Jom Buat Duit
Saturday, 3 November 2012
Aznil Nawawi bidas pengacara persendakan artis
BUAT julung-julung kalinya tanggungjawab sebagai pengacara Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM) digalas oleh Aznil Nawawi.
Tidak berseorangan, Aznil bakal bergandingan dengan penyanyi hebat Adibah Noor untuk mengacarakan malam AIM yang bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 17 November ini.
Seiring dengan usia AIM yang sudah 19 tahun dianjurkan, janji Aznil, dia akan menampilkan kelainan untuk memengekalkan prestij anugerah tersebut.
Aznil juga mengakui tidak mahu menjadi seorang pengacara yang suka mempersendakan artis-artis atau sesiapa sahaja seperti yang dilakukan oleh pelawak-pelawak yang menjadi pengacara.
“Kalau boleh saya mahu kembalikan format mengacara majlis satu ketika dahulu yang mana ia bergantung kepada skrip tetapi dibuat secara bersahaja.
“Zaman memperlekehkan orang sudah habis. Sekarang pun sudah banyak pelawak yang lakukan macam itu.
“Sudah tiba masanya tugas itu digalas oleh pengacara sebenar dan di situlah cabaran kami untuk menjaga momentum majlis agar tidak lesu dan hambar,” jelasnya yang ditemui pada sidang akhbar di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tidak mahu lagi penyampai-penyampai anugerah menjadi bingung di atas pentas, sekadar bercerita mengenai baju dan bertanya khabar, ungkap Aznil, dia dan Adibah akan mengambil peranan sebagai penyampai bersama untuk menampung kekurangan yang ada supaya majlis tersebut dapat dikawal.
Aznil dan Adibah akan mempertaruhkan gaya bersahaja dan usik-mengusik penyampai-penyampai anugerah dalam menerajui acara tersebut.
Ditanya sama ada dia tidak takut pembaharuan yang bakal ditonjolkannya nanti tidak menjadi, kata Aznil, dia lebih suka mencabar diri melakukan benda baharu daripada membiarkan majlis tersebut meleret dan tidak terkawal.
Jelas Aznil lagi, AIM 19 seharusnya dilihat secara matang dan dia mahukan acara yang berlangsung selama dua jam setengah itu tidak berada di takuk lama.
“Saya akan cuba jadikan ia ceria tetapi dalam masa yang sama tidak menimbulkan kontroversi,” ujarnya yang tidak mahu AIM 19 dilihat sebagai anugerah yang diperlekehkan.
Sementara itu, Adibah yakin dengan gandingannya bersama Aznil berdasarkan keserasian antara satu sama lain.
“Saya percaya keserasian antara kami memudahkan lagi tugas mengendalikan AIM 19 walaupun ini adalah pertama kali kami digandingkan.
“Gaya usik-mengusik dan spontan yang kami pertaruhkan nanti akan memberiken kelainan dan mengawal momentum acara,” katanya.
Bertemakan Black & White Glam Glizt, AIM 19 akan bersiaran langsung pada pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Mustika HD (saluran 134).
Ia bermula dengan segmen Karpet Glamor pada pukul 8.30 malam yang diacarakan oleh Awal Ashaari dan peserta program On Air, Dahlia Syazwan.
Antara barisan artis yang akan membuat persembahan pada malam itu termasuklah Datuk Siti Nurhaliza, Hafiz, Mojo, Jimmy Palikat, One Nation Emcess, Shila Amzah, Lefthanded dan Jaclyn Victor.
Majlis AIM 19 turut diserikan dengan 17 orang barisan penyampai termasuk Datuk Fazley, Faizal Tahir, Datuk Hattan, Norman Abdul Halim dan Nora Danish.
Sementara menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 19, Rosmin Hashim, AIM sudah tentu menjadi sebuah rancangan anugerah muzik yang sentiasa dinanti-nantikan semua saban tahun.
Disebabkan itu, pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) meneruskan usaha untuk menampilkan persembahan hebat daripada barisan artis terulung buat tontonan peminat-peminat muzik tanah air.
Kosmo
Labels:
Aznil Nawawi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment