Jom Buat Duit

Thursday, 23 February 2012

Rooney beri saingan di Academy Awards


MERAIH pencalonan anugerah Oscar suatu pencapaian yang dibanggakan penggiat seni Hollywood. Menang atau kalah soal kedua sebaliknya tercalon memberikan impak besar pada perkembangan karier seni dinilai ramai pihak.
Pengalaman menarik ini dilalui aktres jelita, Rooney Mara selepas meraih pencalonan pertama kali untuk Academy Awards yang dijadual berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles pada 26 Februari ini.
Pelakon berusia 26 tahun berasal dari Bedford, New York mencuri perhatian juri kali ini menerusi filem lakonannya, The Girl With the Dragon Tattoo arahan David Fincher.

Berbanding penampilan awal dalam bidang lakonan menerusi beberapa drama TV antaranya, Law & Order: Special Victims Unit (2006), Women’s Murder Club (2007), The Cleaner (2008) dan ER (2009), aksi Rooney mula menarik perhatian khalayak di layar perak menerusi The Social Network ditayangkan tahun lalu.


Dalam filem itu, dia berjaya menang anugerah Ensemble of the Year dikongsi bersama beberapa pelakon lain pada acara Festival Filem Hollywood, Festival Filem Antarabangsa Palm Springs dan Phoenix Film Critics Society Awards manakala Pelakon Paling Menyerlah diberikan National Board of Review.

Bertitik tolak kejayaan itu, Rooney terus mengorak langkah dan bertuah apabila filem barunya, The Girl With the Dragon Tattoo berjaya melonjak namanya sekali lagi. Pencalonan Rooney untuk filem ini bukan saja untuk Oscar malah, dia juga mendapat pencalonan Aktres Terbaik kategori drama pada Golden Globe Awards yang lalu.

Filem ini turut menampilkan Rooney bergandingan bersama aktor James Bond, Daniel Craig dibantu Christopher Plummer dan Robin Wright. Ia mengisahkan usaha wartawan, Mikael Blomkvist (Craig) menjejaki seorang gadis yang hilang selama 40 tahun dan mendapat jawapan sama ada dibunuh. Dalam melaksanakan tugas ini, Blomkvist berhubung dengan penggodam komputer, Lisbeth Salander (Rooney).

Pencalonan Rooney kali ini dijangka memberi kejutan andai diumum sebagai pemenang. Saingan empat calon lain juga cukup hebat terdiri bekas pemenang Oscar dua kali, Meryl Streep mempertaruhkan The Iron Lady, Glenn Close (Albert Nobbs), Viola Davis (The Help) dan Michelle Williams (My Week with Marilyn).

Ketika mengulas kekuatan filem lakonannya ini, Rooney menyatakan watak Lisbeth bukan suatu asing pada dirinya. Pengkritik filem, Jake Wilson pernah menulis dalam rebiunya, lakonan Rooney kali ini memberi impak besar sama seperti aksi Heath Ledger melakonkan watak Joker dalam The Dark Knight (2008). Dalam pada itu, kelibat Rooney menarik perhatian ramai ketika dia hadir pada acara Minggu Fesyen Calvin Klein New York baru-baru ini.

“Ia memberikan pengalaman menakjubkan terbabit dengan acara anugerah. Saya berasa sungguh bertuah apatah lagi berjumpa dengan ramai penggiat seni yang hebat.

“Pengalaman ini suatu yang berbeza tetapi di rumah, saya masih melalui kehidupan biasa. Saya bersama pelakon lain bekerja keras ketika menyiapkan penggambaran filem ini.

“Saya fikir penonton mula menghargai kerja seni saya dan respon yang diterima sangat menggalakkan. Sokongan penonton ini memberikan pengalaman indah dalam hidup saya bergelar pelakon,” katanya.

Dalam menghayati watak diberikan, Rooney mengakui filemnya ini memberi impak pada kehidupan sendiri. Dia perlu berpindah untuk bekerja selama 16 jam sehari antara lima atau enam hari seminggu.

“Kesan lakonan pada diri saya cukup mendalam. Saya perlu bekerja keras, tetapi saya sentiasa rasa bertuah dan gembira kerana terbabit dengan filem ini. Ia suatu yang menggembirakan saya apabila penonton berpandangan saya berjaya melakonkan sesuatu watak itu dengan berkesan.

“Pada mula, saya berfikir lakonan sebelum ini menerusi The Social Network tidak menarik perhatian Fincher untuk ambil saya semula berlakon dalam The Girl With the Dragon Tattoo.

“Ketika membintangi filem The Social Network, saya hanya bekerja empat hari dan saya tidak rapat dengan Fincher. Walaupun singkat, saya seronok menimba pengalaman itu sehingga dalam filem kedua bersamanya, kami semakin mengenali lebih rapat antara satu sama lain,” katanya.

Rooney menyatakan melakonkan adegan dalam filem ini memberi cabaran yang sukar. Dia mengakui perlu berdepan tekanan ketika peng–gambaran. Paling mencabar, dia terbabit dengan adegan rogol yang membuatkannya berasa takut.

“Saya dengan Craig tidak mempunyai banyak adegan bersama, tetapi kami banyak menghabiskan masa bersama dengan Fincher ketika membuat latihan lakon.

“Kami juga bertuah ketika menjalani penggambaran di Stockholm, segala berjalan lancar dan kami mula selesa berlakon sama sebelum lokasi berpindah ke Los Angeles,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters