika Selatan.
Jerman membelasah England (4-1) dan Argentina (4-0) sebelum tewas 0-1 kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir.
"Prestasi Özil sama seperti ketika dia beraksi pada saingan peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2010.
"Namun, dia (Özil) berubah menjadi pemain yang paling menonjol ketika menentang England dan Argentina.
"Saya rasa, perkara yang sama akan berlaku di sini (Euro 2012)," kata Löw. - AFP
No comments:
Post a Comment