SUDAH lama tidak mendengar khabar penyanyi kelahiran rancangan TV realiti, Mentor, ini. Sejak bergelar juara, pelantun lagu Aku Permata ini seolah-olah hilang daripada industri melainkan berita mengenai dirinya tidak mendapat bayaran selepas membuat persembahan.
Bagaimanapun, keadaan melanda dirinya tidak seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak apabila ada dakwaan bahawa Salma A Asis, 22, sudah besar kepala dan tidak mahu diuruskan sesiapa termasuk mentornya sendiri, Erra Fazira. Mempunyai alasan yang kuat bagi menyangkal dakwaan itu, Salma sabar berhadapan dengan situasi itu dan berharap tidak ada lagi dakwaan yang tidak benar mengenai dirinya.
Baru beberapa hari kembali ke Semenanjung, kehilangannya selama ini bukan kerana tidak mampu menguruskan kerjayanya tetapi dilanda masalah kesihatan. Dia terpaksa pulang ke kampung halaman kerana tidak mempunyai saudara-mara yang boleh melihatkan keadaannya.
Penyanyi kelahiran Tawau, Sabah, ini berkata dia mula diserang demam panas yang teruk selepas separuh akhir Muzik Muzik, tahun lalu. Lima hari terlantar di katil, Salma akhirnya mengambil keputusan pulang ke kampung kerana takut tiada ahli keluarga di sisi sekiranya keadaan bertambah buruk.
“ulanya, saya mahu bertahan saja di sini sehingga sembuh tetapi apabila difikirkan semula, siapa yang mahu menjaga saya? Kalau tiba-tiba saya mati, mungkin mayat saya sudah reput barulah keluarga saya tahu.
“Tidak ada seorang pun ahli keluarga yang dekat berada di sini untuk menjaga makan minum saya. Selepas lima hari terlantar, saya terus balik ke Tawau apabila berasa sedikit pulih,” katanya.
Kata Salma, dia hanya mengalami demam panas tetapi sihat sekejap, tidak lama selepas itu sakit semula. Dia berubat di kampung dan juga ke klinik. Katanya, mungkin terlalu penat menjadi punca dia jatuh sakit.
Mengenai cerita dia menolak tawaran Erra untuk menguruskan kerjaya seninya, ibu kepada Puteri Nurul Huda, 5, menjelaskan, dia tidak pernah tahu mengenai tawaran itu. Malah menafikan dakwaan dia sudah besar kepala selepas menang Mentor musim kelima tahun lalu hingga membuat keputusan untuk bergerak sendiri. “Saya hanya mengetahui cerita itu selepas kembali ke sini dan melayari Internet. Mengenai tawaran Erra, bukan saya menolak tetapi dia tidak pernah memberitahu perkara itu secara bersemuka dengan saya ataupun mungkin ketika itu saya kurang fokus.
“Saya selalu juga berhubung dengan Erra menerusi BlackBerry Messenger (BBM), cuma dia jarang membalas BBM saya kerana terlalu sibuk. Saya tidak mahu menambah kesibukan Erra kerana dia terpaksa mengurus saya dan kerjayanya,” katanya.
Kata Salma, dia sudah mempunyai pengurus dan berharap kerjayanya berjalan lancar selepas ini. Fizikalnya yang semakin kurus dan masih kelihatan tidak bermaya jelas menunjukkan Salma baru pulih. Berazam mahu mengekalkan fizikalnya itu tetapi tidak pasti sampai bila dia mampu bertahan untuk mengawal nafsu makannya. Akui Salma, dia seorang yang suka makan. Dia juga kini sibuk dengan single kedua yang masih di peringkat perbincangan.
Mengenai soal jodoh, Salma menegaskan dia tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal itu buat sementara waktu. Katanya, dia masih trauma dengan perkahwinannya yang lalu, dan menolak dengan baik lamaran semua lelaki yang ingin memperisterikannya.
“Belum sampai masanya untuk berfikir mengenai kehidupan berumah tangga, apatah lagi saya baru mahu memulakan langkah kaki sebagai penyanyi. Sekiranya diberikan pilihan untuk memilih suami, saya berharap berjumpa dengan lelaki yang memahami kerjaya saya, baik hati dan dapat menerima anak saya.
“Anak saya sudah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Cina, tahun ini dan sudah biasa berjauhan dengan saya. Saya terharu kerana dia memahami tuntutan kerja ibunya,” kata Salma.
No comments:
Post a Comment