Siapa tidak kenal Raja Bollywood ini? Mula berkecimpung dalam arena
seni seawal 1980-an, aktor kelahiran New Delhi, India ini sudah
membintangi lebih daripada 75 filem setakat ini.
Diakui kehebatannya membawa watak menerusi pelbagai genre filem seperti
thriller, seram, komedi, aksi mahu pun romantis, Shah Rukh Khan (SRK)
terus menjadi pilihan pengarah meski pun berusia 47 tahun kini.
Yang pasti, pengikut setianya tidak pernah bosan, sebaliknya sentiasa
menantikan buah tangan terbaru daripada bintang Kuch Kuch Hota Hai ini.
Mengimbas sejenak pembabitan pelakon filem My Name Is Khan ini, bakat
lakonannya mula dikesan ketika terpilih membintangi filem Deewana pada
1992.
Sebelum muncul sebagai pelakon filem, SRK hanyalah pelakon drama
sahaja. Fauji, Circus dan In Which Annie Gives It Those Ones, antara
drama hebat lakonannya.
Walaupun pada awalnya dia sering diberikan peranan sebagai penjenayah,
namun SRK berjaya membuktikan dirinya seorang pelakon versatil.
Filem Baazigar lakonannya bersama Kajol, menonjolkan sisi gelap SRK dengan baik.
Tidak kurang hebatnya, Duplicate, membawa watak Bablu dan Mannu Dada
yang berbeza karakter (antagonis dan protagonis), SRK berjaya membuka
mata seluruh peminat Bollywood.
Sementara lakonan romantisnya menerusi Dilwale Dulhania Le Jayenge, Dil
To Pagal Hai dan Kuch Kuch Hota Hai, mampu mencairkan hati mana-mana
wanita. Suami kepada Gauri Khan ini terus diberi kepercayaan menerajui
pelbagai peranan dalam beberapa filem sehingga namanya dijulang dan
menjadi sebutan.
Mohabbatein, Kabhi Khushi Kabhie Gham, Veer-Zaara, Kabhi Alvida Na
Kehna dan Hum Tumhare Hain Sanam berjaya meletakkannya sebagai Raja
Bolloywood. Malah lakonan romantisnya yang berkesan melayakkannya
menerima gelaran King Of Romance.
Selain itu SRK pernah diberi jolokan lain seperti Badshah of Bollywood,
King Khan dan The King of bollywood sekali gus mendahului rakan
seperjuangannya, Salman Khan, Aamir Khan, Sunil Shetty dan Anil Kapoor.
Bakat diiktiraf
Berikutan kejayaannya menerusi filem dilakonkan, bintang filem Kal Ho Naho ini diberi pelbagai pengiktirafan.
Graduan lulusan Sarjana Muda Ekonomi ini dicalonkan sebanyak 30
pencalonan dan menerima 14 anugerah di Bollywood Filmfare Awards.
Aktor yang sinonim berlakon bersama heroinnya, Kajol Mukherjee ini
telah meraih lapan anugerah bagi kategori Pelakon Terbaik dan mengatasi
mana-mana pelakon bollywood yang pernah tersenarai menerusi Filmfare
Awards di sana.
Dalam pada itu, bapa kepada dua anak ini, turut diberi anugerah Padma
Shri oleh kerajaan India pada 2005 kerana sumbangannya terhadap industri
seni di sana.
Jika dilihat kepada kejayaan dan kuantiti filem yang dilakonkannya,
sudah pastilah pelakon yang juga seorang penerbit ini berjaya mencatat
pendapatan tertinggi sehingga berjuta-juta ringgit setahun sehingga
meletakkan dia antara aktor yang paling berjaya dalam industri
perfileman bollywood.
Menariknya, dia juga disenaraikan antara 50 orang yang terhebat di dunia menerusi majalah Newsweek.
Filem terakhir Yash Copra
Walau pun kemunculan pelakon baru lebih muda semakin ramai namun, SRK menjadi buruan pengarah.
Selain Karan Johar, dia juga merupakan aktor kesayangan dan kegemaran mendiang Yash Copra.
Tampil menerusi karya terbaru dan terakhir Yash, Jab Tak Hai Jaan, SRK
dilihat bakal mencipta sejarah apabila filem ini dikatakan sama hebat
dengan Kuch Kuch Hota Hai.
Malah menurut SRK, filem ini juga memerlukan dia lebih beremosi ketika melakonkan babak romantis.
Diberi peluang memegang dua watak sekali gus, iaitu sebagai pemuzik dan
tentera, jelas SRK, dia terpaksa menjadi bijak untuk mengawal setiap
karakter itu.
Baginya, filem ini antara filem terhebat lakonannya memandangkan ia sarat dengan emosi dan miliki keistimewaan tersendiri.
Bergandingan bersama aktres yang menjadi jolokan Barbie Doll, Katrina
Kaif dan Anushka Sharma, filem yang baru ditayangkan di Malaysia bermula
15 November lalu ini mengisahkan, cinta tiga segi antara Samar (SRK),
Meera (Katrina) dan Akira (Anushka). SH
No comments:
Post a Comment