|
BERDIRI di tengah-tengah landskap dunia hiburan , Tasha Shilla, 25, sedar akan kedudukannya. Tambahan pula, ketika cahaya populariti sudah menyimbah ke muka, apa sahaja perbuatannya mudah mengundang perhatian khalayak.
Ibarat bunga industri yang sedang mekar kelopak. Wangi dan indah karakter warnanya mula berserakan dan terpantul menghiasi banyak naskhah. Sudah lumrah bunga yang menawan, pasti banyak kumbang yang cuba menghisap madunya.
"Kerja keras saya sepanjang tahun lepas sangat membuahkan hasil. Awal tahun ini, nama saya tersenarai pendek dalam senarai Artis Baharu Paling Popular. Untuk pendatang baru seperti saya, itu merupakan satu pencapaian terbesar. Bukan senang untuk masuk dalam senarai popular anugerah berprestij," katanya.
Senyuman Tasha sedikit kelat. Melintas hari-hari yang enggan berhenti daripada cerita kontroversi, barangkali membuatkan Tasha mudah meramal soalan. Dia tahu, persoalan sebegitu bakal diajukan kepadanya.
"Agaknya sudah lumrah menjadi artis, baru hendak popular, datanglah kontroversi. Dulu masa orang tak kenal siapa saya, siapa peduli. Tapi kontroversi itu bukan sengaja saya cari. Saya percaya silap hari bulan, kontroversi boleh membunuh karier artis tapi dalam satu segi, kontroversi juga boleh melonjakkan nama artis," katanya yang terpercik karakter negatif ekoran kontroversi yang melanda baru-baru ini.
Terhambat oleh isu menari ghairah ketika sambutan hari jadi di sebuah kelab malam pada 25 Januari lalu, Tasha kemudian didakwa menjalin hubungan sulit dengan orang kenamaan yang menaja sebuah kereta mewah jenama BMW. Tasha juga terhimpit oleh isu meminum arak. Semua itu sudah dijelaskan satu-persatu.
"Baik atau buruk penerimaan orang, saya kena fikir positif. Saya selalu fikir yang positif kerana peminat menilai seseorang artis berdasarkan reaksi yang diberikan kepada umum.
"Saya masih baru, masih lagi belajar cara terbaik untuk berdepan soalan-soalan media. Ada orang kata, saya perasan bagus, ada yang kata, saya beri jawapan yang salah. Saya masih belajar. Mungkin ini ujian awal sebelum saya berdepan cabaran yang lebih besar," ujarnya menyimpan tekad.
Jauhi negatif
Mula terfikir tentang reputasi dan populariti yang dikecapi atas usaha berdikit-dikit, anak kelahiran Ampang, Selangor itu sedar, penghargaan masyarakat harus dibalas dengan penuh hormat.
"Bukan senang untuk bertakhta di mata dan hati penonton. Saya ambil iktibar atas semua kontroversi yang menimpa, saya mahu jauhi perkara negatif atau perilaku yang menyemai bibit kebencian orang terhadap saya," katanya.
Akui Tasha: "Mana ada saya hidup mewah, tapi keluarga saya agak senang. Kalaulah saya hidup mewah, tak perlu lagi ibu saya susah-susah nak berniaga makanan. Bapa saya sendiri masih menjalankan perniagaan menyewakan peralatan penggambaran. Macam mana datangnya cerita dibela VIP sedangkan saya masih tinggal dengan ibu bapa."
Apa jua pandangan masyarakat, sekali lagi Tasha bertegas. Nilai positif yang dipegang sejak awal masuk ke industri hiburan ini harus selalu dipegang. Apa juga kritik serta pandangan orang harus diterima tetapi paling membuatkan dirinya terharu apabila peminat yang sudah lanjut usia ada memberi teguran.
"Saya terharu apabila ada peminat yang sudah berusia menegur dan memberi kata-kata semangat kepada saya. Katanya, 'biasalah bila jadi artis, macam-macam cerita akan timbul'," katanya yang percaya keazaman hati akan memberikan pulangan bermakna.
Tiada asas lakonan
Masih di lokasi drama bersiri Atas Nama Cinta sebelum masuk ke lokasi Landasan Cinta, pelakon yang mekar hasil lakonan antagonis itu semakin faham maksud lakonan.
Dia tiada asas lakonan daripada mana-mana institusi pengajian seni. Tasha yang bercita-cita menjadi penyanyi itu hanya menyerap ilmu daripada nama-nama besar yang pernah dikenalinya di lokasi penggambaran.
"Saya hanya minat tengok televisyen tapi bila dapat bekerja dengan nama-nama besar, saya ambil peluang untuk menyerap ilmu mereka. Setiap pengarah, daripada Khabir Bhatia, Along Kamaluddin hingga Raja Ahmad Alauddin, semuanya berlainan cara pengarahan.
"Berlakon bukan hanya melontarkan dialog, tapi buka pintu rumah pun kena ada cara," kata Tasha yang mahu lebih mendalami aspek teknikal dan metod lakonan.
Tidak memerhati atau mahu mengikut resam mana-mana artis memacu haluan dalam dunia seni, kata hati Tasha lebih penting.
"Saya tak suka ikut cara orang lain tapi buat kerja ikut kata hati sendiri. Tapi kalau cakap pasal hidup artis, saya suka Angelina Jolie. Sifat keibuannya terserlah, lakonannya bagus begitu juga dengan keprihatinan serta kerja-kerja kemanusiaan yang dilakukan. Kalau boleh, saya juga mahu jadi sepertinya," ujar Tasha menguntum angan-angan.
Belajar aikido
Di sebalik lakonan, Tasha sebenarnya sangat mementingkan soal keselamatan. Insiden rompakan yang menimpa seorang teman menyuntik azam baharu kepada Tasha.
Takut serta bimbangkan keselamatan diri gara-gara kerap bergerak sendirian, Tasha tertarik untuk belajar mempertahankan diri. Atas cadangan seorang rakan, dia memilih untuk menyertai kelas aikido tidak lama lagi.
"Kebetulan Mac ini saya ada banyak masa terluang, sudah lama juga saya tidak bercuti. Jadi sepanjang bulan Mac nanti saya mahu mulakan kelas aikido yang dijalankan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. Saya memang tak tahu apa-apa pasal aikido tapi atas ajakan kawan, saya jadi tertarik," kata Tasha mengesahkan penglibatannya dalam satu pertunjukan aikido bersama pasukan polis pada 25 Mac nanti.
No comments:
Post a Comment