Jom Buat Duit

Wednesday, 29 February 2012

Bahagia Marion sebagai ibu





BERTEMU dengan pengacara jelita Marion Caunter pada majlis persandingan Lisa Surihani dan Yusry baru-baru ini, Marion masih kelihatan kekal jelita. Tubuh badannya kelihatan masih kurus, seperti belum melahirkan seorang anak, sedangkan hakikatnya, dia baru sahaja melahirkan anak sulungnya yang diberi nama Leia Rose Caunter SM Nasaruddin pada 16 Disember lalu.

Hadir bersama suaminya, SM Nasaruddin pada majlis tersebut, mereka kelihatan sungguh secocok dan mencuri tumpuan hadirin ketika melangkah masuk ke dalam dewan. Itu merupakan kemunculan pertama Marion selepas melahirkan anak.
Meskipun majlis masih belum selesai, Marion dan suami dilihat tergesa-gesa meninggalkan majlis sebelum mereka disambar pihak media di luar pintu masuk.
Kata Marion, dia harus pulang untuk menyusukan anaknya, Leia yang akan berusia tiga bulan pada 16 Mac ini.

"Saya kena pulang segera bukan tidak mahu berada lama di majlis ini, tetapi anak saya memerlukan saya kerana dia menyusu badan," tuturnya lembut.
Marion dan suami bagaimanapun tetap meluangkan sedikit masa bersama pihak media yang ingin mengetahui tentang perkembangan terkininya.

Disoal bagaimana perubahan hidupnya selepas bergelar seorang ibu, sambil memandang wajah suaminya dengan senyuman, dia memberitahu: "Semua okey, anak saya tidak banyak meragam cuma jika ada masa dia manja, setiap jam dia akan minta susu.
"Biasanya dua jam sekali. Jadi sekarang memang saya hanya duduk di rumah sahaja menjaga Leia. Saya hampir tidak keluar ke mana-mana sebab anak menyusu badan."

Meskipun Marion akan kembali bekerja sebagai pengacara E! News Asia yang menjalani penggambaran di Singapura setiap minggu, jelasnya, dia belum terfikir untuk menghentikan penyusuan badan buat Leia. Malah akuinya, memberi susu tepung sebagai alternatif buat Leia akan difikirkan apabila tiba saatnya. Namun buat masa ini, dia mahu memberi penyusuan badan secara eksklusif selama yang mungkin.

"Memang saya sibuk, tetapi saya rasa lebih baik memberi susu badan berbanding susu tepung kerana anak lebih sihat. Memang saya ada terfikir untuk berikan dia susu tepung, tetapi bila melihat wajahnya tidak sampai hati pula," katanya.
Tambah Marion lagi, sebagai persediaan untuk dia kembali bertugas pada minggu hadapan, dia akan memerah susu dan menyimpan di dalam botol sebagai bekalan Leia saat dia berpergian ke Singapura.

MARION meletakkan gambar dia sedang memeluk Leia yang tertidur lena dalam dakapannya sebagai gambar pengenalannya di akaun Twitter miliknya.



"Saya akan mula bekerja pada minggu depan, jadi caranya adalah saya akan menyimpan susu di dalam botol banyak-banyak sebelum saya terbang ke Singapura. Selain itu, saya akan pastikan yang saya pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama juga sebab itu saya terpaksa tolak jika ada yang menawarkan kerja pengacaraan di Singapura. Anak kini nombor satu," balasnya sambil tersenyum manis.

Tambahnya lagi sejak melahirkan Leia, dia harus berfikir dua kali sebelum membuat keputusan untuk bercuti atau berjalan ke mana-mana.
"Pergerakan saya lebih terhad sekarang, kalau sebelum ada Leia, rasa ingin bercuti, terus pergi tanpa berfikir panjang sekarang tidak boleh macam itu lagi.

