PERJALANAN dari Jakarta menuju Anyer, memakan masa empat jam. Ia juga
bukan satu perjalanan mudah, kerana dua jam perjalanan terakhir menuju
destinasi yang terkenal dengan keindahan pantai dan panorama kampung itu
memerlukan kami meredah jalan yang separuh siap dan berlubang teruk.
Selain kami, terdapat 78 kru dan barisan pelakon sinetron Insya Allah
dengan 21 buah kenderaan juga terpaksa melalui situasi yang sama. Namun
nasib mereka lebih baik kerana pemandu yang membawa barisan karyawan
tersebut memilih jalan alternatif yang lebih elok.
Kepayahan menuju Anyer akhirnya terbayar. Lelah 24 jam menanti
pelakon yang pertama kali terjun dalam bidang lakonan itu berbaloi.
Sementelah, figura tersebut bukan calang-calang orang.
Beliau ialah Maher Zain. Ya, Maher Zain, penyanyi kelahiran Lebanon
yang merupakan rakyat Sweden itu kini bergelar pelakon buat pertama kali
dalam hidupnya.
Ironi, Maher tidak menjadi pelakon antarabangsa, setaraf profilnya
sebagai penyanyi. Beliau sebaliknya terlibat sebagai pelakon di
Indonesia, bersama semua produksi Indonesia dan beliau menjadi
satu-satunya orang asing dalam produksi tersebut.
Insya Allah, judul sinetron 40 episod yang berjaya memujuk Maher
untuk menjadi pelakon. Sinetron itu bakal ditayangkan sempena bulan
Ramadan pada bulan hadapan di tiga saluran serentak iaitu SCTV
(Indonesia), Astro Oasis dan Mustika HD (Malaysia) selain boleh ditonton
oleh pelanggan Astro di Brunei.
"Pada mulanya, saya kata, saya tak akan berlakon. Namun apabila
pulang ke rumah dan berfikir bahawa sinetron tersebut mempunyai mesej
yang baik seperti pesanan dalam lagu-lagu saya, saya bersetuju," ujar
Maher saat ditemui di lokasi penggambaran terakhirnya, di Marbella
Hotel, Resort & Spa, di Anyer baru-baru ini.
Maher saat ditanya bagaimana beliau mampu memberi kata setuju kepada
sebuah produksi Indonesia dan begitu asing bagi dirinya, pantas
memberitahu: "Indahnya Islam adalah apabila ia mampu mencantumkan semua
umatnya walau berlainan bahasa."
Membawa watak diri sendiri, Maher tidak perlu membuat transformasi
dirinya sebagai seorang pelakon. Katanya: "Memang saya perlu berlakon
sedikit, tetapi dalam kebanyakan masa, saya menjadi diri sendiri.
"Malah melalui sinetron ini, saya dapat menyampaikan banyak hal yang
positif dalam setiap episod yang ditonjolkan selama sejam. Saya suka
bagaimana setiap perkara yang berlaku mempunyai pengajaran tersendiri."
Tidak hanya muncul dalam beberapa babak, Maher sebaliknya memberi
sepenuh komitmen apabila terbabit dengan 40 episod yang disiarkan. Ia
juga sebagai satu keperluan kerana Insya Allah merupakan kisah
perjalanan Maher dalam bertemu sahabatnya di Indonesia dan dalam kembara
tersebut, dia berhadapan dengan pelbagai kisah kehidupan.
Ditanya tentang kesukaran menjadi pelakon buat pertama kali, ujar
Maher, secara dasar, walaupun ia agak sukar memandangkan beliau agak
pemalu apabila berhadapan dengan kamera, namun semua perasaan itu
terhapus apabila mereka memulakan penggambaran.
Ujarnya, selain begitu selesa dengan lawan lakonnya, iaitu Fadly Padi
serta produksi, beliau amat menyenangi kembara sinetron tersebut yang
banyak menjalani penggambaran di kawasan kampung.
"Sebagai seorang yang hidup di kawasan bandar, saya begitu teruja
kerana dapat berlakon di kawasan kampung sekali gus melihat realiti
kehidupan yang serba sederhana," ujarnya lagi.
Maher juga memberitahu, beliau tidak banyak berhadapan dengan
kesukaran sepanjang penggambaran dijalankan selain mengaku kadangkala
berasa lelah kerana perlu menjalani puluhan babak dalam sehari kerana
kesibukannya sendiri.
Disogok antara lakonan dengan nyanyian, mana yang lebih melekat
dihatinya, pantas Maher memberitahu bidang nyanyian. Bagaimanapun,
beliau tidak menolak jika pada masa akan datang kembali terbabit dalam
mana-mana naskhah yang mampu membawa pesan baik buat seluruh umat Islam
di dunia.
Keluarga
Kesibukan yang tidak pernah berpenghujung bukan satu halangan buatnya
menghabiskan kualiti masa bersama keluarga. Mengaku bahawa beliau
mempunyai masa yang terlalu sedikit buat keluarga, justeru jika punya
kesempatan, beliau akan membawa isteri dan anaknya bersama seperti ke
Jakarta, Indonesia ini.
"Sejujurnya ia bukan satu perkara yang mudah buat saya. Tapi
Alhamdulillah, isteri sangat memahami karier saya, sementelah sewaktu
kami bertemu, saya memang telah sibuk dengan karier saya.
"Jadi kesibukan saya sudah menjadi satu hal yang semulajadi buat
kami. Ia sudah seperti budaya hidup kami. Namun seboleh-bolehnya, saya
mahu mencuri masa untuk dihabiskan dengan mereka," katanya yang paling
lama telah berjauhan dengan keluarga selama tiga minggu kerana
kesibukannya.
Percubaan Fadly
Seperti pengalaman perdana Maher, ia juga merupakan pertama kali
vokalis kumpulan Padi, Fadly terjun ke dalam bidang lakonan secara
komersial selepas 16 tahun bergelar penyanyi.
Menyifatkan ia sebagai pengalaman luar biasa, Fadly memberitahu, dia
bersetuju untuk terbabit dalam sinetron tersebut kerana pesanan positif
yang akan ditebarkan buat umat Islam selain menyatakan kekaguman
terhadap karier Maher Zain yang mampu menghidupkan lagu-lagu Islamik
membuat beliau tidak menolak tawaran yang datang kepadanya.
"Saya tidak pernah berlakon. Pengalaman membuat klip video tidak
pernah sama dengan berlakon yang memerlukan banyak dialog dan saya
sangat malu.
"Namun kerana inti sinetron yang sangat kuat, selain Maher sendiri
berlakon, saya tidak mahu menolak peluang ini. Saya mahu turut serta dan
menjadi sebahagian sejarah kembara seni Maher Zain," ujar vokalis
berusia 36 tahun itu.
Membawa watak Fadly, teman Maher yang membantu beliau mencari
sahabatnya, ujar pencipta lagu Upin & Ipin berjudul Sahabat
Selamanya itu, kekangan yang dihadapinya apabila beliau perlu menghafal
skrip, menjadi jurualih bahasa serta berbahasa Inggeris.
"Bahasa Inggeris saya tidak begitu bagus, sedangkan dialog Maher 100
peratus dalam bahasa Inggeris. Tugas saya juga perlu menjadi jurualih
bahasa buat beliau dan serentak menghafal dialog. Walaupun ia sukar,
namun ini pengalaman yang mahal nilainya," katanya yang mengaku akan
menolak tawaran berlakon jika perlu berlakon sendirian.
No comments:
Post a Comment