Jom Buat Duit

Wednesday, 29 February 2012

Nadia serap jiwa Zaiton Sameon


NADIA AQILAH BAJURI atau dahulunya dikenali Nadia Luscious Aqilah selepas menyertai program realiti Gangstarz bagai diam membisu selepas tampil dalam beberapa drama bersiri seperti Tari Tirana, Emil Emelda, Sindarella dan Merah Putih.
Bakat Nadia bukan hanya tertumpu dalam bidang lakonan di layar kaca semata-mata, dia juga pernah terlibat dalam pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical pada tahun 2005 dan P. Ramlee The Musical pada tahun 2008.

Menghilang atau merajuk kerana bakatnya boleh dikatakan kurang dihargai berbanding aktres lain? Namun kata Nadia Aqilah, 26, dia selesa dengan progres kariernya kini yang menunjukkan kemajuan tetapi bukan kerana kontroversi.

Kesempatan bersua dengan Nadia Aqilah sewaktu sidang akhbar Broadway Bites di Duta Nusantara, Sri Hartamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini turut diajukan beberapa pertanyaan mengenai peranannya memegang watak utama dalam filem biografi penyanyi terkenal era 1980-an, Zaiton Sameon yang berjudul Zaiton Ceritaku.

Kosmo!: Nadia perlahan-lahan menyepi daripada industri, ke mana menghilang?
NADIA: Mana ada menghilang. Saya masih dalam industri dan sekarang sedang sibuk dengan penggambaran sebuah program bersiri di 8TV. Sementara hari minggu pula terlibat dengan latihan untuk Broadway Bites yang bakal dipentaskan pada 14 hingga 18 Mac ini di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur.

Nadia pernah tampil dalam beberapa naskhah drama televisyen dan kini kelibat Nadia amat jarang penonton lihat. Apa sebabnya?
Saya seorang yang cerewet dan suka pilih karakter sebab saya tak nak dicop dengan hanya satu jenis watak saja. Selalu berlakon orang akan terus fikir saya akan pegang watak perempuan jahat. Sebab itu muka saya jarang keluar televisyen sekarang.

Nadia pernah menganggotai kumpulan Luscious untuk menyertai Gangstarz beberapa tahun dulu, ke mana pula perginya kumpulan itu setelah keluar daripada Gangstarz?
Saya mula menyanyi pada umur 14 tahun lagi dan pernah menubuhkan kumpulan hip hop suatu masa dulu dan kemudiannya ditukarkan kepada Luscious seterusnya menyertai Gangstarz pada tahun 2007. Saya, Eenaz (Nur Shafinaz Mokhtar) dan Ruzana (Ruzana Ibrahim), Alhamdulillah masih berkawan rapat dan kalau ada rezeki kami akan kembali ke dalam industri.

Bagaimana Nadia boleh terpilih untuk menyandang watak Zaiton untuk filem biografi penuh kontroversi, Zaiton Sameon?
Sebelum saya terpilih pun saya dapat tahu sudah dua pelakon disunting untuk menjayakan peranan itu. Syukur Alhamdulillah rezeki saya, selepas tamat pementasan Secret Life Of Nora, abang Esma Daniel mempelawa saya untuk berlakon dalam naskhah yang saya fikir sangat berat dan menuntut saya banyak belajar.

Bagaimana Nadia memandang karakter Zaiton?
Paling berat dan paling memberikan tekanan! Harap saya berjaya memberikan apa yang pengarah dan penonton mahukan.

Ceritakan peranan Nadia dalam filem itu?
Saya membawakan watak Zaiton Sameon sejak dia berusia 20 tahun hingga 50 tahun dan sememangnya pengalaman ini sangat luar biasa. Dengan mekap yang sangat menakjubkan, saya kagumi produksi filem ini. Tempoh penggambaran kami selama sebulan kebanyakannya di Tanjung Malim, Perak dan Kuala Selangor.

Memandangkan watak yang diberikan sangat berat dan mencabar, apa yang Nadia lakukan sebagai homework?
Research sudah tentu dan setiap hari saya mendengar lagu Zaiton Sameon. Sampaikan abang saya takut tengok keadaan saya yang sudah seperti bukan diri saya sebenar. Katanya perubahan yang berlaku ke atas diri saya sangat drastik, adakalanya saya pun tak kenal diri saya sendiri.
Pernah berjumpa dengan Zaiton Sameon?
Banyak kali! Kadangkala dia akan datang ke set penggambaran untuk tengok progres dan menariknya dia pula yang akan menyerap karakter setiap kali kita usik.

Nadia selesa dengan perjalanan karier sekarang? Pernahkah Nadia terfikir bahawa Nadia perlukan kontroversi atau isu sensasi untuk mudah naik?
Saya selesa dengan perkembangan dan perjalanan kerjaya sekarang. Saya mahu orang hargai saya berdasarkan bakat yang saya ada bukan naik disebabkan kontroversi. Saya juga akui populariti itu penting bagi seseorang artis tapi sebolehnya biar populariti itu datang bersama bakat yang saya miliki.
NADIA mahu maju dalam karier seninya tanpa bantuan kontroversi.
 

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters