PENYANYI berkulit putih gebu ini ternyata seorang yang cukup peramah.
Sikapnya itu cukup terserlah ketika bertemu dengan bekas peserta
program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Adira pada acara mencorak
arca logo Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL 27) bersempena rangka promosi
program tersebut di Pusat Beli-belah Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Walaupun cuaca panas terik kerana acara tersebut diadakan di luar
pusat beli-belah tersebut, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira
Suhaimi, 21, tetap tersenyum manis setiap kali peminat minta untuk
bergambar.
Bertambah manis, apabila dia berhadapan dengan peminat yang berasal dari negeri kelahirannya sendiri iaitu Ranau, Sabah.
Perbualan rancak seperti mereka sudah lama kenal sedangkan itulah kali pertama mereka bertemu.
"Seronok dapat berjumpa peminat dari Sabah, rasa macam jumpa keluarga
sendiri sebab saya boleh bercakap dalam bahasa Kadazan-Dusun,"
balasnya.
Penyanyi yang gemar mengenakan solekan nipis ketika di luar pentas
nyanyian cukup jujur menjawab segala soalan yang diajukan kepadanya
termasuk soal kontroversi yang turut menyumbang kepada popularitinya
hari ini.
Jika dihitung usianya dalam industri seni baru menjangkau angka dua
tahun sejak bergelar naib juara AF8. Kariernya yang dibinanya sama
cemerlang dengan kontroversi yang dikaitkan dengannya.
Kontroversi foto pegang anjing, putus cinta dengan Hafiz, dituduh
sebagai lesbian kerana berkawan dengan pengkid, bercinta dengan pemain
gitar AG Coco dan terbaharu kerana wajah yang putih melepak Adira
didakwa menyuntik wajah, agak berkerut wajah Adira mendengar rentetan
kontroversi dirinya.
"Saya mahu buat macam mana, perkara yang lepas saya tidak mahu fikir
lagi, cuma ambil pengajaran yang boleh membuatkan saya lebih kuat
daripada sebelum ini," katanya tenang.
Ditebak soalan, setiap kali bekerjasama dengan mana-mana artis lelaki
pasti timbulnya isu cinta. Termasuk ketika Adira membintangi drama
Tiara bersama Aliff Aziz, mereka didakwa tenggelam dalam cinta lokasi.
Tertawa seketika balas Adira: "Memang banyak gosip cinta tentang saya
sebab saya jenis tidak kisah orang tahu jika saya benar-benar bercinta.
"Saya tidak suka sembunyi bukannya saya melakukan kesalahan kalau
saya bercinta. Akhirnya orang akan tahu juga, jadi lebih baik saya
berterus-terang sahaja.
"Ibu saya juga suka apabila saya berterus-terang dan tidak bersikap
hipokrit. Bila saya berterus-terang dengan semua orang, saya bebas
bercinta tanpa bimbang pandangan orang ramai. Buat masa ini saya
mempunyai ramai kawan lelaki tetapi yang istimewa belum ada lagi."
Sambung Adira lagi, meskipun percintaannya dengan beberapa orang seni
terputus di tengah jalan perkara itu tidak membuatkannya serik untuk
kembali bercinta.
"Sebenarnya jatuh cinta dengan lelaki yang bekerja dalam bidang seni
berlaku secara tidak sengaja. Perasaan sayang kepada seseorang itu tidak
boleh dikawal.
"Kalau saya suka seseorang itu saya hanya mengikut kata hati bukannya saya sengaja cari orang seni juga.
"Semuanya terjadi tanpa dirancang, bila hubungan tidak berpanjangan,
saya mahu buat macam mana kalau lelaki bukan jodoh saya kami akan
berpisah juga," ungkapnya.
Meskipun dihambat kontroversi cinta, bagi Adira itu semua merupakan
asam garam kerjaya pilihannya. Pahit manis harus ditelan jua.
"Kontroversi positif dan negatif merupakan lumrah sebagai artis.
Setakat ini, kontroversi tidak mengganggu karier saya. Apa sahaja yang
berlaku fokus saya tetap dalam bidang nyanyian.
"Jika ada orang mahu cakap buruk tentang saya, biarlah. Saya tiada
kuasa untuk minta mereka berhenti. Tanpa bukti yang sahih setiap
kontroversi itu akan berlalu begitu sahaja," tuturnya.
Aktif berlakon
Menoleh kembali ketika dia mula belajar untuk menyanyi dalam program
realiti Akademi Fantasia, Adira langsung tidak menyangka karier seninya
kini stabil hanya selepas dua tahun bergelar penyanyi.
"Bila lihat semula diri saya yang dahulu dengan saya sekarang, saya
akui saya banyak berubah. Lebih matang dan lebih bijak membuat keputusan
berbanding sebelum ini hasil daripada bertemu dengan ramai orang.
"Dulu impian saya ingin bergelar penyanyi dan Alhamdulillah kerana
impian itu saya bekerja keras sehingga hari ini. Nampaklah ada
peningkatan sedikit harap sokongan yang diterima daripada peminat akan
berterusan," ungkapnya.
Selepas muncul dengan lagu Ku Ada Kamu, Ilusi dan Sakura serta
Keajaiban Cinta duetnya bersama Aliff Aziz. Terkini, Adira bakal muncul
dengan single ciptaan Aubrey Suwito berjudul, Sekadar Mimpi.
"Memang saya bersyukur sangat kerana lagu nyanyian saya mendapat
sambutan peminat. Ikutkan saya suka lagu balada tetapi ada juga peminat
yang suka saya menyanyikan lagu rancak.
"Jadi, saya cuba sahaja lagu yang berbeza genre kerana nanti peminat
bosan pula asyik dengar saya nyanyi lagu yang mendayu-dayu sahaja,"
katanya yang selesa berambut pendek.
Bercakap tentang karier lakonan yang baru hendak bermula selepas
pertama kali melakonkan watak utama dalam drama Tiara lakonannya bersama
Aliff Aziz, Adira teruja apabila ditawarkan berlakon filem dan drama
selepas itu.
"Drama Tiara memberi peluang saya memegang watak utama. Memang sukar
pada mulanya kerana berlakon di samping Aliff Aziz yang memang pandai
berlakon.
"Dia banyak mengajar saya untuk mendalami watak dengan baik. Tawaran
selepas itu memang ada seperti drama dan filem tetapi masih belum boleh
diberitahu.
"Macam mana sibuk di lokasi penggambaran, saya tetap akan utamakan kerjaya nyanyian kerana itu cinta pertama saya," akuinya.
Kosmo
No comments:
Post a Comment