"Kalau kerja pun tidak boleh terlalu lama tinggalkan Leia, nanti saya rindu dia. Saya sekarang hak eksklusif Leia, bila penat bekerja atau tertekan, lihat wajahnya terus hilang semua penat. Bagi saya apa yang berlaku merupakan satu perubahan baik buat kami berdua," ujarnya yang cukup bahagia melewati fasa baharu kehidupannya ini.

Restu kerja - SM Nasaruddin
Suami Marion yang lebih banyak berdiam di sisi isterinya sesekali mencelah dan berkata cabaran terbesar buat Marion adalah membahagikan masa antara kerjaya dan anaknya.
"Cabaran utama Marion adalah membahagikan masa kerja dan anak. Tetapi setakat ini Alhamdulillah, dia lebih selesa menjaga anak kami sendiri daripada menyerahkan tanggungjawab itu kepada pembantu rumah," katanya.

Marion pula berkata dirinya terlalu beruntung dan tidak boleh banyak merungut kerana dia dikurniakan suami yang pandai menjaga anak kecil mereka.
"Suami saya banyak membantu. Dia boleh menjaga Leia dengan baik. Kami bergilir-gilir menjaganya, lebih selesa begitu. Memang sangat seronok ada anak," kata Marion lagi.
Walaupun memiliki anak kecil, suami Marion tidak pernah menghalangnya untuk meneruskan kerjayanya kerana sedar bidang penyiaran merupakan minat utama isteri tercinta.
Malah, dia cukup kagum dengan komitmen kerja yang diberikan oleh isterinya itu.

"Dia memang sangat minat dengan apa yang dilakukan dan saya tidak pernah menghalang dia untuk terus bekerja. Apa yang diperoleh hari ini (kerjaya) hasil daripada usaha kerasnya selama ini," kata Nasaruddin yang selalu menjadi tulang bekalang Marion.
Ditanya tentang dirinya yang berkahwin dengan seorang selebriti terkenal seperti Marion, Nasaruddin memberitahu tidak mengalami perbezaan yang ketara seperti pasangan lain.

SAMA cantik sama padan. Marion dan suaminya. SM Nasaruddin berkongsi kebahagiaan bergelar ibu dan bapa kepada anak sulung mereka, Leia Rose Caunter SM Nasaruddin ketika diserbu pihak media sewaktu ditemui pada majlis resepsi Yusry dan Lisa Surihani baru-baru ini.



"Memiliki seorang isteri selebriti, tidak ada bezanya seperti orang lain. Kami berdua bekerja, selain keluarga, dia juga mempunyai komitmen lain seperti saya, cuma kini anak sangat diutamakan daripada segala hal," jawabnya.

Pantang cara Melayu
Tidak dinafikan ramai yang terkejut melihat tubuh badan Marion yang langsing sama seperti sebelum dia melahirkan anak.

Ditanya apakah rahsianya, jawab Marion, dia berpantang selama sebulan di rumah ibu mertuanya mengikut cara tradisional Melayu.
"Saya tidak ikut sangat sebab ibu mertua juga orang yang agak moden, jadi ada campuran antara moden dan tradisional.

"Ibu mertua lebih menitikberatkan pemakanan secara sihat dan elakkan makanan yang tidak sihat. Saya memang rindu untuk dapat semula badan sebelum lahirkan anak, jadi saya mengikut diet sihat dengan ketat," terangnya.
Ujarnya lagi, meskipun tubuh badannya kembali langsing, dia harus berusaha untuk mendapatkan tubuh asalnya semula.

"Siapa kata saya kurus? Baju saya hari ini ada bantuan ala-ala gaun kembang membantu menutup bahagian yang berlemak (ketawa). Saya masih berdiet cuma saya belum mula bersenam," tuturnya sebelum meminta izin untuk mengundur diri.
Ditanya tentang perancangan menambah ahli keluarga lagi, segera dijawab pasangan ini, mereka mahu memberi tumpuan terhadap Leia terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang mempunyai anak lagi.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters