DEBARAN untuk mengetahui finalis Muzik Muzik yang layak ke peringkat
final telah berakhir malam Ahad lalu. Sebanyak 12 buah lagu telah
terpilih bersaing pada peringkat final.
Lagu- lagu tersebut ialah Idola (Azlan & the Typewriter), Pelangi
Senja (Stacy), Terukir Di Bintang (Yuna), Anak Kampung (Jimmy Palikat
dan One Nation Emcee), Ombak Rindu (Hafiz dan Adira), Tanpamu (Amir
Jahari), Patah Seribu (Shila Amzah), dan Andai Ku Bercinta Lagi (Mojo).
Turut tercalon di pentas final ialah lagu Teman Pengganti (Black dan
RJ), Lagu (Bedroom Santuary), Ku Akui (Hafiz), dan Simetri (Hazama &
Amy Search).
Bagaimanapun, sedikit pertikaian mula wujud tentang pemarkahan dan
pemilihan yang diberi oleh para juri apabila beberapa lagu yang dianggap
punya kualiti lebih baik tidak tersenarai, sebaliknya terdapat beberapa
lagu yang hanya mendapat putaran tinggi di radio telah tersenarai.
Namun, komposer dan pemuzik terkenal, Azmeer menolak dakwaan itu
sebaliknya berkata pemilihan yang dilakukan berdasarkan kreativiti dan
bakat pemuzik itu sendiri.
“Daya kreativiti pemuzik merupakan salah satu kriteria utama layaknya sesuatu lagu untuk dipertandingkan di peringkat final.
“70 peratus penilaian sesebuah lagu adalah berdasarkan melodi, lirik,
susunan muzik, kreativiti, penerimaan juri dan masyarakat terhadap lagu
tersebut, manakala 30 peratus lagi adalah menerusi persembahan penyanyi
itu sendiri,” jelasnya.
Azmeer turut mengakui bahawa industri hiburan tanah air telah
berkembang secara sihat dan terdapat peningkatan apabila banyak
kemunculan penyanyi baharu yang kreatif dan berbakat berbanding dengan
tahun 80-an.
“Seperti lagu Teman Pengganti ciptaan Mallique, ia memiliki melodi
yang asli. Namun, masih mempunyai elemen lagu-lagu lama, dan ia tidak
mempengaruhi melodi baharu,” katanya yang juga bertindak sebagai ketua
juri pada malam tersebut.
Azmeer juga menegaskan, walaupun terdapat lagu yang layak ke final
mempunyai elemen Barat, tetapi pada masa sama ia masih mengekalkan
unsur keMelayuan seperti penggunaan bahasa yang betul.
Selain Azmeer, finalis turut diadili oleh juri terdiri daripada Datuk
Ramli MS, Edrie Hashim, Helen Yap, Cat Farish, Kamarulzaman Taib dan
Damien Mikail Seet.
Dalam pada itu, pertandingan yang telah memasuki musim ke-27 pada
tahun ini terus menyaksikan dominasi daripada penyanyi baharu apabila
berjaya layak ke final anugerah yang penuh berprestij itu.
Jika pada musim lalu, Hafiz telah merangkul trofi Juara Lagu dan juga
dinobatkan sebagai pemilik Vokal Terbaik, kali ini dia sekali lagi
menunjukkan kewibawaannya apabila ke pentas akhir buat kali kedua
berturut-turut. Apa yang lebih manis, lagu duet bersama Adira, Ombak
Rindu turut tersenarai di dalam 12 finalis untuk tahun ini.
Menurut Hafiz, walaupun dia merupakan juara AJL 26 lalu, dia
menganggap ia bukanlah tekanan baginya untuk terus berentap di pentas
final pada tahun ini.
“Bagi saya, tekanan sudah tiada, yang tinggal sekarang hanyalah cabaran untuk melakukan yang terbaik di final.
“Insya-Allah, di pentas final nanti saya akan lakukan satu kejutan,
tetapi buat waktu ini saya belum terfikir lagi bentuk kejutan yang
bagaimana akan saya tampilkan,” katanya.
Sementara itu, Shila Hamzah yang baru sahaja merangkul trofi Anugerah
Lagu Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 19 (AIM 19) dan trofi Power
Vocal Award dalam anugerah Shout! Awards 2012 terus menunjukkan
keunggulannya apabila turut menempatkan diri ke pentas final.
Apabila ditanya soalan adakah disebabkan tempiasnya mendapat
anugerah-anugerah yang diperoleh sebelumnya membuat dia sekali lagi
tercalon, Shila menolak dakwaan itu.
Ujar Shila, dia bersyukur dengan pencapaiannya sekarang dan ini merupakan rezeki kurniaan daripada Tuhan.
“Saya tidak meletakkan harapan tinggi, sebaliknya jika ada rezeki, insya-Allah, Allah akan bagi,” katanya.
Manakala penyanyi rock veteran, Amy Search yang kali terakhir ke
pentas final menerusi lagu Seroja, mengakui teruja tercalon salah
seorang finalis dan berdepan dengan pemuzik baharu.
Katanya: “Saya rasa gembira dapat lakukan ini untuk Hazama, dan
apabila bercampur dengan pemuzik baharu, saya perlu menghormati mereka.
“Malah, masuk ke final ini pun sudah cukup baik untuk saya, selebihnya adalah untuk bergembira.”
Final Anugerah Juara Lagu 27 (AJL 27) dijadualkan pada 6 Januari tahun depan.
No comments:
Post a Comment