BEBERAPA bulan kebelakangan ini, nama pelakon Johan Ariff As'ari, 26,
sering dikaitkan dengan anak legenda rock negara, Amy Search iaitu
Nabila Huda. Walaupun sudah beberapa kali dinafikan oleh mereka berdua
tentang soal status hubungan yang didakwa sedang bercinta itu, media
tetap melabelkan Johan dan Nabila sebagai pasangan yang sedang berbunga
cinta.
Bermula dengan kisah berbalas Twitter dengan ayat-ayat kasih sayang,
Johan turut membela 'teman tapi mesranya' itu apabila pelakon drama
Julia itu dikecam berpakaian seksi di sebuah majlis anugerah.
Johan ketika ditemui pada sidang akhbar program Fear Factor Selebriti
Malaysia yang bakal disiarkan di Astro Ria pada 29 Disember ini telah
meluahkan rasa tidak selesa apabila diajukan persoalan sama setiap kali
berdepan dengan media.
"Tolonglah percaya kali ini... saya dengan Nabila hanya kawan baik,
kami memang rapat tetapi tidak bercinta, sementara dia tiada teman
lelaki lagi bolehlah kami akrab," jelasnya membetulkan persepsi bahawa
dia dan Nabila sedang bercinta dan pernah putus cinta.
Tambah pelakon drama Juvana ini, dia dan Nabila sebenarnya bukan yang
jenis setiap hari akan berjumpa kerana masing-masing ada komitmen kerja
yang sibuk.
Johan berkata, dia dan Nabila selalunya akan berjumpa dan ramai
mata-mata akan melihat kemesraan mereka pada majlis hiburan dan itu
tidak bermakna mereka bercinta.
Hakikatnya, kata lelaki yang pernah dikaitkan dengan pelakon Izreen
Azminda dan Fasha Sandha ini, sayangnya terhadap wanita beranak satu itu
tidak lebih seperti sayangnya terhadap keluarganya sendiri sahaja.
"Saya tidak pernah kongkong Nabila, dia bebas berkawan dengan
sesiapa, saya juga begitu, saya akan hormati dia jika dia ada teman
lelaki, bertunang dan sebagainya suatu hari nanti," ujarnya yang
mengagumi Nabila sebagai seorang dramatis yang hebat.
Johan mengakui keakraban mereka awalnya wujud selepas dia mengetahui
tarikh lahir mereka berdua hanya selang sehari iaitu Nabila pada 2
Disember dan dirinya sendiri pada 3 Disember.
Kata anak kelahiran Pulau Pinang itu, dia tidak mahu lagi selepas ini
ada peminat dan media salah anggap terhadap keakrabannya dengan Nabila
dan dia tidak perlu lagi menjawab soal cinta atau telah putus cinta
dengan pelakon berkenaan.
"Saya anggap dia macam kakak sahaja, umur kami juga berbeza beberapa
tahun. Perjalanan saya masih jauh lagi dalam industri ini, lebih baik
saya tumpu kepada lakonan dan bukannya benda lain," jelasnya yang turut
memberitahu, Nabila banyak memberi tunjuk ajar kepadanya mengenai soal
lakonan.
Bagi Johan, tahun depan merupakan tahun lebih mencabar baginya kerana
empat filem lakonannya bakal menguji kemampuannya sebagai seorang anak
seni dan bukannya dengan kisah cinta yang masih belum tentu hala
tujunya.
"Saya harap semua faham situasi saya ini, masih banyak bakat dan
peluang untuk saya tonjolkan, saya masih solo dan tidak bercinta dengan
sesiapa lagi," tegasnya yang menganggap itu merupakan penjelasan
terakhirnya berhubung kisahnya dengan Nabila.
Debaran 2013
Bercerita mengenai kerjaya seninya pula, Johan menganggap tahun ini
merupakan tahun yang paling sibuk buat dirinya apabila dia telah
menjalani penggambaran sebanyak empat buah filem.
Filem-filem berkenaan ialah Juvana, Tokan, Pencinta dan Paku yang
bakal mengukur kemampuannya di layar perak kelak. Dia menganggap dirinya
bertuah apabila keempat-empat filem berkenaan menonjolkan kelainan
dalam setiap watak yang diberikan.
"Dalam Tokan saya menjadi pembunuh upahan, Pencinta pula sebagai
romeo dan Paku pula merupakan filem seram, tetapi sayangnya tiada filem
komedi, jika ada sudah tentu sudah lengkap misi berlainan genre lakonan
saya," ujarnya.
Tambahnya, semua filem yang ditawarkan diperoleh selepas memenangi
Anugerah Pelakon Baru Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular
tahun lalu.
"Peluang itu datang sendiri, saya bersyukur kerana kebetulan datang
dalam genre yang berbeza, semua itu watak serius dan saya bersyukur
kerana diberi peluang itu," jelasnya.
Namun, di sebalik kesibukannya terhadap dunia perfileman itu, Johan
nekad untuk tidak sekali-kali melupakan drama yang telah mengangkat
namanya sehingga dikenali iaitu drama Juvana.
Katanya, dia sedaya upaya telah mencuba untuk memenuhi keinginan
produksi drama di semua stesen televisyen agar lakonannya dapat dilihat
di televisyen juga.
"Saya muncul dalam drama 13 episod Udin Glamor Balik Kampung di TV2
bersama Nabila, Syahadat Cinta di TV Hijrah dan beberapa drama lagi yang
akan ditayangkan nanti," ujarnya lagi.
Sisi kelakar
Sering mendapat watak lelaki serius dan nakal, Johan sebenarnya tidak pernah mengetahui bahawa dia mempunyai sisi yang kelakar.
Kata pelakon drama Cinta Elysa itu, dia bertuah sekali lagi apabila
pengarah Erma Fatima telah berjaya mengorek sisi kelakarnya menerusi
telemovie Tersalah Cinta yang telah disiarkan baru-baru ini.
"Saya sendiri tidak pernah tahu saya boleh berlakon drama komedi,
saya betul-betul bertuah kerana Kak Erma telah korek sesuatu dalam diri
yang saya sendiri tidak tahu," ujarnya.
Menganggap dirinya terhutang budi dengan Erma, Johan yang mahu terus
mencuba watak komedi dalam drama dan filem kerana ia satu yang mencabar
dirinya.
"Saya seronok berlakon dalam telemovie itu, selepas ini kalau ada
lagi tawaran seperti itu sudah tentu saya akan terima," tambah bekas
pelajar sekolah pondok di Pesantren As-Syhada, Jambi, Indonesia ini.
No comments:
Post a Comment