Namun, pada tarikh inilah negara kehilangan sebutir bintang yang sangat bersinar 20 tahun lalu. Tarikh ini cukup menyedihkan buat keluarga serta peminat artis tersohor yang pernah bergelar penghibur nombor satu Asia, Allahyarham Sudirman Haji Arshad.
Sudirman, anak kelahiran Temerloh pada 25 Mei 1954 meninggalkan kita pada Sabtu, 22 Februari 1992, jam 4 pagi. Pemergiannya pada usia 37 tahun membawa pelbagai cerita dan derita yang tidak mampu ditafsirkan oleh orang lain. Namun semua luahan hatinya itu dizahirkan menerusi lirik puitis tulisan rakan baik merangkap kakak angkatnya, Habsah Hassan atau Kak Chah.
Walaupun pemergiannya sudah mencecah dua dekad, Sudirman yang mempunyai ijazah dalam bidang Undang-Undang dari Universiti Malaya namun memilih menjadi penghibur rakyat, tetap hidup dalam jiwa masyarakat. Lagu-lagunya tidak pernah tertinggal menjadi siulan ramai setiap kali menjelang sambutan hari raya dan Hari Kemerdekaan.
Habsah yang mengenali Sudirman selepas kemenangannya pada Bintang RTM 1976 berkata, perjalanan masa bakal memungkinkan nama penyanyi ini dilupakan terutama oleh generasi muda yang tidak pernah mengenalinya. Namun dalam masa sama, dia tidak menolak nama Sudirman akan kekal diingati menerusi lagu peninggalannya yang menyentuh pelbagai genre.
“Dia berjaya tinggalkan lagu yang sentiasa kena dengan setiap situasi. Dia ada personaliti dan keistimewaan tersendiri. Kita tak ramai penghibur yang mempunyai keistimewaan seperti dia. Bahkan dia boleh dianggap penghibur negara yang tiada tandingan kerana konsep 1Malaysia yang dibawakan menerusi persembahan dan lagu-lagunya mendahului zaman.
“Dia penghibur yang jauh melangkaui usia, taraf kedudukan dan bangsa. Dia juga contoh penyanyi yang berpelajaran tinggi dan menggunakan ilmunya untuk mendidik masyarakat. Biarpun kita ada ramai penyanyi sekarang, belum nampak ada yang macam dia,” katanya menggambarkan pandangan ikhlas terhadap keistimewaan penyanyi bertubuh cilik ini.
Tambah Habsah, bagi mengingati pemergian Sudirman alangkah elok sekiranya stesen TV menayangkan semula program membabitkan penyanyi ini seperti mana Astro yang sering menayangkan filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
“Ini perlu untuk memberitahu kehebatan Allahyarham di kalangan generasi baru. Mereka tahu mengenai lagu Hari Raya dan Hari Kemerdekaan nyanyiannya, tetapi tidak tahu kehebatannya beraksi atas pentas. Dia milik masyarakat dan berapa kerat penyanyi kita yang ada corak patriotisme dalam persembahan mereka.
“Sebenarnya suara dia bukan hebat sangat. Suara dia biasa tetapi penghayatannya pada setiap lagu sangat hebat. Caranya menghiburkan pun tak sama dalam setiap persembahan. Sudirman satu-satunya anak Malaysia bergelar penghibur yang bijak dan pandai mengendalikan situasi persembahan dan peminat,” katanya.
Sebagai mengenang jasa Allahyarham, Sudirman dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang pada 2009. Habsah mengakui berterima kasih dengan pengiktirafan yang diberikan. Bagaimanapun katanya, sejauh mana masyarakat menghargainya kerana ia datang dari kerajaan negeri, bukannya persekutuan.
“Seperti saya kata, Sudirman melangkaui semua kaum. Cuma Tuhan lebih sayangkan dia. Saya rasa wajar kerajaan bagi sesuatu dengan menamakan jalan dengan namanya. Pengiktirafan ini perlu kena dengan apa yang diberikannya. Kalau di RTM ada Auditorium P Ramlee, apa salahnya diletakkan namanya juga kerana dia lahir di RTM.
“Perlu ada memorial Sudirman sebagai mengenang jasanya. Masyarakat tidak akan mempertikai kerana mereka mengakui sumbangannya. Apatah lagi ia menepati konsep 1Malaysia yang dilaungkan oleh kerajaan sekarang. Sempena 20 tahun pemergiannya, saya tengok pelbagai program diadakan untuk mengenangnya.
