VOKALIS kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani memang sinonim dengan kontroversi. Namun, cerita panasnya bukan sahaja berlegar dalam industri hiburan Indonesia, malah di Malaysia juga.
Jika sebelum ini, Ahmad Dhani pernah dikaitkan dengan khabar angin menjadi pengetua Akademi Fantasia 9. Ramai yang tidak berpuas hati kerana statusnya sebagai artis Indonesia dan ia umpama memberi tamparan kepada artis tempatan yang kelihatan seperti telah ketandusan penggiat seni yang hebat.
Tapi kini, ia bukan lagi khabar angin kerana Ahmad Dhani sememangnya bakal menjadi penerbit muzik bagi sebuah lagi program realiti terbitan Astro iaitu Mania.
Mania ialah sebuah lagi program realiti dalam bidang nyanyian yang menampilkan tiga orang juri dari kalangan komposer yang tidak asing lagi dalam industri hiburan iaitu Datuk M. Nasir, Aubrey Suwito dan Ahmad Dhani sendiri yang bertindak sebagai penerbit muzik bagi 12 artis tempatan yang dipilih.
Baru-baru ini, Kosmo! telah berpeluang berjumpa dengan Ahmad Dhani semasa sidang akhbar program Mania di Black & White Box @ Publika, Duta Solaris, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Kosmo!: Adakah anda mengenali industri hiburan Malaysia?
AHMAD DHANI: Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan pihak Astro. Namun jujur saya katakan, saya masih lagi kabur dalam industri tempatan Malaysia.
Adakah anda rasa mereka ini mengambil keputusan yang baik memasuki program ini kerana ada sesetengah dari mereka sudah punya nama?
Saya tidak boleh jawab soalan itu kerana mereka akan dipilih berdasarkan undian, jadi saya pun tidak pasti. Tapi yang jelas, saya yakin, pasti mereka semua mempunyai potensi masing-masing. Saya juga tidak pasti artis yang bagaimana akan berada di bawah saya kelak. Namun bagi saya, genre yang tidak asing dengan diri saya ialah pop, balada, rock dan R&B.
Jika saya dapat penyanyi yang berpotensi dalam genre sebegini, maka ia memang sesuai dengan saya. Tapi yang saya yakin, kesemua artis yang ada di sini bukan pendatang baharu dalam industri. Dan yang masuk ke sini, tentunya selain penyanyi berbakat, mereka juga adalah seorang bintang. Semestinya tidak terlalu sukar buat saya untuk tahu kerana pertandingan ini adalah untuk bintang dan bukannya artis baharu.
Kalau lihat mungkin ada orang di luar sana agak skeptikal dengan pemilihan anda sebagai juri di sini. Contohnya seperti apa yang berlaku di AF9. Apa yang anda boleh komen?
Saya rasa, jika terpaksa dibatalkan lagi pembabitan saya dalam program ini seperti Akademi Fantasia yang lepas, maka saya akan pulang semula. Tidak ada masalah untuk itu. saya rasa gembira terlibat dalam program ini kerana dapat mengumpul pengalaman baharu. Kebetulan juga, peminat saya ramai di Malaysia, pastinya Kuala Lumpur (KL) tidak ada banyak bezanya dengan kota Jakarta. Saya tidak merasa KL ialah sebuah tempat yang asing bagi saya. Saya hanya anggap ia sebuah kota yang di luar Jakarta dan tidak menganggapnya negara asing. Dan jika saya diterima di sini, Alhamdulillah. Jika tidak, saya pulang semula (ketawa).
Kriteria artis yang bagaimana menjadi pilihan anda di Mania?
Saya mahu yang tentunya sesuai dengan home taste atau selera saya sendiri. Tapi di sini mungkin menjadi cabaran di mana saya mungkin mendapat penyanyi yang belum pernah bekerjasama dengan saya, iaitu dari segi suaranya. Itu bagi saya merupakan satu cabaran, dan kenapa saya harus terlibat kerana saya rasakan program ini menarik. Saya tidak tahu sama ada di luar negara sudah ada program seperti ini.
Adakah kamu akan menggunakan nama kamu untuk membawa bakat di sini ke Indonesia?
Yang itu pihak Astro yang mempunyai kuasa bukan saya. Saya hanya pihak juri yang dijemput bagi program ini. Saya tidak punya kuasa ke atas perkara itu.
No comments:
Post a Comment