Jom Buat Duit

Thursday, 15 November 2012

Siti gamit kenangan di Pahang


DATUK SITI NURHALIZA tidak pernah gagal memberi sebuah persembahan memukau walaupun telah kerap membuat konsert sejak terbabit dalam bidang seni lebih 12 tahun lalu. 
 
SEPERTI sirih pulang ke gagang. Begitulah yang boleh diumpamakan mengenai kemunculan penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin sewaktu menghiburkan para penonton di negeri kelahirannya iaitu di Dewan Arabian, Bukit Gambang Resort City (BGRC), Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Meluahkan isi hatinya, Siti tidak dapat menafikan keterujaan untuk menjayakan konsert di Pahang meskipun telah banyak membuat persembahan di serata negara termasuk yang paling berprestij di Royal Albert Hall, London.

Isteri kepada Datuk Seri Mohamad Khalid Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K ini mengakui peluang keemasan itu begitu menyentuh jiwa kerana ia seolah-olah mengimbas kembali kenangan manisnya seawal pembabitan dalam dunia muzik tanah air.
Bagaikan membawa penonton bersama-sama melalui mesin waktu, Siti tidak kekok untuk menceritakan kisah hidupnya sejak dilahirkan di Kampung Awah, Temerloh sebelum berpindah ke Mentakab dan dibesarkan di Kuala Lipis.

Dengan penyampaian secara bersahaja, ia berjaya menggamit perasaan dan memberi kesan kepada penonton untuk menjiwai perjalanan susah senang yang diharungi oleh anak seni ini.
Tidak dilupakan kehadiran tetamu paling istimewa, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah turut mengingatkan Siti tentang peristiwa pertama kali beliau membuat persembahan di hadapan baginda ketika masih belajar di tadika dan bangku sekolah.

Membuka tirai persembahan selama dua jam di hadapan kira-kira 5,000 penonton termasuk dari Indonesia dan Singapura, Siti yang kelihatan semakin langsing dan menawan, bijak menarik hati peminat dengan lagu popular Korea, Oppa Gangnam Style.
Bagaikan selari dengan kisah zaman permulaan kariernya, Siti mengajak pula para penonton mengimbas nostalgia menerusi dendangan beberapa lagu popular pada peringkat awal kemunculannya seperti Wajah Kekasih dan Jerat Percintaan.

Bagi mengelak kebiasaan dalam persembahan, Siti berani mengambil risiko untuk melakukan persembahan tanpa membahagikan konsertnya kepada segmen tertentu dan bercorak lebih santai.
Percaturan itu dilihat berjaya apabila beliau seakan-akan berupaya ‘bermain’ dengan mood penonton yang terkadang gembira dan terkadang menyentuh emosi menerusi lagu-lagu yang disampaikan.
Antara segmen paling mencuri tumpuan dan lebih serasi dengan cita rasa anak muda ialah kemampuan Siti untuk bergandingan dengan artis beatbox, Kojie.
Sebagai penyanyi berbakat, Siti mempamerkan kebolehannya untuk membawa rentak beatbox sambil diiiringi Kojie.

Dialog dan usikan yang disampaikan Siti sebagai selingan dalam persembahan juga telah mencuri hati penonton dan membuatkan dewan konsert itu gamat dengan hilaian ketawa dan jeritan.
Siti kelihatan memahami dan mudah berinteraksi mesra dengan ribuan penonton di mana perlakuan itu menampakkan kematangannya sebagai penghibur legenda yang sentiasa memikat.
Tidak terkecuali, dendangan lagu medley Alleycats antaranya Sampaikanlah Salam dan Hingga Akhir Nanti yang dibawa dengan susunan muzik lebih segar turut mengasyikkan dan menggamit memori ramai kepada kumpulan legenda itu.

Para penonton pada malam itu juga boleh dianggap bertuah apabila beliau buat pertama kalinya menyanyikan lagu berjudul Galau ciptaan komposer Indonesia.
Penyampaian lagu itu bagaikan ‘salam perkenalan’ buat para peminat yang kini mungkin ternanti-nanti untuk mendapatkan single terbaharu penyanyi versatil itu.
Kemuncak bagi konsert pada malam itu, Siti tidak terlepas mendendangkan lagu Muara Hati yang kini semakin sering bermain di bibir peminat.

Justeru, tidak hairanlah jika ia mampu membuat para penonton terpukau dan terbuai dengan lagu runut bunyi siri drama popular Adam dan Hawa itu.

Menerusi konsertnya itu juga, Siti telah mendendangkan 22 buah lagu popularnya termasuk lagu Inggeris, Falling in Love serta lagu Nirmala yang digubah dengan melodi lebih segar.
Biarpun keadaan kesihatannya kurang memuaskan sebelum persembahan, namun Siti tidak sedikit pun menampakan situasi berkenaan.
Ini kerana menurut Siti, ia didorong semangat yang kuat bagi memberikan yang terbaik untuk konsert solo yang julung-julung kalinya diadakan di negeri kelahirannya selepas terlibat dalam bidang seni sejak 1996.

Menutup persembahan malam itu, Siti sekali lagi memperlihatkan identitinya sebagai anak Pahang apabila mendendangkan lagu Dendang Pahang dan Poh Paleh Weh yang juga lagu tema sempena Sukan Malaysia Ke-15 yang berlangsung di bumi Tok Gajah itu Julai lalu.
Kosmo
 

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters