BETTY masih aktif berlakon dan menyanyi. Drama terbaharu lakonannya bakal disiarkan di TV3 pada Sabtu, 24 November ini.
NAMANYA sudah agak lama tidak diperkatakan, kecuali berita tentang
dirinya yang bakal berkahwin dengan tunangnya, jejaka kacukan
Inggeris-Lebanon bernama Bruce Dargus dijadualkan pada 12 Disember ini.
Bagaimanapun, keadaan menjadi heboh apabila pelakon dan penyanyi
kacukan Melayu-Jawa-Arab, Betty Banafe, 33, pada Ahad lepas tiba-tiba
mengakui dia keliru dan hampir pasti untuk membatalkan majlis
perkahwinan dengan pemuda yang telah mengikat tali pertunangan dengan
dirinya pada 14 Jun lalu itu.
Bagaimanapun semalam, Betty mengakui kepada Kosmo! bahawa dia nekad
mahu meneruskan pernikahannya tersebut seperti yang telah dijadualkan.
Pernikahan itu tetap akan berlangsung pada 12 Disember menjelang pukul 7.45 malam di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru.
Pelakon filem Haru-Biru dan drama Spa Q itu mengakui berlaku
perselisihan pendapat antara dia dan tunangnya itu dan masalah tersebut
lebih menjurus kepada masalah perbezaan budaya serta tidak melibatkan
orang ketiga atau masalah lain.
Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe
itu dikhabarkan terpaksa masuk hospital pula. Apakah yang berlaku?
Ketika dihubungi Kosmo! kelmarin, Betty memberitahu tentang perkara sebenar yang telah menimpa dirinya itu.
Kosmo!: Apakah punca permasalahan yang timbul sehingga Betty keliru
dan terfikir untuk membatalkan majlis perkahwinan yang sebelum ini
telah dirancang pada 12 Disember itu?
BETTY BANAFE: Masalah sebenarnya kecil sahaja, disebabkan bakal suami
saya yang berasal dari England, maka kami berselisih faham mengenai
majlis pernikahan yang bakal diadakan. Sudah tentu, apabila kita
berkahwin dengan orang asing, budaya tidak akan sama. Kehidupan mereka
lebih ke arah budaya Barat manakala kita adalah orang Asia, pasti ada
sedikit perbezaan di situ. Bagaimanapun, setelah segalanya dibawa
berbincang, akhirnya niat perkahwinan itu akan diteruskan juga.
Bagaimanakah perasaan Betty menjelang majlis perkahwinan nanti?
Sudah tentu saya berasa cukup gembira dan saya memang sangat
mencintai dirinya. Walaupun menghadapi sedikit masalah pada saat-saat
akhir, saya tabah menghadapinya. Kata orang, apabila sudah bertunang,
kita akan berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Jadi, itu sudah
lumrah dalam hidup, saya harus melaluinya.
Apakah yang menyebabkan Betty menerima Dargus sebagai bakal suami sedangkan dia berbeza
budaya dan agama?
Saya berasa teruja dengan perkahwinan campur ini. Bagi saya, ia
adalah sesuatu yang menyeronokkan. Dalam hal ini, saya bersifat terbuka,
lagipun saya mempunyai ramai kenalan dari luar negara dan selalu
bercampur dengan mereka.
Apakah ciri-ciri istimewa Dargus yang membuatkan Betty terus jatuh hati?
Dia suka dan bijak berkomunikasi, berkemahuan tinggi untuk belajar
sesuatu perkara baharu. Itu yang menyebabkan saya tertarik dengan
dirinya.
Bagaimanakah pula dengan persiapan majlis perkahwinan?
Alhamdulillah, persiapan perkahwinan kami semuanya berjalan dengan
lancar. Saya sudah melantik LH Media TV sebagai jurufoto rasmi, manakala
set persalinan untuk perkahwinan merupakan rekaan Nurul Al Huda dari
Singapura.
Apakah perancangan selepas perkahwinan anda nanti?
Saya akan meneruskan bisnes keluarga. Selain itu, saya berharap
perkahwinan ini akan memberikan saya kekuatan dan menambahkan lagi
persefahaman dan kasih sayang antara saya dan Dargus.
Bagaimanakah pula dengan perancangan destinasi berbulan madu?
Selepas sambutan tahun baharu nanti, Insya-Allah, kami merancang
untuk bercuti di dalam negara sahaja, iaitu di Pulau Sipadan, Sabah.
Apakah perkembangan terbaharu Betty dalam dunia seni sekarang?
Dalam waktu terdekat ini, saya akan muncul dalam drama Mariam Kampung
Putat di TV3 menjelang 24 November ini. Selain itu, saya akan
melancarkan muzik video pop terbaharu berjudul Tak Sengaja yang
dijadualkan selepas perkahwinan saya nanti.
Khabarnya Betty akan masuk hospital, betulkah?
Saya dimasukkan ke pusat perubatan pakar Hospital Universiti
Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, Selangor pada pukul 5 petang Selasa
(semalam, 20 November). Keesokan paginya (hari ini, 21 November) saya
akan menjalani pembedahan sista ovari. Pembedahan tersebut akan
mengambil masa selama dua hari. Ini merupakan kali kedua pembedahan yang
sama saya lakukan setelah kali pertama pada 23 November, 2007. Kosmo
No comments:
Post a Comment