“Di RTM, TV3 dan stesen radio, ada segmen mengenang Allahyarham. Ada yang berbentuk konsert orkestra dan ada juga majlis tahlil. Ini satu perkembangan yang baik. Sudirman boleh dijadikan contoh dari segi akademik dan persembahan. Kita tidak malu jika jadikan dia sebagai contoh kerana industri seni perlu orang yang bijak. Kita tidak ramai artis sebegini.
“Sebenarnya Sudirman akan buat sesuatu sebaik mungkin dan dia tidak fikir sangat dari segi keuntungan. Namanya hebat tetapi dari segi wang ringgit memang tiada. Komitmen dia untuk persembahan mengatasi segala-galanya,” jelas Habsah yang akan mengadakan majlis mengenang Sudirman di Restoran Puteri, Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur pada 25 Februari (hari ini).
Ditanya apakah dia tidak jemu bercerita mengenai Sudirman setiap kali tibanya tarikh ini, Habsah berkata, ia sudah menjadi kewajipannya untuk memberitahu kisah penyanyi ini kepada masyarakat.
“Kebetulan kami rapat sebagai kakak dan adik, jadi apa salahnya saya kongsi cerita dengan semua. Memang sesekali terasa bosan bercerita benda sama, tetapi saya fikirkan generasi baru yang tidak kenal Sudirman, pasti akan tahu apabila mendengar atau membacanya. Saya buat atas dasar memelihara kesinambungan kisah Allahyarham sementara saya masih ada (hidup).
“Bukan sengaja nak menumpang glamor tetapi saya banyak kenangan dengan dia. Satu perkara yang tidak kesampaian, kami ada merancang nak hasilkan filem bersama. Secara kasar kedua-dua belah pihak sudah bersetuju, tapi ia tidak jadi kenyataan,” terang Habsah.
Bagi komposer Fauzi Marzuki, pengalaman bekerja dengan Sudirman sememangnya penuh dengan pahit dan manis. Ideanya yang banyak serta pelbagai menjadikan ia satu cabaran yang perlu disambut.
“Idea ini akan ditulis di atas kertas dan ditunjukkan dalam perbincangan. Seboleh mungkin dia akan minta kita bersama selesaikan kertas cadangannya. Contohnya ketika konsertnya di Jalan Chow Kit, pelbagai perkara perlu diteliti dari segi ‘ground work’ yang membabitkan ramai pihak seperti anggota keselamatan, permit dan sebagainya.
“Kalau sekarang mungkin susah kebenaran nak diberikan. Ketika itu kerana Sudirman dan lagunya Chow Kit Road, dia diberikan kebenaran. Namanya boleh meyakinkan orang untuk memberikan kerjasama. Ketika merakam album pula, dia akan bagi lagu-lagu yang dia fikir sesuai untuknya. Malah liriknya pun dah disiapkan. Ini satu cabaran untuk menjadikan lagu ini satu realiti.
“Kalau dibandingkan dengan penyanyi lain, dia sudah jauh ke depan. Dia ada arah sendiri. Seorang yang rajin dan buat persediaan awal serta berusaha mendapatkan apa yang diinginkan. Banyak pengalaman saya kumpul ketika bekerja dengannya sebagai penerbit. Apabila saya bekerja dengan artis lain, perkara ini akan jadi mudah. Boleh dikatakan kami sama-sama belajar menerusi proses ini.
“Sudirman sangat profesional ketika bekerja. Kalau ada masalah pun hanya yang kecil. Dia sangat percayakan semua individu yang bekerja dengannya. Tidak dinafikan semasa bekerja, berlaku juga suasana tegang. Dia akan tulis perkara yang tidak puas hati besar-besar menggunakan ‘marker pen’ di atas kertas dan suruh pekerjanya hantar kepada saya.
“Saya perlu menyediakan jawapan dan alasan untuk setiap perkara. Isu ini akan dibincangkan membabitkan saya, pengurusnya dan wakil EMI. Dari sinilah kami mencari jalan penyelesaian. Apabila ke luar negara, Sudirman tidak lupa membeli hadiah buat saya. Prinsipnya, kawan tetap kawan dan bisnes tetap bisnes,” kata Fauzi yang berharap penghargaan diberikan untuk seseorang artis yang layak ketika mereka masih hidup.
Trivia Sudirman
No comments:
Post a Comment