|
APAKAH status terkini pengacara dan penyampai radio popular, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin atau sinonim dengan panggilan Kak Engku? Itu persoalan yang timbul gara-gara Kak Engku, 40, dikatakan masih mesra dengan bekas suaminya, Adzmin Tan Sri Osman, 39. Malah, kemesraan itu dikatakan sehingga ke tahap intim apabila mereka berdua berjalan sambil berpimpin tangan di khalayak umum sebelum ini.
Sejak berpisah dengan Adzmin dan kemudian memikul tanggungjawab untuk membesarkan tiga orang anaknya iaitu Megat Muhammad Raziq, 10, Megat Luqman Hakim, 9, serta Puteri Mia Maizurah, 6, kerjaya Kak Engku sebagai anak seni semakin melonjak, malah dia kini merupakan antara penyampai radio yang cukup popular bersama stesen radio Sinar FM.
Ditemui pada majlis pengumuman pengacara Anugerah Bintang Popular ke-25 (ABP 25) baru-baru ini, Kak Engku tenang menjawab persoalan status terkini dirinya dengan bekas suaminya itu di samping info terbaharu mengenai dirinya.
Kosmo!: Apakah status Kak Engku dengan bekas suami sekarang ini? Betulkah Kak Engku dan bekas suami masih mesra sampai ke tahap intim apabila dilihat berjalan sambil berpimpin tangan dengan lelaki yang pernah menjadi sang arjuna di hati Kak Engku itu?
RAJA AZURA: Walaupun hubungan kami sebagai pasangan suami isteri sudah berakhir, tetapi itu tidak bermakna kami tidak boleh lagi berhubungan sesama sendiri. Ketika ini kami hanyalah sekadar teman baik dan tidak lebih daripada itu. Lagipun kami pernah hidup bersama selama sembilan tahun serta mempunyai tiga orang anak yang semakin meningkat remaja. Maka, ia sudah menjadi tanggungjawab kami untuk membesarkan anak bersama-sama.
Pernahkah Kak Engku terfikir atau berhasrat untuk kembali hidup bersama dengan bekas suami?
Sebenarnya dahulu saya pernah beri peluang kepada suami agar kami dapat bersatu semula sebagai pasangan suami isteri. Saya akui memang bersedia untuk menerimanya semula dalam kehidupan saya. Namun, kini saya serahkan segala-galanya kepada Allah. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu terlalu mengharap sangat dan buat masa ini biarlah kami terus kekal dalam keadaan sebegini.
Pernahkah terlintas untuk mencari pengganti bekas suami?
Dalam usia saya sekarang yang sudah mencecah 40 tahun, rasanya lebih baik kalau saya menumpukan sepenuh perhatian untuk membesarkan anak-anak sahaja tanpa memikirkan untuk mencari pengganti atau sebaliknya.
Kak Engku kini jarang muncul dalam drama di TV. Kak Engku sudah mahu bersarakah?
Buat masa ini dunia saya adalah kepada bidang penyampai radio dan pengacaraan. Rasanya itulah kerjaya yang paling sesuai buat diri saya dan sangat gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang ini.
Jadi, benarlah Kak Engku sudah bersara sebagai seorang pelakon?
Tidaklah sampai saya mahu bersara daripada bidang lakonan, tetapi saya mahu lebih fokus kepada apa yang saya lakukan ini. Tidak dinafikan tawaran berlakon masih lagi saya terima, tetapi saya terpaksa menolaknya kerana faktor masa. Lagipun kalau berlakon ia memerlukan tempoh masa yang cukup lama buat saya untuk berada di lokasi penggambaran, sedangkan pada masa yang sama saya perlu memberi tumpuan untuk membesarkan anak-anak.
Sudah lapan tahun berturut-turut Kak Engku terpilih sebagai hos majlis Anugerah Bintang Popular termasuk ABP 25 ini. Kenapa Kak Engku tetap terima tawaran ini?
Pastinya ia merupakan satu penghormatan yang besar buat diri saya kerana terus dipilih oleh pihak penganjur, apatah lagi dapat bergandingan dengan rakan-rakan lain cukup hebat seperti Sharifah Shahira, Zizan Razak dan Didie Alias. Apabila terus diberi kepercayaan saya rasa adalah tidak wajar kalau menolaknya. Selagi ada pihak yang mahu menggunakan khidmat saya sebagai pengacara dalam sesebuah majlis atau acara, saya akan laksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
No comments:
Post a Comment