Masih selesa bekerjasama dengan Osman, Bicara Hati menemui penonton di Astro Prima (saluran 105) sebanyak 26 episod. Disiarkan setiap Selasa, jam 9 malam membuka peluang kepada Riffz melakonkan watak Tengku Hakimi iaitu abang Tengku Syahran yang dijayakan pelakon meningkat naik, Sharnaaz Ahmad.
Riffz atau nama sebenarnya, Mohamad Sharifman Omar berkata, kemunculan awalnya dalam lakonan pun berdasarkan tawaran drama daripada Osman. Katanya, dia memberanikan diri cuba berlakon menerusi drama Gadis Merah Jambu dan kemudian mendapat kepercayaan membintangi Buih-Buih Cinta.
“Kedua-dua drama itu adalah arahan Osman. Biarpun, hanya sebagai pelakon tambahan, tetapi dari situlah saya mula sedar ada bakat dalam lakonan. Malah, saya berasakan diri boleh berlakon dan mengapa tidak berani cuba mencipta nama. Lagipun, pembabitan ini kerana minat dan bukan untuk glamor.
“Justeru, saya tidak kisah terpaksa mengorak langkah perlahan-lahan dan bermula dari bawah. Ini kerana, saya sedar tidak semua pelakon bernasib baik dikenali ramai dalam tempoh singkat. Dalam soal ini, semuanya bergantung kepada rezeki, kesungguhan serta gigih berusaha mencari peluang menonjol diri.
“Apapun, saya cukup gembira dengan peningkatan diraih kini apabila mula mendapat tempat membintangi drama dan filem. Antara drama yang saya bin�tangi ialah Mencari Bidadari, Perigi Kontang dan Opera Sabun. Malah, kemunculan di layar perak pula menerusi Cun, Jiwa Taiko dan Langgar,” katanya.
Berbicara mengenai impiannya berikutan saingan hebat dihadapi dengan pelakon baru yang muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, Riffz berkata, dia akan terus cuba bertahan selagi termampu. Ujarnya, siapalah dia untuk menyekat rezeki orang melainkan perlu meningkat usaha untuk lebih berjaya.
“Pun begitu, saya tidak akan sesekali gentar berhadapan dengan saingan yang ramai. Apa yang penting, saya harus membuktikan kepada masyarakat bahawa diri ini benar-benar memiliki bakat dalam lakonan. Bahkan, harapan saya semoga lebih diberi ruang dan peluang untuk ketengah bakat.
“Malah, saya juga akur dengan pilihan pihak stesen televisyen yang lebih mengutamakan pelakon ada nama. Namun, saya tetap yakin peluang bagi pelakon baru semestinya ada sebagai watak pembantu atau tambahan. Justeru, untuk permulaan ini saya tidak bersikap memilih atau terlalu cerewet terhadap watak.
“Saya sedia menerima apa saja peranan yang ditawarkan untuk mencuba dan menimba pengalaman. Bagi saya, menerusi watak itu, mana tahu mutu lakonan menjadi semakin baik dan seterusnya berjaya meraih kepercayaan untuk watak utama pula. Bagaimanapun, jangan mudah menyerah sebelum mencuba,” katanya.
Menyentuh pula soal penerimaan keluarga, Riffz tanpa berselindung mengakui pada mulanya dia mendapat halangan. Katanya keputusan yang dibuat untuk menjadi pelakon sepenuh masa kurang dipersetujui keluarga. Jelasnya, ini kerana keluarga bimbang dia akan hanyut dan gagal mengawal diri.
“Bagaimanapun, saya berjanji kepada mereka akan menjaga nama baik keluarga. Saya juga tahu, lumrah hidup artis yang tak boleh lari daripada kontroversi. Oleh itu, saya sedaya upaya menjaga diri terutama pergaulan dan rakan supaya diri tidak terjerat dengan sebarang konflik, gosip atau kisah sensasi.
“Kini, berkat restu dan sokongan daripada keluarga saya yakin untuk mengatur langkah.
“Syukur, rezeki saya dalam bidang lakonan pun semakin murah dan mana tahu akan lebih maju pada masa akan datang. Apapun, macam saya katakan untuk meraih sesuatu kejayaan perlulah rajin mencari peluang,” katanya.
Masih selesa hidup membujang, Riffz berkata dia mensasarkan dalam tempoh tiga tahun lagi, dirinya akan dikenali.
Katanya ia sekadar harapan dan semuanya ketentuan Tuhan. Apapun, tidak salah meletakkan sasaran untuk menjadi pemangkin semangat pada diri sendiri demi membuktikan kemampuan.
No comments:
Post a Comment