Sesuai dengan lokasi majlis anugerah itu diadakan pada tahun ini, konsep acara yang seakan-akan MTV Awards itu juga sejujurnya berjaya memanaskan malam hujung minggu dalam versi santai tapi bergaya.
Acara karpet merah yang bermula seawal pukul 5 petang menyaksikan pelbagai gaya selebriti yang tampil berdasarkan dua tema pilihan iaitu pakaian resort atau steam punk.
Bukan hanya hangat daripada segi fesyen, bahkan kepelbagaian persembahan yang disajikan sejak pukul 8.30 malam hingga 11.45 malam berselang-seli dengan penyampaian anugerah kepada pemenang.
Permulaan acara yang mengundang rasa teruja penonton untuk menunggu lebih lama biar hujan mula turun mencurah; kemunculan penyanyi yang berpakaian ala-ala Nicki Minaj dan disusuli persembahan bertenaga Goldfish & Blink bersama Luxy Boyz.
Variasi
Jika dilihat daripada keseluruhan persembahan pada malam tersebut, secara puratanya tidak menghampakan. Ada variasi dan kesegaran ditampilkan.
Seolah-olah memberikan ramalan bahawa trofi kemenangan Ultimate Shout! Award yang telah dimenangi tahun ini oleh kumpulan trio tiga beradik KRU apabila penonton disajikan dengan satu slot persembahan Tribute To Malaysian Hits.
Dua buah lagu kumpulan KRU iaitu Fanatik dan Mengerti ditampilkan bersama tiga buah lagu lain iaitu Who Be The Player (Poetic Ammo), Inilah Nasibku (Nico) dan Belaian Jiwa (Innuendo) nyanyian bintang kelahiran Mentor, Ila Damia dan Anas.
Sedikit mengecewakan apabila slot persembahan tiga orang komposer dan penyanyi iaitu Liyana Fizi yang menyampaikan lagu Jatuh, The Impatient Sisters (Comets & Stars) serta Diandra Arjunaidi (Angkasa) tidak begitu menyengat.
Bak kata wakil kedua-dua buah kumpulan K-Pop itu ketika sidang akhbar pada pagi Jumaat lalu, mereka khuatir sebenarnya mengenai penerimaan peminat di sini.
"Namun, kami teruja untuk memberikan yang terbaik khas buat Shout! Awards tahun ini, biar pertama kali berkunjung ke sini (Malaysia), rata-rata memberikan respons yang positif," kata salah seorang anggota kumpulan Nu'Est, Aron.
Anugerah
Kemeriahan majlis tidak hanya terletak pada tenaga yang disalurkan menerusi persembahan semata-mata, tapi juga kredibiliti penyampai anugerah serta tiga orang pengacaranya iaitu Henry Golding, Hannah Tan dan Razif Hashim.
Pendek kata, jika pengacara bijak mengawal situasi profesionalisme seseorang itu secara automatik terserlah.
Bukan menuding jari kepada mana-mana pihak sebelum permulaan persembahan Kyoto Conspiracy, sebaliknya hos yang bijak harus mampu mengalih perhatian untuk menutup kecacatan sekeliling apatah lagi acara itu disiarkan secara langsung.
Beberapa anugerah ada antaranya sudah boleh diramalkan keputusannya dari awal seperti Hot Guy Award, Hot Chick Award dan Best on Screen Chemistry Award terutama apabila diperhatikan pencalonan awalnya.
Jelas sekali, ketiga-tiga anugerah yang telah dimenangi oleh Aaron Aziz, Nora Danish serta pasangan Zizan Razak dan Johan menepati ramalan awal!
Kata Zizan yang berjaya membawa pulang dua trofi hasil kemenangan melalui kategori Best On-Screen Chemistry Award serta Favourite TV Personality Award, dia bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang mengundi dirinya.
"Ini bermakna masyarakat urban dan seluruh masyarakat sudah dapat menerima saya dan duo bersama Johan.
"Saya sentiasa menganggap diri saya berada di bawah. Masyarakat urban bagi saya ialah masyarakat yang bijak untuk menilai. Alhamdulillah dengan rezeki yang diterima ini, saya sangat berterima kasih kepada yang mengundi saya sehingga mencapai kemenangan ini," ujarnya.
Tambahnya lagi, walaupun memang sudah biasa bergandingan bersama Johan, namun tahun ini merupakan tahun pertama mereka tercalon sebagai Best On-Screen Chemistry Award dalam Shout! Awards.
Tidak dinafikan gandingan Jozan (Johan dan Zizan) sememangnya menjadi kegemaran peminat genre komedi. Begitupun, ujar Zizan, walaupun sering bersama, tidak bermakna mereka tidak boleh bergerak solo.
"Walaupun kami memang sering bersama, ini tidak bermakna kami tidak boleh bekerja secara solo. Jika solo, kami berdua perlu ada senjata lain untuk menggantikan tempat masing-masing, namun tidak sama seperti bagaimana kami apabila berdua. Apabila kami berdua, memang persembahan menjadi mantap, itu memang tidak dapat dinafikan," akhiri Zizan dalam sesi temu bual yang berlangsung di Lighthouse Beach Bistro, Sunway Lagoon.
Sementara itu, bagi Yuna yang juga pemenang Ultimate Shout! Award pada tahun lalu meluahkan rasa bangga apabila berpeluang memberikan menyerahkan anugerah yang sama kepada kumpulan KRU tahun ini.
"Memberikan anugerah terbesar itu kepada KRU merupakan penghargaan kepada diri saya sendiri malah, saya melihat Shout! Awards bukan saja memberikan peluang untuk bertemu peminat, bahkan juga platform mempromosi artis-artis baharu," ujarnya.
Katanya yang memenangi kategori Popstar Award dua kali berturut-turut selain Wired Celebrity Award pada tahun ini, pengiktirafan itu adalah bukti dia masih relevan di Malaysia.
"Tiada istilah peminat tempatan atau luar negara biarpun kerjaya saya kini berpecah dua (Malaysia dan Amerika Syarikat). Anugerah ini merupakan tanda ingatan peminat di sini masih mahukan saya," ungkapnya tersenyum.
Pentas yang gah, persembahan yang mengagumkan, anugerah yang adil dan sokongan peminat tanpa henti sebenarnya tanda sesebuah anugerah itu tidak harus dibiarkan terhenti.
Selepas tiga tahun penganjuran Shout! Awards, ia menampakkan aliran seni semakin berkembang pesat dan peminat semakin terbuka. Syabas diucapkan!
Kosmo
No comments:
Post a Comment