SELEPAS lebih tiga tahun mendirikan tangga, akhirnya tepat jam 4 pagi semalam (Selasa), Mawi kini bergelar bapa apabila isterinya Nora’Asikin Rahmat atau Ekin selamat melahirkan anak sulung mereka di Hospital Pakar An-Nur Hasanah, Bangi, Selangor.
Bayi perempuan yang mirip wajah bapa dan ibunya itu dilahirkan dengan berat 2.8 kilogram tetapi belum diberikan nama.
Menurut Abdul Mutalib Mohd Saad iaitu bapa saudara Ekin merangkap pembantu Mawi, semalaman Mawi berada di samping Ekin sehinggalah Ekin selamat bersalin.
“Oleh itu Mawi minta maaf kepada semua pihak terutama wartawan kerana dia tidak
mahu ditemubual hari ini (semalam) kerana kepenatan dan mahu berehat. Insya-Allah, esok (hari ini) dia bersedia untuk memberikan kenyataan,” katanya.
“Alhamdulillah Ekin bersalin secara normal. Selain Mawi turut berada dengan Ekin menyambut kelahiran bayi sulung itu adalah ibu Ekin dan kembarnya, Datin Nora’Ain Rahmat.
“Mawi sangat teruja menerima kedatangan ahli keluarga barunya dan merancang untuk mengadakan kenduri kesyukuran pada masa terdekat.
Ekin dijangka keluar hospital hari ini dan dia akan berpantang di rumahnya di Bangi yang akan dijaga ibunya. Mawi mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminat yang mendoakan keselamatan isteri dan anaknya.
“Saya lihat Mawi sangat tenang dan dia bersyukur di atas kelahiran si kecil itu. Bagaimanapun buat masa ini, mereka belum bersedia untuk menunjukkan wajah bayi itu,” katanya.
Ekin sebelum ini pernah dua kali keguguran dan apabila disahkan dia hamil buat kali ketiga, pasangan itu sangat berhati-hati. Ekin dilarang melakukan kerja berat dan Mawi memberikan sepenuh perhatian terhadap isterinya. Ekin dihantar
balik ke rumah keluarganya di Johor Bharu bagi memastikan dia dan kandungannya sihat.
Pasangan itu berkahwin pada 20 Disember 2008 dalam suasana gilang-gemilang sehingga di gelar ‘wedding of the year’. Acara pernikahan mereka yang dilakukan di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor, disiarkan secara langsung di Astro Oasis dan seterusnya persandingan mereka diadakan di Hotel Palace Golden Horses, Seri Kembangan.
No comments:
Post a Comment