IRONINYA, dua orang jejaka yang sedang meniti arus populariti, Zizan
Razak dan Shaheizy Sam mengaku mereka bukan lelaki hangat yang berada
dalam industri hiburan tempatan. Walaupun begitu, sejak dua minggu
lepas, termometer mereka kini sedang hangat gara-gara kisah cinta
masing-masing yang masih menjadi tanda tanya.
Walaupun mungkin tidak menganggap diri sehangat Aaron Aziz, namun,
mereka berdua punya tarikan tersendiri yang membuatkan ramai gadis yang
jatuh cinta dengan mereka. Namun, masing-masing mempunyai kisah hati dan
cerita cinta tersendiri kini sedang hangat berlegar di internet.
Bercerita mengenai kisah cinta Zizan, semua peminat tahu mengenai
kisah cinta dirinya bersama aktres cantik, Juliana Evans yang kini
berada di Amerika Syarikat untuk menyambung pelajaran.
Bagaimanapun, setelah beberapa bulan berada di sana, heboh berikutan
foto-foto mesra Juliana bersama jejaka Inggeris yang dimuat naik oleh
tuan punya badan sendiri. Juliana juga sempat memberi penjelasan pendek
pada laman Twitter yang mengatakan tidak salah dia berkawan kerana
berstatus solo.
Mengulas tentang isu tersebut, Zizan yang memanggil Juliana dengan
panggilan Jue itu memberitahu: "Saya pernah baik dengan Jue dan pastinya
orang akan bertanya mengenai hubungan kami.
"Saya akui ketika dia belajar di sana, kami membawa haluan
masing-masing dan kami juga tidak pernah memutuskan apa-apa tentang
perhubungan kami sebelum ini.
"Saya tidak kisah jika orang bertanya. Selagi saya boleh jawab, saya
akan berusaha menjawabnya dengan baik. Seperti yang pernah saya katakan
sebelum ini, saya tidak mengenali teman Jue yang tersebar di dalam
gambar di internet baru-baru ini.
"Hakikatnya, saya juga tidak pernah bertanya mengenai isu peribadi
dirinya. Dia juga mengaku bahawa dia masih solo dan saya tidak pernah
berasa kecewa tentang perkara ini."
Lain pula cerita Sam yang kini dikaitkan bercinta dengan pelakon
baharu, Syatilla Melvin yang dikenalinya sejak setahun lalu. Tidak
menafikan yang dia sememangnya rapat dengan pelakon tersebut, Sam punya
alasan tersendiri mengapa gadis 22 tahun itu dipilih menjadi teman
rapatnya.
"Saya mengakui rapat dengan Syatilla, namun hanya sebagai rakan. Ini
kerana, saya berasa amat senang untuk berkongsi cerita dengannya,
tetapi, ia bukan seperti yang orang sangkakan kerana saya masih lagi
belum bertemu sesiapa untuk dijadikan kekasih atau melangkah ke
peringkat seterusnya.
"Saya akui, rakan industri hanya akan bercakap tentang industri,
namun dia (Syatilla) seorang rakan yang apabila kami bertemu kami tidak
pernah bersuara tentang kerja. Saya rasa kami selesa menjadi rakan di
luar set penggambaran juga," ujar Sam tanpa berselindung.
Tak 'hangat'
Meninggalkan kisah 'cinta' hangat mereka berdua, Zizan dan Sam diajak
bercerita tentang pencalonan mereka dalam kategori Hot Guy Awards
menerusi anugerah urban Shout Awards 2012 yang bakal berlangsung pada 23
November ini.
Popular dan hangat dengan karier masing-masing, Zizan dan Sam
bagaimanapun mempunyai pendapat tersendiri tentang pencalonan mereka.
Bersaing dengan empat lagi jejaka 'hangat' iaitu Remy Ishak, Henry
Golding, Hans Isaac serta Aaron Aziz, mereka berdua menghuraikan tentang
definisi hangat daripada persepsi mereka.
Adakah ia semata-mata tentang rupa atau ada perkara lain yang mereka
yang mungkin mereka rasakan sehingga terpilih ke dalam kategori
tersebut?
Bagi kedua-dua figura popular ini, mereka tidak pernah berasa diri
sebagai lelaki 'hangat'. Maka apabila tercalon dalam senarai tersebut,
mereka merasakan ia mungkin atas faktor lain sehingga dipilih dan diundi
layak masuk ke dalam senarai tersebut.
Bagi Sam atau nama sebenarnya, Shaheizy Sam Abd. Samad, dia tidak
pernah merasakan dirinya seorang jejaka yang hangat dari segi fizikal
mahupun rupa.
"Saya tidak melihat faktor hot atau hangat itu bergantung hanya
kepada penampilan yang menarik dan tampan atau menarik secara fizikal.
"Bagaimanapun, mungkin ia lebih kepada apa yang mereka minat. Mungkin
saya seorang pelakon yang masih diperlukan dan diminati sekarang dan
orang masih mahu melihat saya.
"Namun, saya akui, pada mata saya, lelaki seperti seperti Aaron Aziz
mahupun Hans Isaac, mungkin itu boleh dikategorikan sebagai hangat
fizikal.
"Apapun saya rasakan, Tuhan Maha Adil, mungkin pada pandangan
sesetengah orang memandang saya ini hangat, maka tercalonlah saya di
dalam senarai tersebut.
"Saya tidak pernah rasa diri ini hangat, tapi mungkin boleh diterima
sedikit?" ujar Sam yang pernah dua kali tercalon dalam kategori yang
sama sambil berjenaka.
Pelawak perlu cekap, bijak
Walau bagaimanapun, pendapat pelawak, Mohd. Razizan Abd. Razak atau
lebih mesra disapa Zizan, seorang individu yang dikategorikan sebagai
hangat tidak hanya terletak pada kecantikan fizikal sahaja.
"Jika kita lihat dalam pertandingan ratu cantik, hot itu bukan
bermakna rupa semata-mata, namun ia merangkumi kebijaksanaan seorang
wanita itu.
"Begitu juga dengan perkara ini, saya juga memandang ke arah itu. Mungkin ia lebih kepada diminati atau bakat.
"Saya tidak rasa diri ini terlalu hangat dan memang ia perkara
subjektif serta perlu tanya kepada orang yang memilih atau melihat kami
sebagai hangat. Bakat merupakan perkara paling utama bagi seorang
penggiat seni, tidak kiralah anda di bidang mana sekalipun," tutur Zizan
mengenai pencalonan pertamanya dalam kategori Hot Guy Awards.
No comments:
Post a Comment