|
DIA pernah menubuhkan sebuah kumpulan nyanyian yang dikenali sebagai CanDo Sahaja pada tahun 2008. Namun, terkubur begitu sahaja berikutan penerbitan album mereka dengan sebuah syarikat rakaman dibatalkan.
Gara-gara kumpulan itu juga, sosok kacak dan muda yang boleh dilabelkan sebagai awet muda kerana masih kelihatan seperti pelajar sekolah menengah biarpun sudah mencecah usia 24 tahun itu pernah dihambat kontroversi, ekoran beraksi di ranjang dengan hanya berselimut, khusus untuk gambar promosi kumpulan itu.
Kisah-kisah sensasi itu bagaimanapun berlaku sebelum namanya sudah dikenali ramai seperti hari ini. Biar permulaan kariernya sebagai seorang artis tidak memberangsangkan selain dilanda kontroversi yang memalukan itu, dia kini dilihat lebih matang dan kebal.
Tidak lagi terpalit dengan sebarang kontroversi negatif setakat ini, Aeril Zafrel juga tidak pernah dilanda gosip cinta dengan sebarang individu.
"Saya melihat tanggungjawab yang saya pikul sekarang sebagai satu harapan untuk memajukan diri sendiri," ujarnya.
Sememangnya ada sinar lebih cerah diimpikan Aeril terutama tahun 2012 yang menantikan kemunculan empat buah filem lakonannya masuk panggung.
"Tahun 2012 merupakan tahun positif bagi saya, filem saya banyak keluar tahun ini dan 2012 juga tahun permulaan bagi saya dalam industri," katanya yang sebelum ini terpaksa berundur diri seketika untuk menjaga ibu dan bapanya yang masing-masing menderita penyakit kanser payudara dan kanser leher.
Selepas pemergian kedua-dua orang tuanya, Aeril kembali menyemat tekad untuk bermula dengan lebih deras dalam industri.
Bakal muncul dalam filem Cinta Kura Kura yang akan memulakan tayangan pada 1 Mac ini, Aeril juga turut membintangi tiga buah filem yang dijadualkan untuk tayangan sepanjang tahun ini iaitu 7 Petala Cinta, Budak Pailang dan Hanya Aku Cinta Kau Seorang (HACKS).
"Keluarga saya tiada yang berdarah seni, memandangkan arwah bapa saya suka setiap kali melihat wajah saya muncul di televisyen, dari situ saya berikrar untuk jadi yang terbaik," tuturnya.
Imaginasi Aeril
Fokus dan tidak tamak membolot semua peluang yang hadir, ujar Aeril lagi dia lebih pentingkan komitmen untuk satu-satu perkara dan kaedahnya belajar adalah melalui daripada pengalaman silam.
Selain empat buah filem tersebut, Aeril bakal muncul di layar kaca menerusi naskhah berjudul Pelarian dalam slot Cerekarama TV3 pada hari Sabtu ini, 25 Februari. Bergandingan bersama Noorkhiriah, Sharifah Amani dan Vanidah Imran, telefilem itu mengisahkan kehidupan budak gelandangan.
Bercerita tentang pengalamannya berlakon dalam filem Cinta Kura Kura, nyata ia adalah filem pertama yang menggandingkan Aeril dan heroin drama rantaian Nur Kasih, Tiz Zaqyah.
Bukan sekadar seronok berlakon di samping aktres jelita itu, Aeril memberitahu Cinta Kura-Kura telah memberikan pengalaman menarik buat dirinya.
Sementelah dalam filem yang turut menampilkan lakonan Bob AF2 itu, pemilik nama sebenar Suhairil Suhari itu menghidupkan karakter lurus bendul dan perlu berkomunikasi dengan kura-kura yang diberi nama Nico. Ini bermakna Aeril lebih banyak berimaginasi.
"Memang sukar dan untuk menjadikan lakonan saya tersebut kelihatan selamba dan tidak kekok, saya ada membeli patung kura-kura di rumah untuk berlatih (berlakon) dengannya. Ini untuk membiasakan diri dan saya gunakan ia sebagai latihan di rumah.
"Saya perlukan imaginasi yang tinggi. Jadi saya perlu bayangkan bagaimana kura-kura itu membalas percakapan saya hanya berpandukan dialog yang diberi," ujar Aeril yang mengakui berlakon bersama manusia dan haiwan adalah dua perkara yang sangat berbeza.
Tambah pelakon filem Aku Tak Bodoh itu, ada satu babak yang memerlukan dia menggoncang Nico, namun tanpa diduga kura-kura tersebut mula buang air di atas tubuh Aeril.
"Jadi, selepas kejadian itu, saya hanya memegang sahaja kura-kura itu tanpa menggerakkannya lagi," kenang Aeril tentang pengalaman manis berlakon dalam filem tersebut.
No comments:
Post a Comment