PEMBEDAHAN kosmetik untuk wajah lebih cantik, bukanlah asing di kalangan artis Korea Selatan. Malah, kebanyakan artis wanita Korea begitu taksub memilih menjalani pembedahan kosmetik. Itulah juga langkah diambil pelakon utama drama White Lies, Shin Eun Kyung, 39, yang kini makin jelita dan menawan.
Melakukan pembedahan rahang tahun lalu, Shin sekarang tampil sebagai seorang wanita jenama baru. Sudah pulih sepenuhnya daripada kesan pembedahan, Shin dengan keyakinan diri makin bertambah dengan berani muncul menjadi model rasmi untuk klinik kosmetik yang berjasa padanya.
Kejelitaan yang kian terserlah membuatkan Shin berasa tindakannya sangat berbaloi. Dalam satu kenyataan kepada media, dia menjelaskan keputusannya melakukan pembedahan plastik kerana ingin kelihatan cantik. Ujarnya, apabila memiliki wajah yang jelita maka secara tidak langsung diri bertambah yakin.
“Saya sentiasa kelihatan seperti orang yang marah sebelum ini. Ditambah, sebagai pelakon saya hanya menerima watak yang agak terhad. Oleh itu, saya memikirkan bahawa keputusan penting harus diambil dan pembaharuan perlu dilakukan. Justeru, saya nekad untuk menjalankan pembedahan plastik juga.
“Akhirnya, apa yang diimpikan menjadi kenyataan. Sekarang, dengan imej baru yang lebih menampakkan kelembutan ini nyata memberikan saya peluang melakonkan peranan yang pelbagai. Saya juga menjadi semakin kuat dan tabah apatah lagi, sebagai ibu yang lemah-lembut di hadapan anak-anak,” katanya.
Kejujuran Shin dalam pengakuannya dilihat membawa maklum balas positif di kalangan peminat aktres yang menceburi lakonan sejak 1986. Bagi penyokong setianya, mereka sangat menghormati dan mengagumi keikhlasan Shin. Kebanyakan peminatnya bersorak kuat membela Shin.
Malah, antara komen positif yang turut diterima pelakon filem My Wife Is A Gangster itu ialah peminatnya melihat dia begitu tulus dan jujur kepada diri sendiri. Bahkan, mereka juga mengakui imej Shin yang cukup lembut dan banyak perubahan yang berlaku selepas pembedahan itu. Ia kelihatan sangat baik.
Menyentuh persetujuan Shin yang menandatangani kontrak pengiklanan dengan klinik tempat dia melakukan pembedahan itu, ia dianggap sebagai membalas budi. Ditambah lagi, permintaan untuk pembedahan kosmetik di kalangan golongan wanita semakin meningkat berikutan pembabitan beberapa selebriti popular.
“Saya hanya mahukan kehidupan yang lancar dan kerjaya lebih baik. Maka, saya dengan rela hati bertindak menukar ciri-ciri wajah saya yang kurang, menjadi lebih kukuh dan cantik. Saya berasa adalah satu keperluan penting untuk wajah sentiasa kelihatan muda. Apa yang dilakukan ini pilihan saya.
“Jujur, saya akui amat berpuas hati dengan hasilnya. Ia mampu memberi saya rangsangan keyakinan yang besar apabila ia datang untuk bertindak. Saya bersyukur mendapatkan perkhidmatan pembedahan kosmetik di klinik ini dan kontrak pengiklanan yang sudah dipersetujui, anggap saja pembayaran balik,” kata Shin.
Bagi peminat drama Korea di negara ini, White Lies disiarkan di Radio Televisyen Malaysia sebanyak 159 episod. Drama arahan Bae Han-Cheon dan Choi Eun-Kyeong untuk saluran MBC itu turut membariskan pelakon lain seperti Kim Hae-Suk, Kim Yu-Seok, Kim Tae-Hyeon, Im Ji-Eun, Ahn Seok-Hwan dan Kim Hye-Ok.
Ia mengisahkan Hyung-Woo lakonan Kim Tae-Hyeon sebagai anak ahli perniagaan terkenal, Shin Jung-Ok (Kim Hae-Suk) yang mengalami sakit nyanyuk. Satu hari, Hyung-Woo berkahwin dengan seorang jururawat, Eun-Young (Shin Eun-Kyung) untuk membantu menjaga ibunya yang kurang sihat itu.
Pun begitu, Hyung-Woo nyata tidak tahu niat sebenar Eun-Young mengahwini dirinya. Di sisi lain, Eun-Young berkahwin dengan Hyung-Woo demi untuk wang dan dendam. Tetapi, masa yang berlalu mengubah semuanya niat buruk Eun-Young itu kerana dia mula suka dan jatuh cinta kepada Hyung-Woo.
Sementara itu, Jung-Woo (Kim Yu-Seok) yang juga saudara Hyung-Woo mengatur strategi untuk menjatuhkannya. Ini kerana, dia mahu menjadi pengerusi empayar perniagaan keluarga Shin. Apakah yang berlaku di sebalik konflik yang itu? Adakah Jung-Woo berjaya merampas empayar yang diimpikan?
No comments:
Post a Comment