TUMPAT – Penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat menamatkan zaman
bujangnya semalam apabila selamat diijabkabulkan dengan gadis
pilihannya, Nur Eilunie Natasha Jaafar atau Leuniey di Pasir Pekan di
sini.
Khairul Fahmi, 23, atau lebih dikenali sebagai Apek dan Leuniey, 21,
dinikahkan oleh Imam Masjid Pasir Pekan, Abdul Ghani Abdul Mutalib
dengan disaksikan oleh kira-kira 2,000 tetamu termasuk ahli keluarga
kedua-dua mempelai serta para peminat di rumah keluarga pengantin
perempuan.
Apek menyerahkan wang hantaran berserta mas kahwin berjumlah RM19,000
sempena nombor jersi 19 yang dipakai dalam skuad Harimau Malaya
bersama tujuh dulang hantaran berbalas tujuh.
“Saya memilih Leuniey kerana dia sangat memahami karier saya yang
terlalu sibuk. Buktinya dia faham dengan keadaan walaupun saya pulang
untuk membuat persediaan hanya sehari sebelum majlis berlangsung,”
katanya.
Mengenai anak, Khairul Fahmi berharap akan menimang sekurang-kurangnya empat orang cahaya mata.
Majlis resepsi pengantin perempuan akan diadakan esok di Hotel
Renaissance, Kota Bharu manakala pengantin lelaki pula di rumah keluarga
Khairul Fahmi di Cherang dekat sini pada 5 Januari.
No comments:
Post a Comment