WARSAW, Poland - Jurulatih Itali, Cesare Prandelli hanya tersenyum
sinis apabila ada pihak yang mengatakan pasukan itu sebagai pilihan
untuk menjadi juara Euro 2012.
Prandelli berkata, Sepanyol lebih berhak untuk merangkul gelaran itu
meskipun Itali berjaya mengejutkan pasukan pilihan, Jerman 2-1 pada aksi
separuh akhir di Stadium Nasional awal pagi semalam.
"Pasukan pilihan adalah Sepanyol kerana pemain-pemain mereka sudah
bersama sejak beberapa tahun lalu dan sentiasa bijak menguasai permainan
dalam setiap perlawanan.
"Kami menganggap Sepanyol adalah pasukan yang lebih hebat. Dalam
kejohanan seperti ini, ia agak memenatkan kerana keadaan fizikal pemain
akan turut menjadi penentu pada final nanti," kata Prandelli.
Kedua-dua finalis yang turut diundi dalam Kumpulan C itu sekadar seri 1-1 pada perlawanan peringkat kumpulan, 10 Jun lalu.
Namun, jika diambil kira pertemuan terakhir di luar Euro 2012, Itali
pernah menewaskan Sepanyol dalam satu perlawanan persahabatan tahun
lalu.
Pada aksi separuh akhir awal pagi semalam, kedua-dua gol Itali
dijaringkan Mario Balotelli manakala gol tunggal Jerman menerusi sepakan
penalti Mesut Ozil pada masa kecederaan.
Meskipun gembira dengan persembahan keseluruhan anak-anak buahnya,
Prandelli masih tidak dapat menyembunyikan kebimbangan berikutan
kegagalan menyempurnakan beberapa peluang yang terhidang menerusi
serangan balas pantas pada babak kedua.
"Kami memang sudah keletihan ketika permainan berbaki 10 minit. Empat
hari sebelum itu, kami terpaksa bertarung sehingga 120 minit (menentang
England).
"Jadi, apabila kami peroleh empat peluang untuk menjaringkan gol
ketiga, kami gagal memanfaatkannya. Jika berjaya, sisa perjuangan Jerman
akan berakhir.
"Dalam bola sepak, sepakan percuma atau penalti boleh mengubah
perlawanan dalam sekelip mata. Ia boleh meletakkan kami dalam
kesukaran," tegasnya.
Bagaimanapun, Prandelli mengakui, ini adalah persembahan terbaik
Itali di bawah kendaliannya sejak dua tahun lalu sebaik mengambil alih
jawatan jurulatih selepas kegagalan pada Piala Dunia 2010 di Afrika
Selatan. - AFP
No comments:
Post a Comment