HAMPIR empat dekad lamanya dia bergelumang dalam bidang lakonan. Sama sedar atau tidak, sudah 17 kali dia dicalonkan dalam anugerah paling berprestij, Academy Awards. Lalu, tidak hairanlah dia sudah mencipta rekod terhebat sebagai pelakon paling banyak menerima pencalonan bagi merebut ‘statuette’ Oscar.
Semalam (waktu Malaysia), Meryl Streep kembali bergelar Pelakon Wanita Terbaik.
Dalam usia 62 tahun, dia terus dihargai apabila mencipta satu lagi sejarah manis pada Academy Awards ke-84.
Ia juga kemenangan Oscar buat kali ketiga bagi Meryl selepas berjaya melalui Kramer vs Kramer pada 1980 diikuti Sophie’s Choice (1983).
Kali ini, Meryl berjaya menewaskan empat calon lain - Glenn Close yang membintangi Albert Nobbs, Viola Davis (The Help), Rooney Mara (The Girl with the Dragon Tattoo) dan Michelle Williams (My Week with Marilyn).
“Oooh tidak! Saya rasa ketika ini tentu separuh rakyat Amerika akan mengatakan... ‘oooh tidak, dia lagi (menang)!” kata Meryl sebaik saja naik ke pentas menerima Oscar daripada Aktor Terbaik tahun lalu, Colin Firth.
Bagi kategori Aktor Terbaik, kehebatan lakonan aktor Jean Dujardin yang membintangi filem The Artist tidak dapat disangkal lagi apabila diumumkan sebagai pemenang pada majlis yang berlangsung di Hollywood & Highland Center (dulunya Kodak Theatre), Los Angeles.
Lebih bermakna, kejayaan sulung Dujardin itu turut mencipta sejarah sebagai aktor Perancis pertama memenangi Oscar. Dujardin hebat dalam menghayati watak pelakon veteran, George Valentin yang mencipta nama di Hollywood pada 1927.
Keputusan Dujardin diangkat sebagai Aktor Terbaik sesuatu yang dijangka ramai andai merujuk kepada pencapaiannya menang kategori yang sama dalam pelbagai acara sebelum ini, antaranya Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-18, British Academy of Film and Television Arts (BAFTA) dan Golden Globe Awards, tahun ini.
Menariknya, pencapaian pelakon berusia 39 tahun kali ini turut menewaskan saingan hebatnya yang lain seperti George Clooney melalui The Descendants dan Brad Pitt (Moneyball).
“Saya sukakan negara kamu!” katanya berseloroh. Selain itu dia juga akui cintakan isterinya.
Seperti mana kegembiraan dirasakan Dujardin, ia terlebih dulu diraikan pengarah filem itu, Michel Hazanavicius yang menggondol gelaran Pengarah Terbaik.
Kemenangan julung kali itu juga menewaskan saingan dua pengarah tersohor, Martin Scorsese yang mempertandingkan Hugo sementara Woody Allen pula (Midnight in Paris).
Pengarah Perancis berusia 44 tahun ini mencipta sejarah apabila menjadi pemenang kedua yang diiktiraf selepas Roman Polanski menerusi The Pianist pada 2003.
“Sayalah pengarah yang paling gembira di dunia ketika ini!” kata ketika menerima anugerah itu.
Kemenangan Oscar sulung suami kepada aktres Berenice Bejo yang turut membintangi The Artist bersama Jean Dujardin itu jelas memberi makna mendalam kepada perjalanan karier seninya sejak membabitkan diri dalam bidang pengarahan program TV.
The Artist yang meraih 10 pencalonan kedua terbanyak selepas Hugo (11 pencalonan) nyata berpuas hati dengan kemenangan lima anugerah. Paling bermakna, The Artist menang anugerah utama Filem Terbaik selain Pengarah Terbaik, Aktor Terbaik, Rekaan Kostum Terbaik dan Skor Asal Terbaik.
The Artist juga berjaya menewaskan enam calon filem lain yang bertanding iaitu Hugo (Scorsese), The Descendants (Alexander Payne), The Help (Tate Taylor), Moneyball (Bennett Miller), Extremely Loud and Incredibly Close (Stephen Daldry) dan The Tree of Life (Terrence Malick).
Bagi kategori Aktres Pembantu Terbaik, rezeki memihak pada Octavia Spencer yang cemerlang membawakan watak pembantu rumah menerusi The Help. Menariknya, ketika menerima anugerah di pentas dia menerima tepukan gemuruh bersama hormat berdiri (standing ovation).
Penghargaan yang cukup bermakna turut diterima aktor veteran Kanada, Christopher Plummer yang menang anugerah Aktor Pembantu Terbaik. Apa yang menarik perhatian, kemenangannya ini secara tidak langsung mengiktiraf sumbangan seni pelakon ini selama enam dekad dalam bidang lakonan.
Plummer menang menerusi filem lakonannya, Beginners yang menyaksikan dia membawakan watak duda yang berdepan masalah diri terhadap hubungan homoseksual.
Berkongsi kegembiraan pemenang acara kali ini adalah filem Iran, A Separation arahan Asghar Farhadi yang diumumkan sebagai Filem Bahasa Asing Terbaik. Ini adalah kejayaan terbaik filem ini selepas bertanding di Golden Globe Awards Ke-69, Festival Filem Antarabangsa Berlin dan Asia-Pacific Screen Awards.
Ketika menerima Oscar, Asghar sempat meluahkan kritikan terhadap permusuhan antara Iran dengan negara Barat yang berprasangka negatif terhadap republik Islam itu yang mempunyai program nuklear.
No comments:
Post a Comment