AURA lagu hitnya, Asmara Ini masih melekat dalam hati peminat.
Biarpun lama menyepikan diri daripada dunia nyanyian, peminat Datuk
Fazley Yaakub tetap menanti kemunculan semula penyanyi kelahiran
Seremban, Negeri Sembilan itu.
Sebelum menutup tirai pada tahun ini, Fazley kembali mencuri
perhatian khalayak. Cuma gelarannya kini semakin bertambah. Beliau bukan
sahaja terkenal sebagai seorang penyanyi dan pakar motivasi, bahkan
semakin menonjol menjadi seorang tukang masak.
Bakatnya dalam bidang masakan mula terserlah setelah pelakon filem
Gila Bola itu menjadi juara rancangan realiti televisyen berkonsepkan
masakan, MasterChef Selebriti Malaysia pada pertengahan tahun ini.
"Kini sudah ada dua generasi peminat. Kalau dahulu ramai yang kenal
saya sebagai abang Asmara kerana lagu Asmara ini. Tetapi kini peminat
baharu lebih mengenali saya sebagai tukang masak. Ada yang tidak tahu
yang saya sebenarnya merupakan seorang penyanyi dan pernah merakamkan
beberapa buah album," ujarnya dalam sesi fotografi di Studio Utusan,
Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam tempoh empat tahun menyepikan diri daripada media sebelum ini,
Fazley lebih banyak menumpukan perhatian kepada bidang ceramah motivasi.
Beliau juga lebih aktif terlibat secara belakang tabir dalam beberapa
program televisyen.
Namun begitu, Fazley ada merancang untuk membuat penampilan semula
pada tahun ini menerusi sebuah album baharu. Cuma tawaran menyertai
program masakan tersebut tiba lebih awal.
"Saya terpaksa menangguhkan untuk mengeluarkan lagu baharu kerana
memberi perhatian kepada program itu. Kini setelah semuanya selesai,
saya sudah mengeluarkan sebuah single yang berjudul Maafku Mencintaimu
yang mula diterima pendengar.
"Untuk album penuh pula Insya-Allah pada awal tahun hadapan saya akan
mengeluarkan album penuh kelima yang berjudul Lima," katanya yang juga
tampil dengan sebuah lagu berjudul Jaga-Jaga bersama penyanyi Altimate.
Sebelum ini Fazley pernah merakamkan empat buah album termasuklah
Asmara Ini pada 2001, Seribu Kemaafan (2002), Cerita Asmara (2003) dan
Lain (2006). Selain lagu Asmara Ini, beliau juga popular dengan
lagu-lagu seperti Bila April, Seribu Kemaafan, Careno dan Serita Asmara.
Dalam perkembangan sama, penyanyi berusia 34 tahun itu terlibat dalam
beberapa program masakan seperti Chef Surprise di saluran Astro Prima,
Chef Cilik (Astro Ria) dan program bual bicara masakan Fazley Licious.
Beliau juga dalam proses menyiapkan sebuah buku masakan berjudul Dari
Rembau ke Padang.
Biarpun pada masa ini imej Fazley lebih dekat dengan
hidangan-hidangan enak yang menjadi sebab kepada masalah berat badan
berlebihan, namun beliau berjaya tampil lebih langsing berbanding
sebelumnya.
Dalam sibuk membuat persediaan untuk kemunculan semula, Fazley yang
mengalami berat badan berlebihan berjaya mengurangkan berat badannya
daripada 90 kilogram (kg) kepada 72kg.
Jelas Fazley, amalan diet protein selama sebulan berjaya menurunkan
berat badannya sebanyak 18kg tanpa penggunaan sebarang produk kesihatan.
"Saya tidak mengamalkan sebarang senaman dan sekadar mengawal
pengambilan makanan. Saya hanya mengambil hidangan berasaskan protein
dan sayuran rendah kalori pada setiap hari.
"Untuk hidangan tengah hari, saya ambil sepotong daging ayam sebesar
tapak tangan bersama sayur, petang pula makan buah-buahan seperti epal
dan strawberi serta untuk makan malam pula sepotong daging atau ikan
bersama sayuran.
"Elakkan makan bergula kerana ia akan menjadi perkara yang paling
mengganggu diet. Dalam tempoh itu juga saya tidak mengambil nasi
langsung," ujarnya yang mula berdiet sebelum menyertai rancangan
MasterChef Selebriti Malaysia pada Jun lalu.
No comments:
Post a Comment