DONETSK, Ukraine - Kapten England, Steven Gerrard menegaskan, pasukan
itu memerlukan tuah untuk menewaskan Ukraine 1-0 pada aksi terakhir
Kumpulan D di stadium Donbass Arena awal pagi semalam.
Penyerang sensasi Manchester United, Wayne Rooney menyumbat masuk gol
kemenangan England pada minit ke-48 tetapi Ukraine yang terdesak untuk
memburu kemenangan, tidak bernasib baik.
Ini kerana, jaringan penyerang Ukraine, Marko Devic pada minit ke-62
telah dibatalkan kerana pengadil menganggap bola tersebut belum melepasi
garisan gol.
Gerrard yang mengetuai England mara ke suku akhir untuk berdepan Itali berkata, skuad The Three Lions pernah melalui situasi seperti itu pada Piala Dunia 2010.
Ketika ini, jaringan Frank Lampard telah dibatalkan oleh pengadil
ketika England tewas 1-4 kepada Jerman pada pusingan kedua di Afrika
Selatan.
"Untuk berjaya dalam kejohanan ini, dengan standard pasukan yang bertanding, kamu memerlukan sedikit tuah bersama kamu.
"Dua tahun lalu, kami tidak bernasib baik apabila jaringan Lampard
yang dianggap sebagai gol penting ketika menentang Jerman telah
dibatalkan.
"Kami terpaksa pulang lebih awal ekoran daripada kekalahan itu tetapi pada hari ini (semalam), tuah lebih memihak kepada kami.
"Ia menunjukkan sekiranya kamu bekerja lebih keras dan sentiasa
berjuang, kamu akan memperoleh tuah tersebut dan kami berhak dengan
kemenangan itu," kata Gerrard.
Gerrard menambah, England berhak menerima pujian selepas muncul
selaku juara Kumpulan D setelah Perancis tewas 0-2 kepada Sweden dalam
satu lagi aksi awal pagi semalam.
"Kami berada dalam satu kumpulan yang sukar. Lebih jelas, banyak pihak yang menganggap kami tidak mampu menjadi juara kumpulan.
"Namun, saya sentiasa percaya dan yakin dengan kualiti yang kami
miliki. Kami mampu menampilkan persembahan yang lebih cemerlang,"
katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment